Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.




Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.




PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.




Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.




Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.





Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.




Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;



1.
”Kerangka Melayu Islam Sebagai Teras Kenegaraan
Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM

Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM


2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional”

Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM

Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP

2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM


3. ”Integriti dan Jatidiri”

Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM

Pengulas: 1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS

2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM


4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”

Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM

Pengulas: 1. En. Daniel Alexander, TAC

2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM


Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.


PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.


Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it . Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com.



Oleh:

KHAIRUL ANWAR SHAZALI

Setiausaha Agung PKPIM

Merangkap;

Pengerusi Jawatankuasa Induk

Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke 48 dan

Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009

Akar Permasalah Politik Semasa

Frans De Walls, dalam bukunya Chimpanzee Politics (1982) ada mengungkapkan tentang ‘kelicikan Machiavellian’ ataupun ‘Machiavellian Intelligence’. Maksud yang ingin beliau huraikan ialah bagaimana kapasiti seseorang boleh memanipulasi keadaan sehingga menguntungkan nafsu peribadi. Tidak timbul soal prinsip atau tidak, asalkan matlamat menghalalkan cara. Biar siapa yang terkorban, sama ada keluarga, sahabat baik, prinsip agama, asalkan nafsu serakah ‘politik’ tercapai. ‘Machiavellian Intelligence’ boleh diterjemahkan melalui sikap berjanji, tetapi boleh bila- bila masa memungkiri janji. Boleh membohong, tetapi kadang- kadang sahaja bercakap benar. Boleh nampak baik dan ‘beriman’ di tempat awam, tetapi, boleh berwatakan ‘iblis’ jika di belakang orang. Boleh memuji depan orang, tetapi boleh mengumpat dan mengeji di sebaliknya. Semua ini tidak mustahil hari ini, kerana politik adalah segala- galanya.

Maka tidak menghairankan jika silang- sengketa perbalahan politik ada kaitannya dengan penganut faham politik ala Machiavellian. Apa bezanya dengan kriteria orang munafiq? Bukankah ciri orang Munafiq seperti yang terkandung dalam Hadith Sallahu’alahi Wasalam, iaitu bila berjanji suka mungkiri, bila bercakap suka berbohong dan bila diberi amanah suka khianati.

Apabila politik dilihat segalanya, makanya obsesi atau keghairahan terhadap politik melampaui batas. Apatah lagi apabila politik sebenarnya tidak mengenal prinsip. Tidak pernah dalam sejarah politik moden kejujuran dan kebaikan diletakkan di tempat paling atas sebagai prinsip paling utama. Prinsip yang mendominasi politik moden hari ini ialah semuanya berteraskan faham Machiavellian.

Benjamin Wiker dalam bukunya 10 Books That Screwed Up the World; And 5 Others Didnt Help menulis pengaruh Machiavellianisme yang telah mendominasi peta pemikiran politik semasa. Beliau mengesahkan bahawa sifat ‘iblis’ atau kejahatan ini akan sentiasa mendominasi karakter manusia, apabila melihatkan kebaikan sentiasa tunduk kepada ‘kelicikan’ iblis. Ini terbukti, bagaimana seorang hamba Allah yang mulia, pertama kali dilahirkan sebagai khalifah bernama Adam, tetapi ‘tumpas’ kepada bisikan Iblis.

Berapa ramai orang ‘alim atau ahli ibadat, yang kononnya rajin beribadat, tetapi rupanya diperdaya oleh Iblis kerana ujub dan takbur dengan sifat ‘alimnya. Ibn Qayyim Al Jauzi ada berpesan dalam bukunya ‘Talbis Iblis’ iaitu ‘Perangkap Iblis’ supaya orang beriman berhati- hati dengan permainan dan tipu helah iblis. Malah berapa ramai orang dermawan dan ilmuwan yang dihantar ke neraka kerana luarannya rajin menderma dan berbakti pada ilmu, namun rupanya ada niat keduniaan iaitu digelar sebagai dermawan dan ilmuwan. Kisah mereka ini ada dirakamkan dalam Hadith Sallahu’alahi wasalam.

Kebenaran Sering Tewas
Rupanya tipu helah iblis lebih berjaya dan ‘menang’ ke atas kebaikan. Hipotesis Benjamin Wiker mengesahkan kebenarannya. Makanya, dalam dunia politik moden apabila peta pemikiran didominasi oleh faham Machiavellian, tipu helah iblis sebenarnya yang melingkari ‘sarang’ politik itu. Sebab itu juga, biasanya sukar untuk kebaikan dan kebenaran menuju puncak di persada politik, kecuali di zaman- zaman tertentu, seperti Umar Al Aziz, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Khulafa Rashidin. Hatta zaman mereka pun ada saki baki watak ‘iblis’ seperti kaum munafiq, zindik dan kafir harbi, tetapi lingkarannya tidak sekuat lingkaran kebaikan.

