Pertembungan nilai kisah Kartika tuntut tindakan

Kisah Kartika Sari Dewi Shukarno menjadi tajuk perbincangan hangat beberapa minggu lalu. Kisahnya wajar ditelusuri secara mendalam oleh warga belia Islam memandangkan ia mempunyai beberapa implikasi dari sudut pemikiran. Pada hemat saya, kisah Kartika ialah satu daripada manifestasi mengenai realiti pertembungan aliran nilai yang sedang dialami masyarakat sekarang.

Pertembungan aliran nilai ini didorong dua faktor utama. Pertama, peningkatan kesedaran yang amat tinggi di kalangan masyarakat Islam terhadap tuntutan penghayatan nilai dan ajaran agama yang menyeluruh di segenap aspek kehidupan. Kedua, perkembangan pengaruh nilai yang bercorak liberal yang amat pesat sekali di negara kita kesan proses persejagatan atau globlisasi.

Bagi sesetengah perkumpulan masyarakat Islam, hukuman terhadap Kartika perlu diteruskan tanpa perlu penangguhan kerana hukuman itu sejajar dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Tambahan pula, Kartika sudah mengakui kesalahannya serta rela hati untuk menjalani hukuman sebat. Pelaksanaan hukuman ini dilihat amat mustahak sebagai satu bentuk pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat, terutama kepada golongan muda yang sejak akhir-akhir ini mudah terjebak dengan perbuatan yang membahayakan diri seperti meminum minuman keras.

Menerusi hukuman ini, ia diharap dapat member keinsafan bukan saja kepada pesalahnya, malah memberi peringatan dan rasa takut kepada orang lain mengenai bahaya amalan meminum minuman keras.

Meminum minumam keras adalah satu daripada dosa besar dan dari sudut perundangan Islam, pelakuanya boleh disebat sehingga 80 sebatan. Ketegasan ini menunjukkan bahawa seriusnya Islam menangani gejala meminum minuman keras yang juga ibu kepada banyak gejala tidak baik di dalam kehidupan diri dan masyarakat.

Namum, bagi sesetengah perkumpulan masyarakat lain, hukuman itu menunjukkan sifat kurang belas kasihan agama Islam terhadap wanita. Ia dianggap satu bentuk penderaan, malah sehingga ke tahap penganiayaan terhadap wanita. Kartika pada pandangan mereka perlu diberi peluang kedua terlebih dulu memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah kali pertama kali.

Kisah Kartika ini juga menjadi sumber berita yang hangat di media antarabangsa. Malaysia menjadi tumpuan kerana pelaksanaan hukuman ini memperlihatkan sifat keras perundangan syariah dan agak bertentangan dengan nilai perundangan dunia moden.

Bagi masyarakat mengamalkan cara hidup bebas, seperti Barat, meminum minuman keras bukanlah suatu kesalahan, malah sebahagian keperluan dan satu bentuk gaya hidup moden. Oleh itu, menjatuhkan hukuman sebat bagi sesiapa yang meminum minuman keras dianggap ketinggalan.

Perbezaan pandangan dan fikiran di dalam menentukan bentuk hukuman yang sewajarnya terhadap kesalahan meminum minuman keras memperlihatkan pertembungan nilai yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita. Kisah Kartika ini memberikan beberapa pengajaran.

Pertama, kisah ini menunjukkan pelaksanaan perundangan Islam masih berdepan hambatan. Hambatan paling utama ialah kewujudan suatu tanggapan atau persepsi yang agak negatif terhadap perundangan Islam itu sendiri.

Tanggapan negatif ini masih meluas. Hambatan ini mengakibatkan proses pelaksanaan sesuatu hukuman yang pada falsafah dan semangatnya bagi memberikan pendidikan dan peringatan kepada masyarakat banyak boleh ditafsirkan sebagai suatu bentuk penganiayaan dan penderaan.

Kedua, kebanyakan masyarakat masih kabur mengenai cara pelaksanaan hukuman sebat mengikut prinsip dan adab syariah atau perundangan Islam. Masyarakat keliru bahawa sebatan itu seumpama cara yang diamalkan terhadap pesalah di mahkamah sivil yang didapati amat menakutkan dan menyakitkan.

Ketiga, sebarang bentuk pelaksanaan perundangan Islam akan mudah mendapat perhatian dan tumpuan masyarakat antarabangsa kerana persepsi umum masyarakat antarabangsa seolah satu bentuk undang-undang yang terpencil, mundur dan tidak memenuhi tahap piawaian perundangan antarabangsa.

Malah hukuman itu pada tanggapan mereka tidak perlu dilakukan kerana meminum minuman keras adalh suatu amalan kerana terlalu biasa dan menjadi hak hakiki seseorang individu. Hambatan ini wujud dan terjadi antara lain ialah perbezaan nilai yang dilindung oleh masyarakat sama ada di negara ini mahupun luar negara.

Memandangkan kita kini sedang berada pada era peralihan zaman dikenali sebagai globlisasi, setiap perlakuan dan perbuatan yang pada asalnya adalah baik suatu yang berlainan pula. Ia kesan daripada proses hebahan berita yang meluas menerusi saluran komunikasi yang pantas dan pelbagai.

Usaha kesedaran dan pemahaman mengenai hakikat perundangan Islam memerlukan usaha lebih giat, lebih serius dan berkesan selepas ini. Penyebaran kefahaman yang menyeluruh akan dapat mengatasi masalah pertembungan nilai yang berlaku kini.

Pada setiap pelaksanaan hukuman berdasarkan perundangan Islam, disandarkan kepada falsafah dan nilai pendidikan bagi tujuan menjauhkan masyarakat daripada terjebak dengan perbuatan yang memang diperakui menyumbang kepada kepada kemudaratan kepada diri dan akal fikiran setiap pelaku.

Sekiranya pemahaman mengenai falsafah perundangan Islam dapat disebar luaskan secara berkesan, proses pelaksanaannya akan dianggap rasioanal oleh masyarakat terbanyak.

Belia Islam sebagai kelompok teras masyarakat negara ini perlu mengambil inisiatif depan bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai falsafah perundangan Islam.

Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk pertembungan nilai di kalangan mereka terhadap sesuatu yang membabitkan persoalan perundangan Islam di dalam negara. Malah mereka harus menjadi kumpulan teladan yang mampu menjadi pengimbang sekiranya terjadi sebarang bentuk pertembungan nilai di dalm masyarakt nanti di dalam apa jua isu dan persoalan.

Ini hanya boleh dilakukan jika mereka benar-benar faham konsep dan falsafah perundangan islam. Kepada Kartika, kita mendoakan semoga Allah menerima keinsafannya dan kesediaannya menerima hukuman dengan rela hati wajar mendapat pujian semua pihak. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lahi Mengasihani.

Muhamad Razak Idris

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Berita Harian

2 September 2009

0 comments:

Post a Comment