Menangislah Kerana Allah

BINGKISAN KHAS:

Buat mereka yang sering menangis kerana terluka dengan kekasihnya dan menangis kerana ditinggalkan oleh kekasihnya. Serta buat semua ummah yang pernah terlupa....

PERKARA: MENANGIS KERANA TAKUT KEPADA ALLAH

Firman Allah swt dari surah Al Maidah ayat 44 yang kira-kira maksudnya:

“Maka janganlah Engkau takut kepada manusia dan takutlah kepadaKu...”

Diceritakan, ada seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk satu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sampailah mereka ke satu kampung yang sunyi di mana penghuninya telah pun tidur. Lalu, lelaki itu pun menyampaikan hasrat hatinya. Wanita itu menyahut, “Lihatlah samada orang-orang telah tidur semuanya?”

Lelaki itu memikirkan bahawa wanita itu bermaksud bahawa wanita itu bersetuju untuk menuruti kehendak hatinya. Dia pun mengelilingi kawasan itu untuk melihat samada semua orang telah tidur atau tidak. Setelah jelas bahawa semua orang-orang telah tertidur, segera dia menghampiri wanita tersebut seraya berkata, “Benar, semua orang telah pun tidur.”


Lalu, wanita tersebut bertanya; “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apakah saat ini Dia juga telah tidur?”

Dan lelaki itu pun menjawab. “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.”

Wanita itu pun berkata lagi. “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak untuk ditakuti.”

Dengan segera lelaki itu meninggalkan wanita itu kerana dia takut kepada Allah. Dia telah pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu dengannya.

Lalu ditanya; “Apakah yang telah Allah lakukan kepadamu?”

Lelaki itu menjawab: “Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan kerana aku meninggalkan dosa itu.”

Rasulullah saw bersabda:


“Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan yang jatuh dari pohonnya.


“Sesungguhnya Allah berkata: Aku tidak mengumpulkan pada hambaKu dua ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa yang takut kepadaKu di dunia, Aku amankan dia di akhirat. Dan barangsiapa yang berasa aman dariKu di dunia, Aku akan takutkan dia di akhirat.”

Dalam kitab Zahrir Riyadh, dirawikan dari Rasulullah saw, sesungguhnya baginda bersabda:

“Ketika masuk ahli syurga, mereka disambut oleh para malaikat dengan segala kebaikan dan kenikmatan. Dipersilakan untuk mereka singgahsana berpermaidani indah. Disajikan untuk mereka segala rupa makanan dan minuman yang lazat. Oleh itu, mereka menjadi kehairanan.”

Lantas Allah berfirman. “Wahai hamba-hambaKu mengapakah engkau hairan? Ini bukan tempat untuk merasa hairan.”

Dan mereka menjawab: “Janji untuk kami telah tiba waktunya.”

Kemudian, Allah telah berfirman kepada malaikat: Bukakanlah hijab dari muka mereka.

Malaikat menjawab: Ya Tuhanku, bagaimana mereka dapat melihat Engkau sedangkan mereka itu derhaka?

Lalu Allah menjawab; “Sesungguhnya mereka telah berzikir, bersujud dan menangis di dunia kerana ingin bertemu denganKu.”

Lalu malaikat pun membukakan tabir sehingga mereka dapat melihat. Maka, segera mereka bersujud kepada Allah.

Tetapi Allah berfirman: “Angkatlah kepalamu. Hari ini bukanlah hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat kepada kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat untuk beribadat tetapi adalah tempat mulia untuk kamu merasakan nikmat dan kesenangan yang berkekalan.”

Kemudian, mereka nampak Allah tanpa kaifiyah.

Allah berfirman lagi: “Salam sejahtera bagi engkau hamba-hambaKu. Aku redha kepadamu. Apakah engkau redha kepadaKu?”

Mereka menjawab: “Bagaimana kami tidak rela wahai Tuhan kami. Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, bahkan belum pernah terlintas dalam hati manusia.”

Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Al Baiyinah ayat 8: Ertinya; “Allah rela kepada mereka dan mereka pun rela kepadaNya.”

Dan firman Allah dalam Yasin ayat 58 yang membawa makna: “... (Dan ucapan) perkataan selamat daripada Tuhan yang pengasih.”

Dan Rasulullah saw telah bersabda: “Api neraka tidak akan menjilat orang yang pernah menangis kerana takut kerana Allah swt. Sehingga air susu kembali ke tempat asalnya.”

*Sumber: Terjemahan Mukasyafah Al Qulub tulisan Imam Al-Ghazali.

Buat mereka yang seringkali menangis demi perkara yang sia-sia;

Istighfarlah! Sedarlah! Bangkitlah dari lenamu.

Buat mereka yang seringkali melupakan kekasih yang paling agung; Allah sedang menantimu di pintu taubatNya. Pulanglah padaNya... dan menangislah untukNya.

Menangis untuk menangih cintaNya, menangis kerana memohon taubatNya, menangis kerana berdosa padaNya, menangis kerana takut padaNya. Kerana Allah swt telah berfirman:

“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah...” (Al-Hasyr: 19)

Menangislah Kerana Allah
www.iLuvislam.com
syauqahwardah1209
editor:everjihad

0 comments:

Post a Comment