Adakah kerana lingkaran ‘keiblisan’ dalam peta pemikiran politik semasa, makanya kita perlu merombak keseluruhan sistem politik moden, seperti membubarkan parti politik, tidak menjadi wakil rakyat, menghukum ‘kafir’ sesiapa yang berpilihanraya atau sebagainya? Barangkali persoalan ini perlu dijawab dengan jawapan yang berakar, iaitu worldview tentang politik semasa dan posisi kita dalam mengenal dan mengiktiraf kebenaran.

Gagasan demokrasi moden, seperti parlimen, parti politik, pilihanraya dan sebagainya dipersetujui oleh sebahagian besar ulama kontemporari seperti Sheikh Qaradawi, Dr Azzam Tamimi, Rashid Ghanushi dan ramai lagi. Persetujuan mereka tentang demokrasi moden bukan suatu yang ‘permanent’, tetapi sementara sahaja. Ini kerana dalam demokrasi moden, ada nilai yang selari dengan Islam seperti kebebasan hak asasi, bersuara, berkumpul, melantik pemimpin dan sebagainya. Ada nilai- nilai ideal dalam Islam yang boleh diselarikan dalam agenda demokrasi moden.

Namun, hipotesis Benjamin lebih ke hadapan. Berapa banyak parti berteraskan Islam atau yang ingin membawa ‘kebenaran’ berjaya di puncak kuasa, seperti di Algeria, Mesir, Turki dan Sudan? Kerajaan Hamas menang walaupun dengan sistem demokrasi moden tetap dinafikan kemenangannya! Asasnya ialah demokrasi moden yang ada hari ini bukan gelanggang berpihak kepada Islam. Semua undang- undang, falsafah, permainan dan pemainnya telah diatur oleh orang lain.

Apabila demokrasi moden ini dipaksa kepada ummat Islam, sebenarnya kita kekok dan janggal, kerana bukan gelanggang kita. Apakah pula kita berpindah kepada faham Misi Khalifah anutan Hizbut Tahrir? Mungkin terlalu ideal dan sekadar ‘bermimpi’ jika sekadar slogan kita mampu selesaikan masalah ummat Islam hari ini.

Dekonstruksi Autoriti dan Pengaruh Sekularisme
Banyak agenda asas terkorban apabila gelanggang demokrasi moden menjadi pertembungan politik faham Machiavellian. Ada dua perkara yang menjadi korban, iaitu kecenderungan mendekonstruksi autoriti dan seterusnya membuka ruang yang luas untuk faham sekularisme.

Apabila seorang mufti dihina kerana sekadar mengungkap firman Allah Ta’ala, “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan pemimpin di kalangan kamu”, dalam situasi politik bergelora, makanya mufti itu dicerca, dihina dengan tuduhan keji seperti anjing kerajaan, makan rasuah, kaki bodek dan sebagai tuduhan hina. Sikap terlalu obses dengan politik menyebabkan sukar untuk melihat kebenaran dan mengakui kesilapan. Adakah pernah sebuah parti politik Melayu hari ini, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang saling sokong menyokong antara satu sama lain dalam agenda bangsa Melayu dan Islam? Kerana terlalu ‘party- centric’, maka yang baik dikatakan buruk, yang buruk terus dihentam.

Agak pelik sebenarnya kerana seorang mufti yang terbukti kewibawaannya, apabila bercakap ‘seakan cenderung’ kepada keputusan pemerintah terus dihina dan dicerca oleh orang Islam sendiri yang obses dengan politik. Ini menaikkan lagi ‘keghairahan’ orang yang tidak seagama, kerana autoriti dalan agama Islam sedang beransur- ansur dimakan ‘anai- anai’ oleh umat Islam sendiri. Jika pihak mufti atau agamawan bercakap benar, walau tidak memihak kepada pihak parti, maka terus di’hantar’ ke lembah ketidakpercayaan. Makanya selepas ini siapa lagi yang boleh dipercayai sekiranya ada golongan agamawan atau ilmuwan bercakap benar, hanya kerana tidak memihak kepada sokongan parti politik?

