Adakah Suara Wanita Aurat?

Ada orang menyebutkan suara wanita itu adalah aurat dan wanita tidak boleh berkata-kata kecuali kepada suami dan mahramnya sahaja. Perkara ini tidaklah benar sama sekali. Al-Quran mengharuskan para sahabat daripada golongan lelaki menanya isteri-isteri nabi SAW dari balik tabir. Permintaan dan pertanyaan itu memerlukan jawapan dari ummahatul mukminin (gelaran yang diberi kepada isteri-isteri nabi). Mereka biasa memberi fatwa kepada orang yang meminta fatwa daripada mereka dan meriwayatkan hadis bagi orang yang ingin mengambil hadis mereka.

Pernah seorang wanita bertanya kepada Nabi SAW di hadapan kaum lelaki. Dia tidak merasa keberatan melakukan hal itu dan nabi pun tidak melarangnya. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika Umar sedang di atas mimbar. Atas sanggahan itu, Umar tidak mengingkarinya, bahkan mengakui kebenaran wanita itu dan mengakui kesalahannya sendiri.

Kita juga mengetahui kisah dua puteri nabi Shuaib yang berdialog dan berbicara dengan nabi Musa (diceritakan dalam surah al-Qashah ayat 23-25) dan kisah nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis serta percakapan Ratu Balqis dengan pembesar-pembesarnya daripada kalangan lelaki.

Perkara yang dilarang dalam syariat ialah melunakkan pembicaraan bagi menarik lelaki yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai al-hkudu bil-qaul (lunak dan memikat apabila berkata-kata) seperti yang disebut dalam surah al-Ahzab ayat 32.

0 comments:

Post a Comment