Generasi muda perlu sedar sejarah Hari Malaysia

Semalam, 16 September menandakan 46 tahun usia penubuhan Malaysia. Tarikh ini pada 1963, perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, dan Sabah serta 30,000 rakyat.

Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia, lantas melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan ‘Ganyang Malaysia’ berlanjutan hingga 1966.

Apakah generasi muda sedar kewujudan Hari Malaysia? Jawapan yang mungkin ‘ya’ dan mungkin ‘tidak’, kerana tiada kajian menunjukkan perpepsi ini.

Saya menulis melalui gambaran perpepsi melalui jawapan yang saya terima daripada belia remaja sekitar saya. Hasilnya, saya kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya pada masa depan.

Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilainya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini adalah satu fenomena tidak sihat di dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotism pada diri mereka.

Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah generasi sekarang perlu sedar pentingnya tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia. Jangan biarkan generasi muda terus lupakan sejarah Malaysia yang penuh dengan perjuangan generasi terdahulu.

KHAIRUL ANWAR SHAZALI
Penulis merupakan mantan Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM Pusat). Kini memegang amanah sebagai Yang Di-Pertua, Persatuan kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis) .Artikel ini diterbitkan di Berita Harian,17 September 2009 di ruangan Surat dan E-mel.

0 comments:

Post a Comment