Apabila autoriti dalam agama diserang, ia telah membuka ruang untuk faham sekularisme menyerbu masuk. Fenomena obses melampau kepada politik dalam demokrasi moden ini biasanya menguntungkan agenda ‘keiblisan’. Bukankah politik moden tidak kenal dengan ‘kebaikan dan kebenaran’? Apabila keiblisan diangkat tinggi, soal agama dan akhlak sekadar tempelan sahaja. Autoriti yang telah diruntuhkan menyebabkan faham kebenaran terpulang kepada keuntungan parti politik. Epistemologi kebenaran dilihat kepada sokongan parti politik, bukan lagi kepada akar kebenaran. Siapa yang bercakap benar dalam politik, walau berpandukan wahyu, akan dilihat sekadar pandangan peribadi, bukan pandangan hakiki. Makanya pihak lawan tidak akan menerima kebenaran itu.

Walhal dalam sejarah ketamadunan Islam yang lalu, tidak timbul entiti pemerintah dan pembangkang, yang ada hanya ra’ie (pemimpin) dan rakyat. Yang menjadi masalahnya dalam pemerintah dan pembangkang hari ini, majoritinya seagama dan sebangsa! Banyak kudrat dan masa dibazirkan akibat terlalu banyak sengketanya.

Peranan ulama dan ilmuwan dahulu pula bertugas menasihati pemerintah, dan tidak pula berada di posisi membangkang. Jika ada kemungkaran dan kezaliman, nasihat menjadi senjata para ulama dan ilmuwan. Imam Syafiee, Hanafi, Hanbali, Ghazali, Said Nursi dan ramai lagi, pernah dipenjara, dipukul dan dihina, tetapi tidak pula mereka mengumpul anak murid dan menentang pemerintah. Said Nursi Badi’uzzaman, ditakdirkan bertemu dengan Mustafa Kamal Attartuk, manusia moden paling kejam dan sekular. Pernah dipenjara beberapa kali, diancam bunuh, tetapi tidak pernah ada catatan beliau mengumpul pengikutnya menentang Attarturk. Yang ada ialah beliau mendidik dan mencetak generasi yang sedar dengan Islam. Apa yang terkelumit dalam hati ulama dan ilmuwan silam ialah rasa tidak reda dengan kezaliman yang dilakukan.

Wacana sekularisme dalam politik moden telah mendominasi, malah berakar dalam politik Barat.. Sebab itu pemisahan agama dan kuasa direkod awal- awal dalam perlembagaan negara mereka, seperti di Amerika Syarikat, negara pertama dikitiraf sebagai berjaya meletakkan pemisahan agama dan kuasa dalam perlembagaan mereka pada tahun 1791. Apabila wacana sekularisme terus mengisi ruang politik negara yang beransur- ansur meruntuhkan autoriti, maka akan timbul kekeliruan di kalangan rakyat dan ummat. Agenda agama Islam, kedudukan bangsa Melayu dan bahasa Melayu dipandang sepi. Agenda teras ini tidak lagi diangkat, kerana setiap orang mempunyai persepsi tersendiri yang relatif. Apatah lagi tiada lagi autoriti yang berwibawa dikitiraf untuk dijadikan rujukan dalam soal tersebut. Hatta agenda umum seperti kemiskinan, perpaduan dan ekonomi negara akan tergugat kerana epistemologi kebenaran tidak lagi berpandukan kepada agama, tetapi nafsu manusiawi. Tidak mustahil, faham Keynes, Hayyek, Locke, Hobes dan ramai failasuf Barat dijadikan pakar rujuk.

Kebenaran Jalan Selamat
Untuk mengatasi akar permasalahan politik semasa, apakah cadangannya? Jika bercakap semua ahli politik semasa persis ‘keiblisan’ pasti mengundang kemarahan mereka. Apatah lagi mereka yang terpalit rasuah, rakus dengan kuasa sehingga sanggup melompat parti demi habuan duniawi.

Apa yang ada pada kita ialah membetulkan worldview kita tentang keperluan dan sikap politik semasa. Apa yang akhirnya kita mahukan daripada sistem politik semasa ini? Adakah kekuasaan yang benar, tetapi hanya sementara sahaja? Ataupun potensi manusia yang ada peradaban yang tinggi, yang boleh meletakkan kebenaran di tempatnya? Kebenaran hakiki tidak boleh kompromi dengan ‘kebatilan’, ibarat minyak dan air yang tidak boleh bercampur.

