‘Biar papa asalkan bergaya’ begitulah halusnya peribahasa yang digunakan oleh masyarakat terdahulu untuk dijadikan sindiran kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sikap melaram. Walaupun halus ungkapan keramat ini, namun mampu membuatkan sesiapa sahaja yang dituju terpaksa menyimpan rasa. Peribahasa ini bukan lagi sebagai omongan kosong tetapi telah menjadi darah daging dalam kehidupan seharian masyarakat khususnya, golongan mahasiswa. Baik yang kaya mahupun miskin, ‘trend’ bergaya dalam kalangan mahasiswa begitu sebati dalam kehidupan mereka. Mereka seolah-olah lupa tujuan sebenar mereka untuk datang ke universiti. Ironinya, mahasiswa pada hari ini tidak lagi sinonim dengan pencapaian akademik dan kokurikulum yang cemerlang sebaliknya naluri mereka lebih cenderung kepada budaya kampus yang tidak sihat. Persoalannya, adakah kita mampu melahirkan golongan mahasiswa yang berkualiti selaras dengan visi qudsi negara menjelang tahun 2020? Oleh itu, budaya sebegini tidak boleh dipandang enteng. Malah, jika dibiarkan penyakit kronik ini akan merebak dan meresap jauh ke dalam hati setiap mahasiswa dan akhirnya lahirlah golongan mahasiswa yang hanya tahu bergaya tetapi tidak mahu berjaya.
Malang apabila golongan muda mudi bergelumang dengan gejala yang tidak sihat ini. Ada juga diantara mereka yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk membeli barang-barang aksesori kegemaran yang bernilai dalam ribuan ringgit. Duit pinjaman amanah rakyat ataupun biasiswa bukan lagi digunakan untuk keperluan belajar tetapi telah dihabiskan begitu sahaja untuk membeli barangan yang bukan menjadi keutamaan untuk mereka sebagai seorang pelajar. Di sini, pentingnya mahasiswa kembali memahami ilmu dan berakhlak mulia bagi menilai semula makna kehidupan mereka. Pemahaman terhadap ilmu akan membawa kepada pembinaan insan yang menjadikan matlamat kehidupannya adalah untuk kebahagian akhirat, bukan dunia semata. Penghayatan sebenar terhadap ilmu akan memandu individu supaya bijak menilai setiap tindakan dan berakhlak mulia. Allah suka kepada hambanya yang berakhlak mulia dengan bersikap bersederhana dalam kehidupan. Justeru, kehidupan mahasiswa itu bukan untuk bergaya tetapi kehidupan mereka haruslah bergantung kepada keupayaan dan kesederhanaan. Marilah kita bersama-sama renungkan hadis Rasullullah saw ini:
“ Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tiada berkaitan dengannya.”( Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Tirmizi dan lain-lain.)
Sebenarnya, kehidupan mahasiswa yang bergaya sakan dan menunjuk-nunjuk ini hanya boleh melatih golongan mahasiswa supaya bersikap boros. Hal ini disebabkan mereka lebih cenderung melunaskan hawa nafsu mereka untuk bergaya berbanding sentiasa memastikan kecemerlangan akademik di kampus. Pokok pangkalnya, mahasiswa harus bangkit dari terus terlena dibuai arus kemodenan hidup. Mereka perlu sedar bahawa kejayaan itu lebih utama dan perlu dituntut demi masa depan mereka sendiri.Firman Allah swt :
“ Janganlah kamu terikut-ikut langkah-langkah syaitan” ( An-Nuur: 21).
Sesungguhnya membazir itu merupakan amalan syaitan. Sikap mahasiswa yang gemar bergaya sehingga sanggup membazir tidak seharusnya dijadikan satu kebiasaan. Ini berikutan amalan membazir itu tidak digalakkan dalam Islam. Lebih bermanfaat jika mahasiswa hanya berbelanja mengikut keutamaan sebagai seorang pelajar dan tidak menyalahgunakan pinjaman wang yang diberikan.
Peranan kenalan di sekeliling harus dilihat sebagai faktor yang paling utama dalam membentuk corak hidup mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa seharusnya bijak dalam mencari kawan yang sememangnya beraneka ragam dan adakalanya boleh membawa mereka hanyut dalam hidup. Keinginan untuk bergaya dalam kalangan mereka disebabkan kenalan mereka terdiri daripada orang yang berada malahan ada juga yang berlagak seperti orang kaya baru. Lantaran itu, mahasiswa mudah terikut-ikut rentak dan corak hidup kenalan mereka. Mahasiswa tidak seharusnya berkompromi dengan keinginan-keinginan peribadi mereka yang bukan sahaja mengundang satu malapeta dalam pengurusan kewangan tetapi juga boleh membawa mereka lalai daripada kesibukan belajar.
