KETAKUTAN TERHADAP JEANAYAH JADI SINDROM

Rakyat perlu diberi kefahaman implikasi kesalahan ke atas kehidupan, kesejahteraan negara.

Jenayah adalah isu yang sangat dibicarakan kebelakangan ini. Rata-rata masyrakat kita dihinggapi dengan apa yang dikenali di kalangan penganalisis jenayah di Barat sebagai sindrom ketakutan terhadap jenayah.

Perbincangan berhubung jenayah muktakhir ini tidak lagi terbatas sekadar mengulas paparan harian di media massa atau laporan perbicaraan mahkamah yang saban hari semakin menyesakkan dada. Hari ini, masyarakat sudah mula membahaskan secara aktif pelbagai aspek lain yang lebih mendasar berhubung jenayah.

Tidak sukar menyingkap ketakutan terhadap jenayah yang dizahirkan setiap lapisan masyarakat. Justeru, persoalan dasar seperti pencegahan dan pengurangan kadar jenayah, aspek hukuman alternatif terhadap penjenayah, kaedah pemulihan pesalah tegar dan banduan, mengundang cetusan reaksi daripada pelbagai sector masyarakat.

Dalam konteks ini, tidak hairanlah kepakaran dan khidmat nasihat penganalisis jenayah semakin ditagih, bahkan profesion itu mula dilihat satu keperluan terutama dalam konteks kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyasarkan pengurangan kadar jenayah sebagai satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Bentuk dan ruang litup jenayah hari ini tidak lagi terbatas kepada konvesional atau komersial yang tradisional. Turut berkembang selari dengan arus semasa dengan lebih pantas pada era globalisasi ialah jenayah siber, keganasan sejagat, industri pemerdagangan manusia serta empayar pengedaran dadah dalam skala besar.

‘Lingkaran jahat’ jenayah era global tidak lagi mengizinkan kita sekadar memikirkan bentuk hukuman yang paling sesuai untuk pesalah lalu lintas, menguruskan lambakan penagih tegar di pusatserenti dan menyuraikan demonstrasi jalanan, sementelahan pula negara kita terus dijadikan hab rangkaian penjenayah antarabangsa.

Rakyat negara ini pula terus-terusan dipergunakan dan dieksport lingkaran kejahatan ini di pelbagai pelosok dunia sebagai pengedar dadah, pengganas atau pekerja seksual. Seperti yang terjadi dalam kes Noordin Mohd Top, tidak mudah menepis prejudis dan fobia masyarakat antarabangsa, waima jiran serantau yang semberono menuding jari menuduh Malaysia sebagai sarang melahirkan penjenayah global.

Sehubungan itu, rakyat perlu dididik dan diberi kefahaman dengan jelas mengenai ancaman dan implikasi jenyah yang meningkat terhadap kehidupan seharian mereka dan pertumbuhan serta kesejahteraan sosial negara.

Pakar kriminologi mendapati sikap masyarakat moden yang terlalu cepat dan taksub menghukum pesalah jenayah serta melihat hukuman tegas sebagai satu-satunya pendekatan menbendung jenayah, sebenarnya tidak banyak membantu untuk mengurangkan kadar jenayah itu sendiri. Sebaliknya, ia akan meningkatkan lagi kadar kes jenayah, menambah longgokan kes tertunggak di mahkamah, menggandakan bilangan banduan, meningkatkan kos operasi penjara sedia ada serta pembinaan penjara baru.

Ini sekali gus meningkatkan penggunaan cukai rakyat dan perbelanjaan negara dan pelbagai implikasi sosioekonomi lain. Ini jelas berlaku di Amerika Syarikat misalnya, yang digelar pemerhati sebagai ‘Gulag kedua’ melihat kepada saiz banduannya.