Sudah tiba masanya kita meletakkan batu asas untuk menjadikan manusia yang lebih beradab, yang tahu hakikat kebenaran dan hakikat kebatilan, berpandukan epistemologi yang betul. Jika kebenaran hakiki diutamakan, silang sengketa politik semasa sekadar titik bengit yang ketinggalan jauh

http://www.pkpim.net/v2/minda/cetusan-presiden.html


Menangislah Kerana Allah

BINGKISAN KHAS:

Buat mereka yang sering menangis kerana terluka dengan kekasihnya dan menangis kerana ditinggalkan oleh kekasihnya. Serta buat semua ummah yang pernah terlupa....

PERKARA: MENANGIS KERANA TAKUT KEPADA ALLAH

Firman Allah swt dari surah Al Maidah ayat 44 yang kira-kira maksudnya:

“Maka janganlah Engkau takut kepada manusia dan takutlah kepadaKu...”

Diceritakan, ada seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk satu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sampailah mereka ke satu kampung yang sunyi di mana penghuninya telah pun tidur. Lalu, lelaki itu pun menyampaikan hasrat hatinya. Wanita itu menyahut, “Lihatlah samada orang-orang telah tidur semuanya?”

Lelaki itu memikirkan bahawa wanita itu bermaksud bahawa wanita itu bersetuju untuk menuruti kehendak hatinya. Dia pun mengelilingi kawasan itu untuk melihat samada semua orang telah tidur atau tidak. Setelah jelas bahawa semua orang-orang telah tertidur, segera dia menghampiri wanita tersebut seraya berkata, “Benar, semua orang telah pun tidur.”


Lalu, wanita tersebut bertanya; “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apakah saat ini Dia juga telah tidur?”

Dan lelaki itu pun menjawab. “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.”

Wanita itu pun berkata lagi. “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak untuk ditakuti.”

Dengan segera lelaki itu meninggalkan wanita itu kerana dia takut kepada Allah. Dia telah pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu dengannya.

Lalu ditanya; “Apakah yang telah Allah lakukan kepadamu?”

Lelaki itu menjawab: “Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan kerana aku meninggalkan dosa itu.”

Rasulullah saw bersabda:


“Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan yang jatuh dari pohonnya.


“Sesungguhnya Allah berkata: Aku tidak mengumpulkan pada hambaKu dua ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa yang takut kepadaKu di dunia, Aku amankan dia di akhirat. Dan barangsiapa yang berasa aman dariKu di dunia, Aku akan takutkan dia di akhirat.”

Dalam kitab Zahrir Riyadh, dirawikan dari Rasulullah saw, sesungguhnya baginda bersabda:

“Ketika masuk ahli syurga, mereka disambut oleh para malaikat dengan segala kebaikan dan kenikmatan. Dipersilakan untuk mereka singgahsana berpermaidani indah. Disajikan untuk mereka segala rupa makanan dan minuman yang lazat. Oleh itu, mereka menjadi kehairanan.”

Lantas Allah berfirman. “Wahai hamba-hambaKu mengapakah engkau hairan? Ini bukan tempat untuk merasa hairan.”

Dan mereka menjawab: “Janji untuk kami telah tiba waktunya.”

Kemudian, Allah telah berfirman kepada malaikat: Bukakanlah hijab dari muka mereka.

Malaikat menjawab: Ya Tuhanku, bagaimana mereka dapat melihat Engkau sedangkan mereka itu derhaka?

Lalu Allah menjawab; “Sesungguhnya mereka telah berzikir, bersujud dan menangis di dunia kerana ingin bertemu denganKu.”

Lalu malaikat pun membukakan tabir sehingga mereka dapat melihat. Maka, segera mereka bersujud kepada Allah.

Tetapi Allah berfirman: “Angkatlah kepalamu. Hari ini bukanlah hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat kepada kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat untuk beribadat tetapi adalah tempat mulia untuk kamu merasakan nikmat dan kesenangan yang berkekalan.”

Kemudian, mereka nampak Allah tanpa kaifiyah.

Allah berfirman lagi: “Salam sejahtera bagi engkau hamba-hambaKu. Aku redha kepadamu. Apakah engkau redha kepadaKu?”

Mereka menjawab: “Bagaimana kami tidak rela wahai Tuhan kami. Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, bahkan belum pernah terlintas dalam hati manusia.”

Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Al Baiyinah ayat 8: Ertinya; “Allah rela kepada mereka dan mereka pun rela kepadaNya.”

Dan firman Allah dalam Yasin ayat 58 yang membawa makna: “... (Dan ucapan) perkataan selamat daripada Tuhan yang pengasih.”

