Membentuk Belia Mantap Rohani, Jasmani

Abim lancar program kempen derma, berjariah perkasa generasi muda Islam
Kitab suci al-Quran mengandungi banyak pengajaran dan pesanan. Satu daripadanya, supaya umat Islam bersikap bertanggungjawab terhadap generasi di kemudian hari dengan tidak meninggalkan mereka dalam keadaan yang lemah.

Pesanan ini terkandung dalam al-Quran yang mana Allah mengingatkan dan memesan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan membahagikan harta pusaka supaya mengagihkannya secara adil dan saksama.

Ini bagi memastikan pembahagian itu tidak membawa penganiayaan dan kezaliman kepada mereka yang berhak terutama pengagihan membabitkan anak yatim dan golongan daif.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak yatim) oleh orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka bimbang terhadap masa depan dan keselamatan anak, oleh itu maka hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak).” (Surah al-Nisa’,ayat 9)

Peringatan dan pesanan itu disampaikan Allah kerana ada sebahagian manusia yang bersikap tamak serta zalim dengan keputusan dalam urusan harta benda hingga membawa penganiayaan terhadap golongan lemah seperti anak yatim.

Dalam hubungan ini, Allah memberi pesanan terutama kepada penjaga harta pusaka dengan gambaran apakah mereka tidak berasa bimbang jika ditakdirkan pewaris itu ialah anak mereka?

Apakah tidak ada rasa bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka jika generasi yang ditinggalkan dalam keadaan lemah? Pengajaran umum daripada pesanan al-Quran ini amat meluas sekali. Tentunya, pesanan ini tidak merujuk kepada golongan penjaga harta pusaka secara khusus.

Ia juga adalah peringatan kepada seluruh umat Islam supaya bersiap siaga dan memandang ke depan dalam merancang masa depan generasi yang mereka akan tinggalkan nanti. Umat Islam hendaklah sentiasa bertanyakan diri sendiri mengenai nasib anak mereka suatu hari kelak. Apakah anak mereka tergolong daripada kalangan generasi yang lemah atau kuat?

Semangat pengajaran ayat al-Quran itu harus menjadi pegangan seluruh umat Islam sempena sambutan Nuzul al-Quran tahun ini. Untuk itu, kita hendaklah mengolongkan diri di kalangan kelompok yang mengambil berat terhadap keselamatan dan masa depan generasi akan datang.

Bagi tujuan itu, kita semua hendaklah bersama-sama menjayakan usaha pembangunan generasi belia Islam yang memiliki serba kekuatan dalam kehidupan bagi memastikan tidak terjebak dalam perbuatan menganiayai dengan meninggalkan generasi akan dating dalam keadaan yang penuh dengan kelemahan.

Sesungguhnya, usaha itu adalah satu agenda luhur dan murni memandangkan generasi belia Islam adalah kelompok pewaris kepada kepemimpinan negara dan ummah pada masa depan. Ada beberapa faktor yang menuntut usaha pembangunan belia Islam diperhebatkan.

Pertama, golongan belia Islam adalah kelompok teras masyarakat Malaysia hari ini. Bilangan mereka juga adalah yang terbanyak. Belia Islam di negara kita terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.

Mereka terdiri daripada kalangan belia Islam berbangsa Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian latar belakang ini ialah kesan proses pengislaman dan perkembangan ajaran agama Islam yang pesat di negara ini.

Mereka adalah tonggak yang akan mempengaruhi corak perkembangan negara pada masa depan daripada sudut ekonomi, politik dan sosial. Keutuhan mereka asas kesejahteraan negara Malaysia.

Kedua, peranan belia Islam di negara kita penting dan berpengaruh sekali kerana Malaysia secara khusus adalah sebuah negara contoh kepada banyak negara terutama dunia Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.

Jaminan kepemimpinan negara yang berkesan di pentas dunia bergantung kepada keupayaan kita membangunkan generasi belia Islam berkualiti dalam segenap aspek kehidupan. Peranan dan tanggunjawab mereka hari ini tidak lagi berkisar dalam ruang dan sempadan negara tetapi kelompok pemimpin di pentas kehidupan dunia yang serba luas.

Ketiga, belia Islam kini sedang berada di era dunia yang mencabar. Salah satu cabaran utama belia Islam ialah globalisasi. Proses keterbukaan dan liberalisasi yang menjadi elemen utama era globalisasi ini menuntut belia Islam bersiap sedia secara sempurna.

Belia Islam yang terbangun secara sepadu daripada aspek jasmani, rohani, akal dan emosi akan berupaya mendepani cabaran tidak menentu ini. Bersandarkan faktor itu, tuntutan membangun belia Islam yang utuh dan kuat begitu mendesak sekali.

Tuntutan itu harus menjadi kewajipan dan tanggungjawab segenap lapsian masyarakat. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku wadah terbesar bagi belia Islam di negara ini berasa terpanggil untuk memberikan tumpuan khusus kepada Agenda Pembangunan Belia Islam pada masa depan.

Ia sejajar semangat pesan al-Quran yang meminta kita berasa bimbang mengenai masa depan generasi akan datang supaya tidak ditinggalkan dalam keadaan lemah. Agenda pembangunan belia Islam, rancangannya harus bersifat menyeluruh.

Antara aspek utama yang akan diberi tumpuan ABIM ialah bidang pendidikan Islam dan latihan, peningkatan ketrampilan dan kepimimpinan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan, pemupukan semangat kesukarelawan, pengukuhan kebajikan sosial dan kesedaran alam sekitar dan isu antarabangsa di samping pembinaan jiwa patriotik.

Agenda itu menuntut dokongan masyarakat terbanyak. Semua lapisan masyarakat wajar digalakkan terbabit secara serius dalam menjayakan agenda pembangunan Islam. Bagi mendorong pembabitan masyarakat, ABIM melancarkan Kempen Menderma, dan Berjariah Untuk Tabung Pembangunan Belia Islam.

Ia bertujuan mengumpul dana bagi melancarkan usaha dan rancangan program pembangunan belia Islam secara lebih berkesan untuk tempoh akan datang.

Bersempena sambutan Nuzul al-Quran, saya ingin mengajak seluruh masyarakat bersama ABIM menjayakan agenda membangun generasi belia Islam yang kuat dengan menderma dan berjariah menerusi tabung ini. Segala bentuk sumbangan ikhlas adalah bermakna di dalam menjayakan cita-cita murni ini.

Untuk Menderma, Sila Lawati:

www.abim.org.my

atau

Sumbangan Juga Boleh Disalurkan Menerusi:
AKAUN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
14-023-01-001118-8

Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Berita Harian Rabu, 9 September 2009

0 comments:

Post a Comment