Insiden penyiaran tarian Pendet yang berasal dari Bali bagi mempromosikan pelancongan di Malaysia yang mendapat bantahan secara agresif sebahagian kecil rakyat Indonesia amat dikesali. Walaupun penjelasan diberikan, seolah-olah tidak meredakan api kemarahan kelompok terbabit.
Tuduhan keterlaluan dilemparkan kepada Malaysia bertujuan menyemarakkan lagi api kemarahan. Kini ia bertukar menjadi ancaman keselamatan apabila kumpulan bersenjatakan buluh runcing melancarkan kempen ‘Sapu Malaysia’ bertujuan menghalau tau lebih tepat lagi menyapu keluar rakyat Malaysia di Indonesia.
Ada juga pihak yang mempermainkan sentiment permusuhan ini melalui media. Mungkin dengan tujuan melariskan jualan atau juga sebagai berita sensasi bagi menarik perhatian golongan tertentu. Rata-rata pemimpin kedua-dua negara berpandangan ia perlu ditangani segera dengan berkesan. Tidak perlu diperbesarkan sehingga menggugat keharmonian hubungan yang terjalin kukuh selama ini.
Hubungan antara Indonesia dan Malaysia adalah hubungan unik, iaitu bukan sekadar dari sudut sempadan geografinya yang panjang, tetapi hubungan darah dan persaudaraan yang menjalar kepada bahasa, budaya dan semestinya, agama.
Jangan dilihat hubungan kedua-dua negara hanya pada hubungan rakan Asean sahaja. Malaysia dan Indonesia, saudara seagama. Hubungan antara kedua-dua negara memberikan iklim yang stabil terhadap perkembangan dakwah Islamaiah.
Jika isu ini disoroti dari sisi pandangan pertembungan Barat dan Islam, sewajarnya umat Islam kedua-dua negara perlu bertindak bijak. Sekali kita terbelit dan perangkap dalam permainan domino Barat, maka amat sukar untuk kita merungkainya semula.
Maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan agar ukhwah Islamiah perlu mendapat tempat yang sewajarnya. Ia menjadi teras perhubungan antara kedua-dua negara serumpun ini hingga ke hari ini.
Bagi kelangsungan dakwah Islamiah, maka keharmonian perlu dikekalkan. Jangan kita terbabit dengan pertikaian yang merugikan. Media arus perdana kedua-dua negara perlu memainkan peranan berkesan untuk menjernihkan hubungan dua hala.
Selain itu, demi perjuangan memartabatkan Islam, ulama kedua-dua negara perlu membantu dan membimbing ummah agar tidak terseret ke dalam perangkap Barat.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khuatir jika hubungan antarabangsa serumpun ini diserahkan kepada golongan politik semata-mata, ia cenderung kepada pendekatan populis yang sempit dan berorientasi sokongan setempat.
Penulis ialah Saudara Amidi Abdul Manan merupakan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Artikel ini diambil dari Berita Harian yang bertarikh 15 September 2009, Selasa di ruangan Surat &E-mel.
-
0 comments:
Post a Comment