Rumah terbuka beri peluang pemimpin parti berbincang secara peribadi dan berhemah SYAWAL bulan terbaik untuk masyarakat Islam memperkukuhkan silaturahim. Semangat berkesatuan sesama masyarakat Islam amat tinggi sekali pada bulan ini.
Di negara kita Malaysia, tradisi menyambut Aidilfitri amat unik sekali. Di samping berterusan mengagungkan kebesaran Allah sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan menunaikan ibadah berpuasa dan kembalinya sifat diri kepada fitrah, masyarakat Islam menyambut hari kebesaran Islam ini dengan mengadakan rumah terbuka.
Tradisi sambutan sebegini sepanjang Syawal adalah satu budaya mulia yang harus sentiasa dipupuk. Di samping itu, ia adalah satu kegiatan sosial yang amat berkesan dalam usaha pengukuhan silaturahim dan persefahaman sesama masyarakat Islam. Keberkesanan kegiatan ini terbukti kerana proses sosialisasi yang dimanifestasikan menerusi amalan rumah terbuka dibina diatas semangat ajaran keagamaan.
Ia tidak dilakukan diatas kepentingan terhadap diri dan kelompok. Di atas asas inilah, saya berpandangan Syawal ialah masa terbaik untuk kita memperkukuhkan
silaturahim politik di dalam negara kita. Pandangan ini bermaksud bahawa sepanjang bulan ini, acara yang bersifat pertemuan peribadi antara tokoh-tokoh politik atau antara penggiat politik di pelbagai peringkat haruslah digerakkan secara aktif dan terancang.
Menerusi semangat Syawal, pertemuan pada acara rumah terbuka perlu dilanjutkan kepada sesi perbincangan dua hala atau perbincangan berkelompok antara tokoh dan aktivis politik daripada pelbagai aliran parti bagi membincangkan persoalan membabitkan kepentingan bersama di dalam proses pembinaan negara.
Pandangan ini disyorkan kerana beberapa faktor. Pertama, persepsi umum oleh masyarakat terba-
nyak terhadap kegiatan berpolitik di negara ini, kini menunjukkan bahawa ia sedang menuju proses keretakan. Kegiatan politik di dalam negara kita sudah tidak sihat lagi. Ini tergambar di dalam pelbagai bentuk pengucapan dan tindakan oleh pemimpin dan penggerak politik yang sering tuduh menuduh dan bantah membantah dalam pelbagai isu sehingga sesetengahnya kelihatan melampaui batas akhlak agama dan lunas demokrasi.
Pada pandangan sebahagian anggota masyarakat, perseteruan yang tertonjol daripada kegiatan
politik ini menimbulkan satu perasan yang membosankan. Kedua, parti-parti politik di negara ini terutama parti yang berorientasikan Melayu dan Islam seolah-olah begitu sukar sekali mendapatkan masa dan waktu sesuai untuk bertemu serta berbincang antara satu sama lain.
Bagi masyarakat terbanyak, keadaan ini amat pelik sekali. Ini kerana walaupun pemimpin utama parti-parti ini sudah menyatakan hasrat untuk saling bekerjasama pada perkara yang disepakati dan bersedia pula untuk bermaafan atas segala keterlanjuran politik masa lalu secara terbuka di dada akhbar, sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang pertemuan yang kukuh bagi merealisasikan hasrat itu.
Berasaskan dua faktor inilah, kita ingin menganjurkan supaya semangat berkesatuan yang didorong oleh cetusan sambutan Aidilfitri dimanfaatkan sepenuhnya oleh
semua pihak terutama pemimpin bagi meningkat dan memperku-kuhkan silaturahim politik di dalam negara.
Menerusi pertemuan yang bersifat peribadi dan perbincangan tidak rasmi antara pemimpin dan penggerak politik menerusi acara rumah terbuka sepanjang Syawal ini, ia diharap akan dapat memupuk suasana positif dan subur ke arah kerjasama lebih bermakna demi masa depan negara.
Usaha mengukuhkan silaturahim politik tidak bermaksud bahawa semua parti politik perlu bekerjasama di bawah satu payung atau satu lambang. Apa yang dicitakan menerusi silaturahim politik yang kukuh, ialah pemimpin dan parti-parti politik berada pada keadaan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Kegiatan berbantah di dalam pelbagai isu dan persoalan antara parti-parti politik harus terjadi di dalam suasana yang berhemah. Sikap saling menghormati ini hanya akan dapat diwujudkan sekiranya di antara mereka mempunyai sifat dan rasa untuk menghargai kepentingan peranan antara satu sama lain di dalam medan perkhidmatan rakyat menerusi wadah politik yang tersendiri.
Di dalam maksud yang lebih khusus, pihak kerajaan dan pembangkang hendaklah saling menghormati kewujudan fungsi dan peranan masing-masing di dalam proses pembinaan negara menerusi kerangka dan amalan demokrasi yang segar.
Di dalam negara kita kini, banyak persoalan yang sedang terjadi di dalam pelbagai sektor yang menuntut kerjasama segenap pihak terutama pertubuhan politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang. Negara kita, seperti juga banyak negara lain, sedang berdepan pelbagai isu akibat proses peralihan zaman yang digerakkan oleh arus globalisasi.
Peralihan zaman menuntut kesediaan seluruh rakyat daripada pelbagai sudut terutama dari segi ketahanan mental dan budaya. Seluruh pihak perlu terbabit di dalam mencari jalan terbaik bagi membina sebuah masyarakat Malaysia yang memiliki semangat dan kualiti daya saing tinggi di pentas globalisasi dan pada masa sama, memiliki keutuhan teras dan jati diri setempat.
Sesungguhnya, cabaran besar ini menuntut suatu semangat permuafakatan yang tinggi dari seluruh warga rakyat terutama di kalangan mereka yang terbabit dalam kegiatan dan pergerakan politik dalam negara. Oleh kerana itu, silaturahim politik adalah asas permulaan yang harus dipupuk dan dimulakan terlebih dulu.
Dalam hubungan ini, Syawal adalah masa terbaik bagi kita mengukuhkan silaturahim politik sesama kita. Marilah kita mengambil semangat Aidilfitri pada tahun ini untuk saling bermaafan dan bersatu padu demi masa depan negara dan ummah. Selamat Hari Raya.
Muhamad Razak Idris
Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
-
0 comments:
Post a Comment