JEMPUTAN MAJLIS IFTAR MAHABBAH ( MIFTAH ) 1430 H
TARIKH: 4 - 6 SEPTEMBER 2009
TEMPAT: MASJID NEGARA
BAYARAN: RM 10
Merdeka & Sarwa Pandang Anak Muda
Abad ini telah menyaksikan dunia Islam mengalami suatu proses transisi untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Malangnya, perkembangan dunia Islam selepas perjuangan kemerdekaan rata-ratanya kosong dari segi roh penghayatan dan pengisian kemerdekaan. Sebagai contoh, di sesetengah negara, penjajah telah digantikan dengan diktator pribumi yang adakalanya lebih kejam dari penjajah yang diusir. Sementara itu, krisis akhlak dan jati diri anak muda di negara yang disebut juga semakin menular dan telah melepasi garis kebimbangan. Ditambah pula dengan sifat dan adab murni mereka yang sudah ditutupi oleh tabir kenyataan masyarakat yang secara zahir dhaif budinya.
Situasi ini menuntut suatu rencah baru untuk disajikan kepada generasi muda hari ini. Secara umumnya, perencanaan yang kita laksanakan secara rutin sebagai bentuk menifestasi untuk menghargai peristiwa 31 Ogos 1957 masih memperlihatkan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini mungkin dapat dilihat dengan lebih ketara menerusi sambutan kemerdekaan tanpa disusuli dengan penghayatan dan dijiwai roh pengisian kemerdekaan sebenar.
Hakikat kemerdekaan sebenar tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi harus juga dijiwai dari sudut maknawiat. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus terus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan negara. Secara asas, kemerdekaan ditakrifkan sebagai pembebasan sesebuah bangsa dan negara dari penjajahan. Namun, kemerdekaan sesuatu bangsa sendiri dari perspektif pemodenan harus dirumus meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.
Penghayatan kemerdekaan yang dicari itu bertitik-tolak dari penghayatan sejarah kemerdekaan yang meliputi sudut perjuangan pembebasan dari penjajah biadap. Hari ini nama-nama seperti Dato Onn Ja’far dan Tunku Abdul Rahman mungkin dikenali generasi hari ini. Namun, tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al-Baqir, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Keris Mas dan sebagainya mungkin sudah pupus dari kamus sejarah kemerdekaan anak muda.
Penghayatan sejarah tersebut bukan hanya sekadar untuk kita bernostalgia kosong, tetapi menyambut saranan Allahyarham Pak Natsir kepada kita khususnya generasi Islam untuk berfikir dalam perspektif sejarah memandangkan kita hidup dalam rangka umat manusia yang usianya lebih panjang dari usia kita sebagai individu. Maka sejarah pengorbanan perjuangan mereka tidak hanya wajib diketahui tetapi juga dijiwai.
Dalam pada itu, Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa apabila tamadun sampai ke tangan generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama, serta sudah tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun tersebut akan menghadapi bibit-bibit kemerosotan dan seterusnya mengalami kejatuhan.
Perit jerih pembinaan asas sesebuah negara dan peradaban itu adalah suatu kebenaran yang tidak mampu disangkal. Namun, itulah yang disunnahkan dalam perjuangan iaitu mengejar sesuatu impian walaupun impian tersebut tidak akan dinikmati pejuangnya. Maka saranan yang terbit hasil renungan panjang pemikir tersebut telah melahirkan tanggungjawab yang harus digalas oleh kita sebagai golongan terkemudian dengan tidak melupai generasi pembina atau generasi awal ini.
Sementara itu, penjiwaan kemerdekaan juga hanya dapat dirasai dengan kita kembali kepada asal usul budaya serta pemikiran dan jiwa yang bebas. Istilah “kembali kepada akar budaya” telah ditakrifkan dengan pelabagai definisi. Bagi setengah ‘melayu moden’ ia berupa seruan untuk mengajak kembali kepada cara hidup lama. Tanggapan sebegini telah mencerminkan ketidakfahaman kita terhadap maksud budaya memandangkan kita hanya melihat kulitnya, tanpa mengambil kira isinya.
