Penyuburan Semula di Kalangan Masyarakat
Islam adalah manhaj sederhana dalam segala bidang kehidupan manusia sama ada dalam bidang iktikad, perundangan dan akhlak. Manhaj inilah yang dipohon oleh setiap individu ketika bersolat iaitu, “Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus.” Dalam surah al-Fatihah, ayat 6. Langit, bumi, bintang, matahari terletak pada kedudukan yang seimbang hatta pernafasan manusia juga adalah seimbang.
Di antara keistimewaan dalam Islam adalah prinsip Wasatiyatul Islam. Wasatiyatul bermakna pertengahan, seimbang, sederhana dan adil. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud, “Dan demikianlah kami jadikan kamu umat yang pertengahan (adil) supaya kamu menjadi saksi bagi manusia, dan supaya Rasul itu menjadi saksi pada perbuatan kamu.”
Wasatiyah ini adalah keistimewaan kepada umat Islam dengan mengikut manhajnya yang seimbang dan adil, yang jauh daripada penyelewengan dan fanatik. Allah menjadikan alam ini dalam keadaan seimbang dan teratur. Para ahli tafsir menyatakan wasatiyah ini mengandungi pelbagai makna di antaranya:
1. Umat yang adil
Disifatkan umat ini dengan sifat adil kerana mereka akan menjadi saksi kepada manusia dan kaum yang menjadi saksi mestilah bersifat adil. Diriwayatkan daripada Imam Ahmad daripada Abi Said Khudri bahawa Rasulullah SAW mentafsirkan ‘Wasatan’.
2. Umat beristiqamah
Wasatiyah juga bermakna istiqamah dalam Islam. Manhaj Islam yang diredhai oleh Allah iaitu manhaj siratul mustaqim yang selalu setiap Muslim memohon supaya Allah memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan bukan jalan dimurkai iaitu Yahudi dan Nasrani ini sememangnya melampaui batas dan angkuh. Orang Yahudi membunuh para nabi dan terlalu mengharamkan semua perkara manakala Nasrani terlalu menghalalkan kesemuanya. Orang Yahudi mementingkan kebendaan manakala orang Nasrani menyekat persoalan kebendaan. Islam mengajar umatnya supaya mengikut manhaj yang lurus, jalan yang ditetapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad SAW. Oleh itu, ummatan wasata adalah umat yang mempunyai pendiriaan yang tegas apabila menyatakan hak dan sentiasa beriltizam dengan manhaj rabbani. Umat yang tidak rela melihat agamanya dipermainkan dan dihina.
3. Umat terbaik dan berkualiti
Sebaik-baik perkara adalah sederhana dan seimbang, Ibnu Kathir menyatakan ummatan wasata ialah umat yang terbaik dan berkualiti. Bak kata pepatah Arab, “Quraisy aswat al-Arab nasb wa dar” (Quraisy adalah sebaik-baik kaum Arab daripada segi keturunan dan dan kabilah). Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik da semulia-mulia keturunan. Mengikut mufasirin juga makna al-solat al-wusta bermaksud sebaik-baik solat. Oleh itu, maksud ummatan wasata adalah umat produktivitinya tinggi, gerak kerja yang kemas, terbaik dan berkualiti.
4. Umat yang mencintai keamanan
Ia juga bermakna persekitaran yang aman. Jauh daripada sifat bahaya dan kerosakan. Wasatiyah membawa keamanan dan kesejahteraan dalam cabaran lingkungannya. Ummatan wasata ini bermakna umat yang sentiasa mementingkan keamanan, memelihara da mengawalnya, mengamalkan semangat kesetiaan, harmonis dan makmur. Mereka menjadi pengawal setia kepada keamanan dunia dan alam sejagat.
5. Umat yang memiliki kekuatan
Wasata bermakna pusat kekuatan. Tidakkah kira kita melihat peringkat muda adalah peringkat yang mempunyai kekuatan jasmani dan cita-cita yang berkobar. Peringkat di antara usia kanak-kanak dan orang tua yang lemah. Peringkat golongan muda inilah yang mampu memiliki kekuatan bagi menjana generasi umat. Matahari yang waktu tengah hari begitu panas terik daripada waktu pagi dan petang. Ini menandakan bahawa ummatan wasata adalah umat yang mempunyai kewibawaan dan digeruni.
6. Umat Perpaduan
Umat yang sentiasa mencari titik persamaan dan menjauhi segala bentuk perpecahan. Mereka sentiasa menjadi pemersatu dalam konflik kemanusiaan. Umat Islam adalah contoh kepada umat lain. Manhajnya adalah formula terbaik bagi kegawatan hidup manusia.
-
0 comments:
Post a Comment