Ahmad bin Abdul Rahim yang terkenal dengan gelaran Syah Waliyullah al-Dahlawi hidup pada kurun ke 18 Masihi. Pada masa itu, umat Islam berada dalam keadaan berpecah dan lemah dalam semua aspek kehidupan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di India tetapi juga di seluruh dunia Islam. Bangunlah al-Dahlawi bersama anak-anak muridnya berjuang bagi mengembalikan keagungan Islam dalam bidang ilmu. Melalui aspek tarbiah kerohanian dan pandangan yang bernas, beliau menyeru umat Islam supaya beriltizam dengan syariah Islamiah dan menolak kekeliruan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Beliau menyebut perkara ini dalam bukunya Hujjatul Allah al-Balighah. Antara usaha yang dilakukannya ialah merubah pemikiran masyarakat yang jumud ke arah bersifat terbuka dan mencungkil rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia.
Di samping itu, beliau menyeru umat Islam kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam menyelesaikan pendapat yang berbeza. Menurut al-Dahlawi, bagi mencapai perpaduan dalam masalah-masalah yang sering diperdepatkan itu harus dibandingkan dengan berhati-hati. Kemudian diambil jalan tengah yang menyatukan pendapat-pendapat yang berbeza itu supaya dapat diterima oleh setiap pihak. Pendapat yang dipilih hendaklah berdasarkan dalil yang kukuh manakala pendapat yang ditinggal pula mesti diberikan perjelasan tentang kelemahannya dan mengapa pendapat itu ditinggalkan.
Menurut al-Dahlawi satu-satunya jalan untuk bangun kembali adalah dengan menghasilkan generasi baru yang berilmu dan berpendidikan tinggi dan mempunyai kefahaman yang sebenar tentang agama. Beliau menekankan penguasaan ilmu hadis dalam masyarakat Islam di India. Beliau adalah pelopor kebangkitan ilmu hadis di India hingga sekarang. Antara aspek pembaharuan yang dilakukannya ialah:
1. Memperbetulkan akidah dan menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.
2. Berusaha dengan gigih menyebarkan hadis dan mengadakan keseragaman antara fiqh dan hadis.
3. Mengemukakan konsep syariat dengan gambaran berteraskan dalil-dalil yang kukuh serta menyingkap rahsia-rahsia hokum syariah.
4. Menerangkan kedudukan khalifah tugas-tugasnya dalam Islam,menjelaskan keistimewaan dan kelebihan khalifah.
5. Berusaha membuat pembaharuan kepimpinan pada zaman krisis politik dan kemunduran kerajaan Monghul.
6. Memperkenalkan hisbah kepada semua peringkat kelompok umat dan menyeru kepada pembaikan dan perubahan.
7. Mendidik generasi ulama dan pemuda-pemuda sehingga mereka dapat melakukan tugas pembaharuan dan dakwah serta dapat memindahkan tugas kepada generasi selanjutnya.
-
0 comments:
Post a Comment