Padahal yang penting pada budaya ialah sistem nilai yang tersirat dalam budaya itu. Menurut Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa budaya itu lahir dari pemikiran manusia dan pengalaman bersama anggota bangsa. Sebagai contoh nilai keadilan dan permuafakatan yang terbit dari proses tersebut.
Realitinya, proses perubahan hidup moden tidak berlaku secara meliar melainkan ditapis oleh peraturan asas. Asas ini terletak pada nilai yang dipegang anggota masyarakat sejak turun temurun sebagai panduan hidup bersama. Manakala, tradisi pula adalah proses penciptaan budaya yang sambung-menyambung, tidak kira dalam zaman apa. Maka, tidak wujud istilah tradisi lama dan tradisi baru melainkan hanya tradisi sezaman iaitu tradisi yang menjadi acuan bagi apa-apa perubahan. Melalui proses inilah budaya dan tamadun sesuatu bangsa kekal ampuh walau ditelan zaman. Maka yang dimengertikan sebagai maksud ‘kembali’ adalah kembali mengenali sistem nilai bangsa sendiri.
Garis panduan dan acuan ini telah mencorak sikap positif kita dalam menerima peradaban barat yang tidak memaksa kita mengorbankan prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata untuk mengikut arus masa dan melayani ragam zaman.
Sememangnya, antara barat yang mempersonakan dan kebudayaan sendiri yang tampak hina, menjadikan akal pemikiran anak muda gusar dan gundah gulana. Maka, landasan tradisi dan budaya harus dijelmakan agar kita tidak dikenang sebagai si Tenggang yang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Suatu anjakan harus dilakukan dengan tidak hanya mengamalkan ciri-ciri luaran budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan ciri dalamannya sebagai acuan dalam pembagunan bangsa.
Penjelmaan akar budaya dan tradisi ini dituntut dalam mendepani cabaran mendatang. Cabaran yang dilalui berupa dalam pelbagai bentuk. Mungkin dalam bentuk cubaan ‘bil-khair’ (kesenangan), dan mungkin juga dalam bentuk ‘bil-shar’(penderitaan). Ramai yang lulus apabila diuji dengan cubaan ‘bil-shar’, tetapi tidak demikian apabila diuji dengan ‘bil-khair’ seperti lebih banyaknya semut yang mati kerana gula dari yang mati kerana cuka.
Allahyarham Pak Natsir juga seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam erti kata lain, dalam kesibukan kita mengejar kemodenan tidak seharusnya kita nafikan peranan kita dalam membangun suatu generasi yang kukuh dari segi jati diri dan pemikirannya.
Maka, tugas dan perjuangan kita sebagai anak muda adalah kearah mengisi makna kemerdekaan sebagai penyambungan tradisi perjuangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, “Bahawa Allah tiidak merobah nasib sesuatu kaum, kalau kaum itu tidak merobah keadaan dirinya”. Maka darjat bangsa yang rendah tidak akan kemana-mana tanpa dimulai dengan gagasan perjuangan anak mudanya.
Dari Robohan Kota Melaka,
Kita Bina Jiwa Merdeka,
Bersatulah Seluruh Baka,
Membela Keadilan Warisan Pusaka...
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Syura dalam islam
Sistem syura dilaksanakan dalam semua peringkat dan semua lapanagan kehidupan khususnya politik dan ekonomi. Sebagai contoh pengadilan terhadap tawanan yahudi oleh Bani Quraish dilakukan secara syura.
Syura merupakan salah satu daripada prinsip utama dalam perlembagaan islam. Sistem ini akan menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dan Negara sekiranya ia dilakukan atas landasan al-Quran dan al-Sunnah.
Perlaksaan syura juga akan menjamin ketidakwujudan system dictator dalam pemerintahan islam. Perlaksaan syura dalam sisem politik telah wujud sejak zaman Rasulullah (s,a,w) lagi. Banginda telah mengadakan permesyuaratan dan perbincangan dengan para sahabat dalam pelbagai masalah yang menyentuh tentang kepentingan rakyat,
Definisi syura
Dari segi bahasa
Perkataan syura dari segi bahasa bermaksud mesyuarat, perundinagn atau perbincanganlah
Permesyuaratan yang diadakan oleh sekumpulan ulama yang muktabar dan umat islam dalam segala hal yang berkaitan dengan kepentigan dengan kebajikan mereka berdasrkan kepada keimanan dan ketkwaan kepada allah (s.a.w)
Keanggotaan majlis syura
Perlaksaan syura adalah satu tugas dan tanggungjawab yang berat kerana ia melibatkan penyelesaian kes-kes berat yang berlaku dikalangan umat islam. Jesteru itu keanggotaan Majlis Syura memerlukan kepada kelakyakkan yang tinggi iaitu ulama yang berilmu, bersifat adil,bertimbang rasa dan bijaksana.