Ambil pula kes kesesakan penjara di negara kita. Sedarkah kita bahawa jumlah banduan dalam penjara di Malaysia jauh melebihi kapasitinya? Tahukah kita bahawa disebabkan kesesakan itu, sebahagian banduan yang berkelakuan baik diletakkan di bawah sistem parol untuk menjalani pemulihan dalam komuniti dan kini tinggal bersama-sama kita sehingga tamat tempoh hukuman?

Barangkali sudah tiba masanya untuk kita, seperti juga negara maju lain untuk melaksanakan hukuman alternatif selain hukuman penjara seperti khidmat masyarakat sebagai langkah mengawal kesesakan penjara dan banduan.

Jika tidak, mungkin jumlah pesalah yang hari ini kita hukum dan hantar ke penjara akan kembali ke masyarakat lebih awal dan jumlah lebih tinggi. Persoalannya, adakah kita bersedia? Adakah kita bersedia untuk memberikan mereka peluang kedua, malah berganding tangan untuk memulihkan mereka kembali menjadi ahli masyarakat yang berguna nanti?

Kita tidak mempunyai banyak pilihan selain menjadi komuniti berdaya tahan terhadap ancaman jenayah melalui usaha pencegahan, pendidikan dan pemulihan. Dalam era globalisasi, agensi penguatkuasaan seperti polis dan Jabatan Penjara tidak lagi mampu menangani serta menguruskan penjenayah dan banduan tanpa sokongan masyarakat.

Ketakutan terhadap jenayah juga nampaknya tidak terbatas sekadar jenayah konvesional, bahkan ia turut mencakupi kesalahan jenayah di bawah undang-undang Syariah. Kontroversi kes Kartika Sari Dewi Shukarno seolah-olah baru membuka mata masyarakat bahawa meminum arak oleh penganut Islam adalah jenayah Syariah yang boleh membawa kepada hukuman sebat, walhal peruntukan itu sudah lama dikuatkuasakan.

Yang jelas, ‘jenayah’ di Malaysia tidak harus dibataskan kepada kesalahan jenayah yang dilakukan di bawah undang-undang sivil semata-mata, bahkan wajib mengambil kira kesalahan jenayah Syariah berhubung kait hal ehwal umat Islam, seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan secara selari dalam sistem perundangan negara.

Cuma dalam rentetan kontroversi kes Kartika Sari Dewi baru-baru ini, nampaknya ketakutan orang ramai lebih tertumpu kepada pelaksanaan hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah, berbanding kesan berleluasanya penularan ‘jenayah’ minum arak di kalangan umat Islam. Mengapakah seolah-olah wujud persepsi negatif dan sikap berat tatkala membicarakan jenayah syariah berbanding sikap tegas kita dalam membanteras jenayah kontrovesional.

Ramai masih beranggapan tindakan sedemikian (minum arak), jika salah sekalipun, hanya satu kesalahan moral. Jika tidak ditangani secara berhikmah, pastinya kekeliruan di kalangan masyarakat terhadap konsep jenayah menurut perspektif Islam dan aspek pelaksanaan hukuman jenayah syariah di negara ini akan mencetuskan kontroversi berlarutan.

Yang pastinya, hukuman bukanlah satu-satunya jalan menyelesaikan masalah ini. Bahkan dalam ajaran Islam dan sistem perundangan masyarakat bertamadun, hukuman dalam kebanyakan keadaan hanyalah sebagai penyelesaian terakhir, selepas pendekatan lain yang dilaksanakan secara bersepadu melalui pendidikan, pencegahan dan pemulihan.


Namun, tidak dinafikan sama sekali aspek hukuman juga tidak kukuh pentingnya. Tiada sistem masyarakat yang mampu meneruskan kesinambungannya tanpa hukuman terhadap pesalah dan penjenyah yang melanggar tatacara undang-undang yang diterapkan oleh masyarakat. Persoalannya, adakah kita terlalu cepat menghukum?

MOHAMAD RAIMI ABDUL RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

Post a Comment