Sastera.com: Suara generasi muda kepada Kementerian Pelajaran

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my

LAMAN web http://www.prihatin.net membongkar suara generasi muda dalam isu pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan mereka berharap Kementerian Pelajaran bertegas dalam mempertahankan keputusan mereka.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz (gambar), dipetik laman terbabit sebagai berkata, pihaknya menganggap keputusan Kabinet pada 8 Julai lalu, terlalu rapuh dan boleh berubah bila-bila masa.

“Ini kerana ada pihak tertentu cuba mempengaruhi kerajaan secara konsisten bagi memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik. Bagi PKPIM tindakan melanjutkan tempoh pemansuhan dari 2012 sehingga ke 2016, suatu petanda dasar ini mungkin tidak akan dimansuhkan,” Muhammad Faisal dipetik sebagai berkata dalam laman terbabit.

Laman terbabit memetik kenyataan Muhammad Faisal dalam tulisannya Pemansuhan PPSMI: PKPIM Gesa Kerajaan Bertegas yang mempersoalkan tempoh pemansuhan terlalu panjang sedangkan pelaksanaannya hanya memakan masa selama lima bulan 11 hari.

Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI secara berperingkat menjelang 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PKPIM menuntut agar kerajaan tidak tunduk kepada desakan suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan. Kerajaan perlu menyediakan ‘pelan penyelamat’ kepada pelajar yang terkorban ekoran daripada dasar PPSMI.

“Pelajar luar bandar khususnya perlu diberi alternatif terbaik untuk mereka melanjutkan pelajaran. Statistik kerajaan yang menunjukkan dasar PPSMI selama enam tahun sudah mengorbankan lebih kurang tiga juta pelajar luar bandar,” kata Muhammad Faisal.

0 comments:

Post a Comment