Sebaiknya terdiri daripada ulama yang mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang keilmuan agar dapat memberikan pandangan yang terbaik demi kebaikan umat islam secara keseluruhannya.
Secara ringkas diterangkan syarat kelakyakan menanggotai majlis syura;
A) Bersifat warak dan takwa
B) Bersifat benar dan amanah dalam perbuatan dan amalan
C) Mempunyai keilmuan yang tinggi dalam bidang keagamaan dan bidang-bidang lain seperti politik atau ekonomi
D) Mempunyai pengalaman yang waras ikhtsasnya.sekiranya hanya bergantung pada ikhtisas sahja tanpa melihat kepada pengalamannya dalm menangani permasalaan dikira tidak memadai
E) Ikhtisas dan mempunyai kepakaran yang mendalam; bukan hanya sekadar kepakaran normal sahaja.
Syarat-syarat adlah berdassrkan kepada apa yang telah dicatatkan oleh para ulama muktabar. Syarat-syrat keahlian Majlis Syura mendapat perhatian khusus sebagai satu langkah berhati-hati dalm hal-ahl berkaitan denagn kenegaraan dan pemerintahn yang begitu besar.
Islam tidak meletakkan jumlah yang tertentu dalam satu-satu Majlis Syura tidak terdapat jumlah minimum atau maksimum. Ia bergantung kepada keperluan semasa . semakin besar dan komplek suatu pemerintahan, maka semakin besarlah bilangan ahli dalm Majlis Syura.
|
Ramadhan Bulan Pembinaan Insan, Medium Penyatu Umat.
Dalam meniti pelbagai kemelut dan polemik yang senantiasa dilalui, secara sunnahya seluruh umat Islam akan dipertemukan dengan bulan yang dikenali sebagai shahrul tarbiyyah atau Ramadhan-Saiyyidul Syuhur yang penuh barakah dan keampunan serta bulan pembebasan dari azab neraka. Walau apa keadaan dan persediaan kita, kitaran masa yang diatur Maha Esa pasti akan menemukan kita dengan bulan yang penuh dengan ganjaran ini. Persoalannya kini, adakah kita mampu menggarap kekuatan Ramadhan itu lebih daripada peranannya sebagai sebuah bulan puasa, bulan ibadah ataupun bulan kesihatan semata-mata? Malah ada pula yang nakal dengan melihat Ramadhan sebagai bulan ‘gastrik’, bulan ‘prestasi menurun’ dan bulan ‘kedai buka separuh’ (bulan di mana sesetengah kedai yang menawarkan juadah buat mereka yang ponteng puasa).
Anjakan Persepsi
Kita sebagai penggerak kepada ketamadunan Khaira Ummah, harus melihat Ramadhan dari perspektif berbeza. Ramadhan sebenarnya cukup berperanan sebagai pembina kualiti insaniah yang kita cari selama ini. Tidak kurang ia juga merupakan platform dan pentas terbaik ke arah penyatuan hati sesama umat. Pengajaran besar yang boleh kita ambil ialah dari peristiwa perang Badar atau Badr al-Kubra yang menyaksikan kepada kita apa yang disebut sebagai suntikan semangat buat umat seluruhnya. Peperangan yang berlangsung pada Ramadhan yang panas terik, berdepan pula dengan kekuatan militari musuh sejumlah seribu orang, serta dengan berbekalkan kelengkapan perang yang terbatas, menyaksikan keadaan tentera Islam pada waktu itu dalam keadaan yang teramat sulit. Namun berteraskan keberkatan dari ketahanan puasa, dan ketaatan kepada Rasulullah S.A.W, serta keimanan total kepada Allah S.W.T., mereka mampu memacakkan bendera kegemilangan Islam ketika itu. Kekuatan modal insan seperti inilah yang kita mahu garapkan dalam kelompok masyarakat.
