Fiqh al-Awalawiyat

Memahami Keutamaan dalm Konteks Malaysia

Kefahaman Fiqh al-Awalawiyat iaitu fiqh urutan keutamaan (prioriti) yang memerlukan kita mengetahui perkara yang mesti didahulukan apabila melaksanakan fiqh al-hayah. Dengan kata lain, tidak mengemudiankan perkara yang sepatutnya didahulukan dan tiada mendahulukan perkara yang sepatutnya dikemudiankan. Kefahaman ini juga memerlukan supaya kita lebih menumpukan serta berusaha kea rah itu lebih daripada perkara yang lain.

Fiqh ini juga membawa maksud sesuatu yang sewajarnya didahulukan hendaklah didahulukan dan sewajarnya dikemukakan dikemudiankan mesti dikemudiankan. Sesuatu yang kecil tidak perlu diperbesarkan dan sesuatu yang penting tidak boleh diabaikan. Setiap perkara mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan tepat. Kefahaman Fiqh al-Awlawiyyat ini amat penting dalam proses kehidupan manusia kini kerana ia dapat member alternatif apabila ia bertembung dengan kebaikan atau kejahatan.

Dalam syariah Islam, ulama menetapkan lima perkara yang perlu dijaga yang dikenali sebagai al-Kuliyat al-Khamsah iaitu agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Maslahah ini pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu dharuriyat, hajiyat dan tahsinat.

1. Al-Dharuriyat ialah sesuatu yang kita tidak berupaya hidup melainkan dengan kewujudannya.
2. Al-Hajiyat ialah kehidupan yang dapat berlaku tanpa perkara itu. Walau bagaimana kehidupan itu akan mengalami kesukaran dan kesengsaraan.
3. Al-Tahsinat ialah sesuatu yang dipergunakan bagi menghias dan mempercantik kehidupan.

Apabila bertembung antara dua maslahah dalam satu kategori ini hendaklah diutamakan agama daripada jiwa, jiwa daripada keturunan, keturunan daripada akal, akal daripada harta. Islam mengharuskan membuka aurat ketika hendak berubat kerana membuka aurat perkara tahsini manakala mengubati sakit perkara dharuri. Di sini islam lebih mengutamakan perkara dharuri daripada perkara tahsini.

Dalam syarat perlantikan ketua negara ia mestilah seorang yang mencapai tahap mujtahid tetapi apabila tiada orang yang mencapai tahap itu maka dapat dilantik orang yang bertaqlid kerana jikalau membiarkan pemerintah tanpa ketua negara boleh menyebabkan kepincangan serta kerosakan yang lebih besar dalam negara. Di sini pentingnya kita melihat untung rugi dengan menganalisis jangka panjang dan jangka pendek. Kalau kita membiarkan pemerintahan tanpa ada ketua negara hanya bagi mencari orang yang mencukupi syarat maka ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih buruk.

Sebagai contoh para sahabat berhimpun di bani Saqifah bagi melantik ketua negara menggantikan Rasulullah S.A.W kerana membiarkan kaum Muslimin ketika itu tanpa ada ketua negara akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar. Di sini jelas para sahabat mengikut urutan keutamaan dengan memilih ketua negara terlebih dahulu selepas itu barulah memaqamkan jasad Rasulullah S.A.W

Islam menghalalkan perhubungan jenis melalui perkahwinan yang sah dan mengharamkan zina serta mengenakan hukuman hudud ke atasnya kerana ia adalah perkara dharuri. Tanpa hukuman ini akan pincanglah masyarakat.

Dalam perkara hajiyat nasab keturunan pula, Islam mensyaratkan sahnya perkahwinanan itu mestilah ada saksi, wali dan mahar. Manakala tahsini iaitu mestilah ada kesamaan antara suami isteri, bagi menjamin kasih saying yang berkekalan. Begitu juga apabila bertembung di antara dua keburukan perlulah memilih yang kurang keburukannya. Islam mengharamkan suami mengadakan hubungan jenis dengan isterinya dalam keadaan haid tetapi apabila ia tiada mengadakan hubungan jenis akan mnegakibatkan berlakunya perzinaan yang lebih besar mudaratnya maka diharuskan perhubungan itu bagi mengelakkan berlakunya perzinaan yang lebih buruk akibatnya. Walau bagaimanapun perbuatan itu tetap berdosa.

Islam mengharuskan minum arak apabila ia dipaksa atau keadaan darurat kerana menjaga diri da jiwa lebih utama daripada menjaga akal. ‘Izuddin bin Abdul Samad dalam bukunya Qawa’id al-Ahkam mengatakan, “Harus berubat dengan najis apabila tiada ubat yang bersih ketika darurat kerana mebiarkan tanpa berubat lebih besar buruknya.”

Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, “Antara tanda kefahaman seseorang dalam agama serta ketinggiannya, dia dapat mengetahui serta menilai kategori yang ditentukan sama ada dalam meletakkannya dalam kategori yang ditentukan sama ada dalam perkara suruhan atau tegahan.” (Sahwah al-Islmaniah bayn al-Juhud wa al-Tataruf, hal. 175-177, Dar al-Wafa’, Kaherah)

Islam mendahulukan fardhu ain atas fadhu kifayah seperti mendahulukan berbakti kepada ibu bapa dan ketaatan kepada keduanya lebih utama daripada berjihad selagi mana jihad adalah fardhu kifayah. Tidak harus si anak keluar berjihad tanpa izin daripada ibu bapanya. Fardhu ain yang bersangkutan dengan jamaah hendaklah didahulukan dengan fardhu ain secara berseorangan seperti berjihad ketika umat Islam ditindas, jihad ini menjadi fardhu ain atas jamaah maka ia adalah utama daripada berbakti kepada ibu bapa.

Begitu juga hendaklah mendahulukan fardhu atas wajib, wajib atas sunat dan sunat mu’akat atas mustahab (perkara-perkara yang digalakkan). Umpamanya, pemerintah yang adil lebih baik daripada mengerjakan amalan ibadat sunat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Satu hari bagi pemerintah yang adil lebih afdal daripada ibadat enam puluh tahun. (riwayat Tabrani, Baihaki daripada Ibn Abbas).

Terdapat golongan yang lebih mengutamakan amalan sunat daripada amalan fardhu da wajib terutama golongan ahli kerohanian yang hanya membanyakkan zikir, tasbih dan wirid daripada menegah mungkar yang berleluasa dalam masyarakat dan lebih ketara lagi golongan yang hanya mementingkan persaoalan furu’ (cabangan) daripada pembinaan asas tauhid. Perkara tegahan juga mempunyai kategori:

1. Makruh yang hamper kepada halal
2. Makruh yang hamper kepada haram
3. Perkara subahat yang banyak manusia tidak mengetahuinya.

0 comments:

Post a Comment