PERSOALAN kesan media massa sesuatu yang dibincangkan sejak dulu. Media mempunyai peranan dalam membangun dan mengembangkan budaya. Namun, realiti yang kita lihat lebih banyak kesan negatif hasil laporan media, Kebudayaan kita sedikit demi sedikit ditelan budaya luar.
Media massa ialah medium penyampai maklumat, alat penghibur dan penyebar budaya. Media sentiasa mengalami perubahan dan ini menyebabkan persaingan untuk menarik perhatian massa.
Manusia sentiasa melahirkan budaya yang menjadi sebahagian hidup sekali gus sistem nilai yang mempengaruhi hidupnya. Justeru, media abad ke-20 inilah berperanan dalam perubahan nilai.
Media secara langsung atau tidak menjadi pengimport budaya asing. Media cenderung mengusung budaya popular yang berkiblatkan Barat.
Politik juga sedikit sebanyak terkesan daripada media. Sebagai contoh, pelaksanaan pemerintahan dan pembangunan sains dan teknologi juga hasil media massa. Jika pemimpin tidak melihat televisyen atau melayari internet, masakan terfikir untuk membangunkan negara bermodelkan Barat. Namun, segala kesan yang berlaku bukan semata-mata daripada media. Adalah tidak adil jika kita menyalahkan sepenuhnya media kerana semuanya bergantung kepada tahap pendidikan dan pemikiran.
Psikologi seperti ini penting dalam mengukur kesan sesuatu. Jika seseorang tiada pendidikan agama sempurna, maka ia menerima apa saja disiarkan media. Kita dapat ketahui media membawa kesan yang amat besar dalam perubahan kebudayaan di samping pendidikan. Tiada seorang pun terlepas daripada jeratan kuasa media. Persoalan penting bagaimana masyarakat mendepaninya untuk mengambil kesan positif atau negatif.
AZIZAN AJIJI,
Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor.
-
0 comments:
Post a Comment