Situasi hari ini mengaharapkan kita untuk menggembleng seluruh tenaga untuk memperkasa modal insan yang berkualiti buat negara. Inilah aset sebenar sebagai penentu kekuatan sesebuah negara. Melihat kepada indeks prestasi (key performance index) negara kini, kita antara negara dunia ketiga yang amat berpotensi untuk maju kehadapan setaraf dengan negara maju. Namun, indeks yang sama juga perlu wujud untuk menilai kualiti yang ada pada modal insan yang negara kita miliki. Namun, apakah kayu ukur yang perlu digunakan? Apakah acuan yang perlu ada untuk membina modal insan negara? Siapakah yang amat berperanan di dalam misi ini? Ini pasti merupakan persoalan asas yang bakal terbit bilamana kita mula membincangkan tentang modal insan.
Misi Membina Insan
Sejak dahulu lagi, pelbagai inisiatif program telah dilancarkan atas iltizam pihak bertanggungjawab ke arah pembentukan generasi muda yang berakhlak, berkarisma dan dalam masa yang sama, punya kualiti kepimpinan yang tinggi. Di sinilah kita, selaku kelompok anak muda yang berprinsip, harus melihat seluruh pelaksanaan program tersebut sebagai program yang wajar didokong dan dibantu khususnya dalam mengisi rencahnya atas kapasiti kita sebagai individu, keluarga, ketua masyarakat, sektor swasta, dan penggerak badan-badan bukan kerajaan (NGO). Persepsi negatif yang hanya memandang inisiatif berkenaan sebagai kosong dan hanya dipergunakan sebagai instrumen politik sesetengah pihak wajar dikikis, demi melihat maslahah dan kejayaan umat seluruhnya kekal terjaga dan terbela.
Personaliti Memuncak
Dalam pada itu, kita juga seharusnya melaungkan semula matlamat untuk membina generasi muda yang berpersonaliti memuncak atau “Towering Personality” sebagai satu mercu untuk digapai bersama. Hal ini wajar dijadikan slogan dan prinsip asas untuk membina generasi muda kini yang berakhlak mulia dan berdaya saing. Saranan ini juga dianjur kepada para pimpinan negara agar turut mengaplikasikannya memandangkan ianya amat selari dengan teras yang terdasar dalam intisari agama Islam yang mengambil pendekatan pembinaan insan soleh sebagai tunjang kepada pembinaan empayar negara Islam moden yang kita dambakan selama ini.
Medium Penyatu Umat.
Demi kepentingan umat mendatang, suatu resolusi telah dicapai dalam Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institiut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini, yang telah bersepakat secara kolektif bahawa perlunya wujud usaha untuk kembali semula kepada teras dan nilai agama Islam dalam aspek kenegaraan. Namun, ianya dapat diwujudkan menerusi pentas persamaan dan persefahaman antara semua pihak. Melihat kepada akar permasalahan yang melingkari umat pada hari ini, mahu atau tidak kita memerlukan kepada satu wadah untuk mempersatukan umat. Masyarakat Melayu Islam di negara ini terutamanya harus memasakkan di dalam hati bahawa segala kemelut perbezaan prinsip dan ideologi perlu dirungkaikan dengan mencari titik persamaan antara satu sama lain demi menjaga survival umat dan masa depan generasi akan datang.
Saranan akhir Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah menyeru agar umat bersungguh-sungguh mencari titik pertemuan dalam menjadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai azam baru dengan menggandakan aktiviti yang bersifat muhasabah, pembinaan kepimpinan dan program kecemerlangan akademik, demi mengambil barakah yang melimpah-ruah di dalam bulan mulia ini. Kita mohon bersama-sama agar usaha kita untuk mengangkat kembali martabat generasi muda hari ini kian diberi kekuatan dan bantuan dariNYA. Segala persengketaan politik, kekalutan persaudaraan, serta kecelaruan polemik wajar dihentikan demi memberi laluan kepada Ramadhan sebagai “Bulan Pembinaan Insan, Medium Penyatu Umat”.
Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
Timbalan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)