Jamaluddin al-Afghani

Jamaluddin al-Afghani

Jamaluddin al-Afghani
adalah pengislah, ahli fikir dan mujahid yang membawa pembaharuan kepada dunia Islam pada abad ini. Pemikiran-pemikirannya member kesan ke atas kebangkitan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia melalui pelajar-pelajar al-Azhar yang pulang ke tanah air ketika itu.

Beliau menyeru kepada perubahan dan tajdid, membuka pintu ijtihad, meniupkan ruh kerjasama dan persaudaraan, menentang bentuk-bentuk penjajahan barat, serta membebaskan umat Islam daripada belenggu taqlid, bidaaj dan khurafat. Muhammad Abduh menyifatkan kedatangan al-Afghani ke Mesir membawa sinar baru dan sinilah segala idea pembaharuannya berkembang. Beliau menggariskan empat factor terpenting dalam pembaharuan umat iaitu:

1. Beriltizam dengan prinsip-prinsip Islam dan mengikuti petunjuk ulama umat.

2. Membebaskan umat daripada belenggu penjajahan dalaman dan luaran.

3. Menyatupadukan umat Islam dalam satu kesatuan.

4. Mengambil aspek-aspek kebaikan dalam ilmu sains dan pentadbiran Barat.

Gagasan al-Afghani bukan sahaja berlegar di permukaan tetapi menyentuh dasar kehidupan umat hingga ke dimensi paling dalam, iaitu islah al-uqul wa al-nufus, pembaharuan jiwa dan minda. Sesudah itu disusuli dengan islahal-hukumah, reformasi politik pemerintah. Pembaharuan gaya al-Afghani adalah pembaharuan dalam erti kata kembali kepada pengertian keaslian dan kemurnian agama Islam dengan ruang lingkup yang mencakupi segala bidang kehidupan agama, sosial dan politik.
Menurut al-Afghani gerakan pembaharuan harus berteraskan kepada pembaharuan keagamaan. Perkara utama yang cuba ditangani oleh al-Afghani ialah kemunduran dan kelemahan umat Islam terutama dalam kaitannya dengan kuasa Barat. Al-Afghani menelusuri akar punca kehilangan dinamika umat Islam dan menemukannya pada pencemaran agama Islam yang dilakukan oleh kaum zindiq, golongan sufi, sophist dan pemalsu hadis.dengan demikian, pemikiran al-Afghani memusat kepada tema pemurnian akidah dan Islam dengan menekankan dinamika dan daya dorongannya kea rah kemajuan.

Dengan semangat itulah al-Afghani meneruskan perjuangan nahdah (kebangkitan) kaum Muslimin dengan membicarakan isu seperti qada dan qadar, peranan ilmu dan sebagainya. Al-Afghani menekankan peranan agama dalam mengangkat martabat manusia dan membangunkan tamadunnya. Beliau melihat Islam sebagai agama yang paling lengkap sesuai bagi pembangunan tamadun manusia. Islam membekalkan manusia dengan akidah tauhid yang membebaskannya daripada belenggu segala kepercayaan, mitos dan dongeng yang tidak rasional. Islam yang menumbuhkan pada diri manusia harga diri sebagai makhluk terunggul di bumi.

Dalam menghadapi realiti kemunduran umat Islam, al-Afghani menyarankan umat Islam memerlukan kepada sesuatu gerakan islah yang bersifat menyeluruh untuk kembali segar dan mampu berfungsi sebagai wahana kebangkitan tamadun. Oleh itu, semangat ijtihad perlu disuburkan dan menolak budaya taqlid.

Al-Afghani berpendapat, kefahaman kepercayaan kepada takdir yang salah iaitu manusia hidup laksana kapas diterbangkan angin ke mana-mana, tidak mempunyai daya usaha sendiri menyebabkan kaum Muslimin menjadi pemalas dan menerima nasib malang dengan tidak berusaha membebaskan diri daripada kehinaan dan kemiskinan. Sebenarnnya, kepercayaan kepada takdir menumbuhkan keperibadian mulia dan idealism, bukan membunuhnya.

Al-Afghani menerbitkan majalah al-Urwat al-Wuthqa yang bertujuan berkhdimat kepada umat Timur dengan menjelaskan apa yang mesti mereka lakukan untuk kebangkitan umat semula. Ia juga menjelaskan hasil-hasil penyelidikan tentang sebab-sebab kelemahan umat Islam dan cara mengatasinya, membangkitkan semangat cita-cita dan berani dalam jiwa, berpegang teguh kepada prinsip agama dan menyampaikan berita dan peristiwa politik berlaku. Di samping itu, menangkis segala serangan dan tuduhan yang dilemparkan oleh Barat.

Penulis merupakan seorang Siswa dari Fakulti Bisnes yang sedang berpraktikal di Majlis Amanah Rakyat.Tulisan ini diolah dari buku Dakwah Kompetori.

0 comments:

Post a Comment