Keselesaan rakyat sambut Aidilfitri

Langkah kerajaan beri sagu hati wajar dicontohi

Masyarakat Islam kini sedang bersiap sedia menyambut hari lebaran Aidilfitri. Sebagai satu kegiatan ibadah dalam Islam, Aidilifitri hendaklah disambut dengan meriah. Ia adalah sambutan hari kemenangan setiap inidvidu Muslim kerana berjaya memenuhi satu acara ibadah berpuasa, satu daripada teras ibadah di dalam ajaran agama.

Namun, kemeriahan sambutan Aidilfitri bergantung rapat dengan keselesaan masyarakat di dalam proses persiapannya. Dalam hubungan ini, terdapat banyak aspek yang menyumbang ke arah memastikan kemeriahan sambutan ini.

Antara aspek yang paling penting tentulah dari segi persediaan kewangan. Persiapan tradisi Aidilfitri seperti penyediaan kuih-muih raya dan baju baru menuntut satu bentuk komitmen kewangan tambahan oleh individu dan ketua keluarga.

Bagi golongan berpendapatan stabil dan tinggi, persiapan Aidilfitri dalam bentuk yang tradisi seperti dinyatakan bukanlah suatu yang menjadi halangan besar. Namun, keadaan tidak semestinya serupa bagi mereka daripada kalangan berpendapatan tidak stabil dan rendah. Di samping petani, nelayan dan buruh, warga tua dan anak yatim, golongan belia yangn dan buruh, warga tua dan anak yatim, golongan belia yang sedang berada pada peringkat awal untuk berdikari juga tergolong di dalam kelompok ini.

Oleh itu, amat wajar untuk kita memperkatakan mengenai keadaan sebahagian di kalangan anggota masyarakat kita yang tidak dapat melakukan persiapan menyambut hari lebaran kerana kekangan kewangan. Untuk itu, usaha keprihatinan hendaklah dipertingkatkan oleh segenap lapisan masyarakat yang berkemampuan.

Dalam hubungan ini, langkah kerajaan menyediakan sagu hati raya untuk kumpulan sokongan yang bertugas di sector perkhidmatan awam hendaklah dipuji. Langkah ini seharusnya diteladani oleh sector lain. Walaupun jumlah sagu hati tidaklah besar, sekurang-kurangnya ia membantu dari segi persiapan menyambut kemeriahan hari lebaran.

Bagi majikan yang tidak berkemampuan memberi sagu hati, barangkali kaedah pinjaman mudah dalam jumlah yang berpatutan wajar diperkenalkan. Ini sekurang-kurangnya dapat memberikan satu dana sokongan kepada kakitangan atau pekerja yang berkemungkinan di dalam kerumitan kewangan.

Bagi masyarakat terbanyak yang berkemampuan, mereka boleh membantu dengan mengenal pasti jiran tetangga yang berada di dalam kerumitan kewangan dengan memberikan sumbangan. Ini menuntut sifat ambil tahu dan peduli kepada persekitaran masyarakat sekeliling.

Dalam ajaran Islam, ibadat zakat fitrah adalah satu bentuk pendekatan atau mekanisme bagi membantu golongan daif membuat persiapan hari raya secara selesa. Di samping memenuhi tuntutan berzakat fitrah sepanjang Ramadan ini, golongan berkemampuan tidak harus terhenti sumbangan mereka kepada golongan daif dalam kadar jumlah zakat yang ditentukan oleh pihak berkuasa.

Mereka boleh menambahkan lagi sumbangan menerusi derma atau sedekah. Di samping aspek sokongan dalam bentuk kewangan, persiapan Aidilfitri akan lebih selesa dilakukan sekiranya sistem perkhidmatan awam dipertingkatkan terutama sepanjang musim sambutan hari lebaran ini.

Hal ini perlu ditekankan kerana kebanyakan mereka yang menggunakan perkhidmatan awam adalah kalangan orang bermusafir, masyarakat yang berpendapatan rendah serta golongan belia dan muda-mudi.

Kita harus mengakui iaitu, walaupun sistem pengangkutan awam di negara kita sudah agak ke depan berbanding beberapa negara dunia ketiga, pada masa yang sama banyak ruang untuk penambahanbaikan yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah dari sudut ketepatan jadual perjalanan dan jumlah laluan pada waktu puncak.

Kelemahan dua aspek ini amat ketara di dalam perkhidmatan komuter. Berasaskan beberapa pengalaman menggunakan perkhidmatan ini terutama pada waktu puncak, perkhidmatannya amat tidak selesa. Jumlah laluan komuter tidak dapat menampung bilangan pengguna yang begitu ramai.

Keadaan bertambah buruk lagi sekiranya berlaku pembatalan dan kelewatan jadual perjalanan pada satu-satu masa. Ia akan mengakibatkan kesesakan teruk bukan saja di stesen, malah juga di setiap gerabak.

Rungutan terhadap kesesakan dan ketidakcekapan ini sudah banyak disuarakan oleh pengguna tetap perkhidmatan itu menerusi laporan media secara berterusan. Untuk itu, langkah segera wajar diambil oleh pihak yang bertanggungjawab di dalam urusan pengendalian perkhidmatannya. Kita tidak pasti selama mana pengguna akan dapat bertahan dan bersabar dengan suasana ketidakselesaan dan ketidakcekapan ini.

Kita amat prihatin menyuarakan kelemahan perkidmatan ini kerana pada masa ini pengguna yang kebanyakannnya kalangan berpendapatan rendah dan belia ramai sekali menggunakan khidmat pengangkutan itu bagi tujuan membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Kerajaan wajar memberikan tumpuan khas mengatasi kelemahan ini kerana sesungguhnya jika ia dibiar berlanjutan, akan memberi kesan buruk terhadap imej kerajaan. Tambahan pula, kerajaan sekarang sedang mempromosikan tema kerja ‘Rakyat di dahulukan, Pencapaian diutamakan’ seperti diuar-uarkan dalam gagasan 1Malaysia.

Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM)
Berita Harian 17 September 2009

0 comments:

Post a Comment