Imam Hakim at-Tirmizi berkata, “ Manusia yang kita temui ada tiga macam : Ada yang seperti banjir yang menghanyutkan; ada yang seperti air yang mengalir di atas batu yang keras; ada juga orang yang seperti air hujan yang bisa membikin tanah menjadi subur sehingga tanam-tanaman bisa tumbuh di atasnya. Siapakah di antara mereka yang sering kalian temui?”
Jika dilihat pada ungkapan itu, segala keputusan terletak pada mahasiswa itu sendiri dalam memilih kenalan. Andai kebijksanaan lebih menguasai diri, mahasiswa tidak akan tersilap dalam mencari kenalan.
Selanjutnya, corak hidup mahasiswa yang lebih cenderung untuk bergaya berkait rapat dengan didikan ibu bapa itu sendiri. Jika dilihat kini, sikap ibu bapa sendiri yang lebih materialistik sedikit sebanyak mempengaruhi amalan anak-anak mereka. Ungkapan bapa borek anak rintik amatlah sesuai berikutan apa yang dilakukan oleh ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. ‘Mana tidak tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’.
Inilah realiti mahasiswa kini yang menjadikan keutamaan bukan lagi satu kepentingan. Oleh itu budaya bergaya ini harus dicari penawar bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa bahawa bergaya bukan satu keutamaan ataupun kewajipan yang dituntut dalam menjalani liku-liku sebagai modal insan yang berkualiti. Seorang penyair berkata :
“ Ketika kamu hidup di dunia persiapkanlah bekal kehidupanmu di akhirat. Beraktivitaslah untuk Allah dan persiapkan bekal yang paling baik. Apakah kamu senang jika nanti kamu berjalan bersama kelompok orang yang mempunyai banyak bekal sedangkan dirimu tidak mempunyai bekal sama sekali ”
Ungkapan keramat ini sebenarnya mengajak mahasiswa bermuhasabah diri dan berfikir sejenak apakah mereka diciptakan sebagai khalifah yang hanya menjalankan tugas yang sia-sia di muka bumi ini. Seharusnya mereka perlu mempersiapkan diri untuk dijadikan bekalan bukan sahaja untuk jaminan masa depan tetapi juga bekalan untuk akhirat. Mahasiswa seharusnya sedar bahawa setiap manusia dicipta dengan kelebihan tersendiri. Kekurangan itu bukannya satu kelemahan bagi diri. Keinginan untuk terlalu bergaya sehingga mengabaikan perkara yang lebih penting bukanlah satu tradisi atau adat yang harus dituruti sejak zaman nenek moyang lagi.
Seharusnya mahasiswa sedar betapa tingginya risiko jika sikap mereka ini berterusan. Impaknya, mahasiswa gagal menguruskan wang dengan baik, tanggungan belanja makanan dan minuman tidak mencukupi lebih parah lagi apabila gagal melunaskan wang pengajian. Ini akan mengundang satu lagi bebanan sebagai pelajar sehingga tidak jumpa jalan pulang bak kata pepatah ‘sudah terhantuk baru nak terngadah’. Oleh yang demikian, mahasiswa perlu mengambil satu inisiatif atau langkah berjaga-jaga sebelum membuat sebarang keputusan bak kata pepatah ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Mahasiswa perlu bijak dalam menilai antara yang baik ataupun yang buruk.
Ibu bapa juga haruslah memainkan peranan yang penting dalam memberi panduan hidup untuk anak-anak. Ibu bapa merupakan contoh terbaik bagi anak-anak dalam menilai dan membuat keputusan. Menjadi kewajipan ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada anak-anak yang bermula daripada lingkungan rumah yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang. Didikan yang lahir daripada keteguhan iman dan keharmonian akhlak yang akan menjadikan anak-anak kain putih yang mampu memberi banyak sumbangan untuk generasi akan datang. Melalui firman Allah S.W.T :
“ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah.” ( At-Tahrim: 6)
Oleh itu, mahasiswa perlu menggunakan setiap saat yang berjalan dengan memberi ruang kepada diri untuk melakukan perkara yang lebih bermanfaat dan lebih utama. Mahasiswa merupakan antara aset penting negara yang bakal menggegarkan dunia dengan ilham dan idea-idea baru bagi menyumbang kepada kemajuan negara sejajar dengan aspirasi nasional yang menjurus kepada usaha menjadi sebuah negara maju disamping dapat membangunkan masyarakat yang beridealisme.
-
0 comments:
Post a Comment