Fiqh al-Hadhari

Memahami Ciri-Ciri Tamadun

Dalam usaha membina manusia, kefahaman fiqh al-Hadhari amatlah penting. Fiqh al-Hadhari bermaksud kefahaman manusia dalam membina tamadun yang mempunyai keseimbangan antara keperluan rohani, jasmani, akal dan emosi bagi merealisasikan nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan. Tamadun yang dikehendaki oleh Islam adalah pembinaan manusia serta memakmurkan dunia menerusi nilai-nilai kemanusiaan dan alam sejagat serta mengikut manhaj rabbani. Dalam pembinaan tamadun ini ia mempunyai tiga aspek yang terpenting iaitu:

1. Manusia
2. Akal atau dikenali sebagai kebudayaan dan akudah
3. Kebendaan

Hakikat manusia diwujudkan oleh Allah adalah supaya kita beribadat kepadanya sambil memakmurkan dunia ini. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 bermaksud, “Apabila ketika Tuhan berkata kepada para malaikat, sesungguhnya aku jadikan di atas muka bumi ini khalifah.

Allah SWT menjanjikan, orang yang akan mewarisi bumi ini adalah golongan yang sentiasa beramal soleh, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, bekerja dengan penuh amanah, ikhlas dan jujur. Kehidupan mereka hanya mengharap keredhaan Ilahi. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj,ayat 41 bermaksud, “Iaitu orang-orang yang apabila kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi ini nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’aruf dan menegah daripada perbuatan mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan.”


Makna Tamadun

Daripada sudut bahasa Arab, terdapat pelbagai istilah digunakan dalam konteks tamadun. Antaranya adalah madaniah, tamaddun, hadarah dan umran. Ibnu Khaldun menggunakan istilah al-umran dalam bukunya yang terkenal Muqaddimah dengan erti “kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju.” Dalam pengertian yang lain umran adalah kehidupan menetap yang menjadi asas kepada semua tamadun. Ibnu Khaldun menggunakan perkataan umran dalam kajiannya mengenai ibu kota ataupun kota-kota yang didirikan oleh raja-raja dan pemerintah. Perkataan hadarah bermakna suatu wilayah, daerah,ibu kota, bandar, kampong dan kawasan tanah yang didiami dan diusahakan. Hadharah adalah lawan kepada perkataan badwi. Para pengkaji barat memberikan takrif tamadun seperti berikut:

a. Darcy Riberio berpendapat tamadun sebagai cantuman susunan dan proses tamadun individu. Beliau menekankan beberapa proses dalam tamadun terutama revolusi Bandar. Menurutnya Bandar-bandar memancarkan kepada manusia peluang-peluang untuk kemajuan material dan spiritual mereka. Dengan kata lain tamadun itu berkait rapat dengan perbandaran.


b. Clive Bell menjelaskan tamadun adalah criteria masyarakat. Hal ini bererti, tamadun adalah kayu ukur bagi menentukan tahap pencapaian sesuatu tamadun. Cirri-ciri tamadun ini yang membezakan sebuah masyarakat maju dengan masyarakat mundur.


c. Arnold Tonybee menjelaskan tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di kota. Ini memberikan kesimpulan, tamadun itu adalah tatacara hidup yang dicetuskan oleh orang-orang yang tinggal di bandar-bandar dalam membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral.


d. Clive Bell menjelaskan tamadun adalah criteria masyarakat. Hal ini bererti, tamadun adalah kayu ukur yang menentukan tahap pencapaian sesuatu tamadun. Tamadun yang membezakan sebuah masyarakat maju dengan masyarakat mundur.

Pengkaji bahasa Arab sekarang mengatakan, perkataan hadharah bersamanya dengan civilization yang bermakna tamadun. Contohnya Ali Abd. Halim Mahmud dalam bukunya Taraju’ al-Hadharah al-Islamiah, (Sebab-sebab Kemunduran Tamadun Islam) Muhammad Muhamad Husain, dalam bukunya al-Islam wa al-Hadarah Gharbiyyah (Islam dan Tamadun Barat).


Sayyid Qutb r.a mengatakan, tamadun adalah sesuatu yang memberikan kepada manusia tentang gambaran, kefahaman, asas serta nilai-nilai yang memperbaiki kehidupannya dalam memimpin manusia. Dengan inilah ketamadunan dapat berkembang dan maju dengan menerusi aspek-aspek keinsanan. Sayyid Qutb dalam bukunya Ma’alim Fi al-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) mengariskan asas pembinaan tamadun Islam:


1. Pengabdian diri kepada Allah SWT
2. Berorganisasi atas dasar akidah
3. Keagungan dan keluhuran nilai kemanusian berbanding dengan nilai kebendaan.
4. Berfungsi nilai-nilai kemanusiaan yang menyebabkan berkembangnya sifat ‘kemanusian’ manusia, bukan sifat ‘kebinatangan’.
5. Kesucian keluarga dan keturunan.
6. Melaksanakan tugas ‘khalifah’ di bumi Allah dengan mengikut panduan Allah dan setia memegang janji dan amanah Allah.
7. Mematuhi syariatnya dalam semua urusan khalifah.


Malik bin Nabi mengatakan,tiga aspek perbahasan dalam pembinaan tamadun iaitu:

1. Perbahasan mengenai manusia
2. Perbahasan mengenai tanah dan bumi
3. Perbahasn mengenai waktu

Tamadun=Manusia+Tanah+Waktu(Shurut al-Nahdah, Malik bin Nabi, hal.65, Dar Fikri.)

Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyebutkan tamadun sebagai keadaankehidupan insan bermasyarakat yang sudah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya. Abu Bakar Hamzah dalam bukunya Sejarah Kebudayaan Islam mengatakan, tamadun ialah sesuatu yang lahir dan kembang bersama-sama kehidupan manusia dan perkembangan-perkembangan yang lahir daripadanya sama ada sesuatu yang berupa niskala (abstrak) mahupun yang berupa sekala (material). Sementara kebudayaan ialah hasil daripada fikiran dan akal budi manusia. Ia member erti sesuatu yang berupa abstrak yang dihasilakn oleh pemikiran manusia dan akal budinya. Oleh itu, pengertian tamadun lebih luas daripada kebudayaan kerana kebudayaan membicarakan sesuatu yang bersifat abstrak dan tamadun pula mementingkan sesuatu yang bersifat material. Walaupunia tidak pula sampai membelakangkan langsung sesuatu yang bersifat abstrak tadi.

NOR HAFIZ BIN RAZALI
Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS)

0 comments:

Post a Comment