Dan Rasulullah saw telah bersabda: “Api neraka tidak akan menjilat orang yang pernah menangis kerana takut kerana Allah swt. Sehingga air susu kembali ke tempat asalnya.”

*Sumber: Terjemahan Mukasyafah Al Qulub tulisan Imam Al-Ghazali.

Buat mereka yang seringkali menangis demi perkara yang sia-sia;

Istighfarlah! Sedarlah! Bangkitlah dari lenamu.

Buat mereka yang seringkali melupakan kekasih yang paling agung; Allah sedang menantimu di pintu taubatNya. Pulanglah padaNya... dan menangislah untukNya.

Menangis untuk menangih cintaNya, menangis kerana memohon taubatNya, menangis kerana berdosa padaNya, menangis kerana takut padaNya. Kerana Allah swt telah berfirman:

“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah...” (Al-Hasyr: 19)

Menangislah Kerana Allah
www.iLuvislam.com
syauqahwardah1209
editor:everjihad

AQIDAH DAN PENGARUHNYA DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Ini merupakan ulasan mengenai kandungan bab pertama AQIDAH DAN PENGARUHNYA DALAM KEHIDUPAN MUSLIM (A)Pengertian Akidah dalam buku yang bertajuk 'Aqidah & Perjuangan; Allahyarham Ustaz Haji Fadhil Mohd Noor'. Mudah-mudahan,perkongsian kali ni dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian dismaping dapat meng'improve' para pembaca sekalian.


Dalam bab ini, Allahyarham penulis menekankan,Akidah adalah yang sesuatu penting yang mesti dipelajari bersesuaian dengan tajuk buku ini. Selain itu, Akidah juga merupakan perkara yang penting yang mesti dikuasai oleh setiap Muslim yang mengucap 2 kalimah Syahadah. Kembali kepada sejarah zaman penyebaran Islam pada zaman Rasulullah SAW itu sendiri, langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah dengan membetulkan Akidah dalam setiap diri orang Islam.Proses pemantapan akidah ini dilakukan hampir lebih kurang 13 tahun. Ini adalah kerana, Akidah merupakan sesuatu yang teramat penting untuk membentuk Fikrah umat Islam pada masa itu yang sudah hidup dengan pelbagai kemungkaran sebelum kedatangan Rasulullah SAW.


Berbalik kepada tajuk yang ingin diulas pada penulisan kali ini adalah untuk menerangkan berkenaan pengertian akidah. Akidah mengikut pengertian bahasa Melayu bermaksud Ikatan yang mengikat sesuatu yang lain. Manakala, perkataan Aqada dalam bahasa Arab pula bermaksud mengikat. Maka kesimpulannya, pengertian Akidah yang boleh disimpulkan di sini ialah merupakan suatu ikatan atau keyakinan yang mengikat diri, pemikiran dan hati seseorang dengan satu keyakinan serta dengan itu, kehidupan menjadi kehidupan yang terarah dan terpimpin. Oleh hal yang sedemikian itu, rukun-rukun keyakinan yang ditentukan oleh Islam dipanggil Aqidah kerana ia telah mengikat seseorang Muslim itu untuk hidup berasaskan kepada dasar-dasar keyakinan, yang juga disebut sebagai Iman, iaitu KEPERCAYAAN .


Orang yang beriman adalah orang yang bersikap jujur terhadap dirinya kerana telah meletakkan dirinya pada tempat yang betul dan tidak mengkhianati dirinya. Maka dengan itu, apabila digabungkan Aqidah + Iman maka terbitlah sesuatu yang baru yang dinamakan Al-Yaqin.


Secara tuntasnya, Akidah Islamiyyah bererti, satu keimanan dan keyakinan yang didasarkan pada rukun-rukun yang kukuh yang juga disebut 'Arkanul Iman'->rukun-rukun yang tidak terikat dengan benda, masa, bangsa mahupun tempat.

Selamat Menghadapi Peperiksaan




PKPIM Unisel mengucapkan Selamat menghadapi peperiksaan semester 3/2008-09 kepada semua pelajar kampus Bestari Jaya mahupun kampus Shah Alam. Semoga mendapat kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

” Orang yang berjaya orang yang berbaik sangka terhadap usahanya dan menjangkakan akan kejayaan. Apa yang dijangka dan disangka dalam hati adalah doa dalam senyap “

-Razzi Ar-Mansur-



Daripada:



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (UNISEL)