Pertikaian jejas ukhwah Islamiah

Insiden penyiaran tarian Pendet yang berasal dari Bali bagi mempromosikan pelancongan di Malaysia yang mendapat bantahan secara agresif sebahagian kecil rakyat Indonesia amat dikesali. Walaupun penjelasan diberikan, seolah-olah tidak meredakan api kemarahan kelompok terbabit.

Tuduhan keterlaluan dilemparkan kepada Malaysia bertujuan menyemarakkan lagi api kemarahan. Kini ia bertukar menjadi ancaman keselamatan apabila kumpulan bersenjatakan buluh runcing melancarkan kempen ‘Sapu Malaysia’ bertujuan menghalau tau lebih tepat lagi menyapu keluar rakyat Malaysia di Indonesia.

Ada juga pihak yang mempermainkan sentiment permusuhan ini melalui media. Mungkin dengan tujuan melariskan jualan atau juga sebagai berita sensasi bagi menarik perhatian golongan tertentu. Rata-rata pemimpin kedua-dua negara berpandangan ia perlu ditangani segera dengan berkesan. Tidak perlu diperbesarkan sehingga menggugat keharmonian hubungan yang terjalin kukuh selama ini.

Hubungan antara Indonesia dan Malaysia adalah hubungan unik, iaitu bukan sekadar dari sudut sempadan geografinya yang panjang, tetapi hubungan darah dan persaudaraan yang menjalar kepada bahasa, budaya dan semestinya, agama.

Jangan dilihat hubungan kedua-dua negara hanya pada hubungan rakan Asean sahaja. Malaysia dan Indonesia, saudara seagama. Hubungan antara kedua-dua negara memberikan iklim yang stabil terhadap perkembangan dakwah Islamaiah.

Jika isu ini disoroti dari sisi pandangan pertembungan Barat dan Islam, sewajarnya umat Islam kedua-dua negara perlu bertindak bijak. Sekali kita terbelit dan perangkap dalam permainan domino Barat, maka amat sukar untuk kita merungkainya semula.

Maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan agar ukhwah Islamiah perlu mendapat tempat yang sewajarnya. Ia menjadi teras perhubungan antara kedua-dua negara serumpun ini hingga ke hari ini.

Bagi kelangsungan dakwah Islamiah, maka keharmonian perlu dikekalkan. Jangan kita terbabit dengan pertikaian yang merugikan. Media arus perdana kedua-dua negara perlu memainkan peranan berkesan untuk menjernihkan hubungan dua hala.

Selain itu, demi perjuangan memartabatkan Islam, ulama kedua-dua negara perlu membantu dan membimbing ummah agar tidak terseret ke dalam perangkap Barat.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khuatir jika hubungan antarabangsa serumpun ini diserahkan kepada golongan politik semata-mata, ia cenderung kepada pendekatan populis yang sempit dan berorientasi sokongan setempat.

Penulis ialah Saudara Amidi Abdul Manan merupakan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Artikel ini diambil dari Berita Harian yang bertarikh 15 September 2009, Selasa di ruangan Surat &E-mel.

Muhamad Abduh

Pemikiran al-Afghani telah diikuti oleh anak muridnya Muhamad Abduh. Muhamad Abduh menentang penyeruan taqlid dan jumud sehingga beliau melakukan reformasi pendidikan dalam Universiti al-Azhar. Kedua-dua tokoh ini Berjaya meniupkan semangat jihad menentang penjajahan walaupun tokoh ini mempunyai sedikit perbezaan pendekatan.

Muhamad Abduh menggunakan pendekatan pembaikan melalui pendidikan dan ilmu walaupun memakan masa bagi menyiapkan gerombolan keilmuan. Sementara Jamaluddin al-Afghani lebih mirip pendekatan politik dan revolusi. Antara perkara utama isu pembaharuan Abduh dapat disimpulkan sebagai berikut:

1. Membersihkan Islam daripada unsur-unsur yang salah, khurafat dan bid’ah.

2. Pembaharuan pendidikan yang lebih tinggi dan tidak perlu malu mengambil pengetahuan Barat asal saja tidak bertentangan dengan ajara Islam yang hakiki untuk kepentingan kaum Muslimin.

3. Merumuskan ajaraan Islam menurut cara fikir moden kerana Islam ialah agama yang sesuai dengan segala zaman dan tempat.

4. Pembelaan agama Islam terhadap pengaruh Barat dan serangan daripada pihak kaum Kristian.

Jamaluddin al-Afghani

Jamaluddin al-Afghani

Jamaluddin al-Afghani
adalah pengislah, ahli fikir dan mujahid yang membawa pembaharuan kepada dunia Islam pada abad ini. Pemikiran-pemikirannya member kesan ke atas kebangkitan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia melalui pelajar-pelajar al-Azhar yang pulang ke tanah air ketika itu.

Beliau menyeru kepada perubahan dan tajdid, membuka pintu ijtihad, meniupkan ruh kerjasama dan persaudaraan, menentang bentuk-bentuk penjajahan barat, serta membebaskan umat Islam daripada belenggu taqlid, bidaaj dan khurafat. Muhammad Abduh menyifatkan kedatangan al-Afghani ke Mesir membawa sinar baru dan sinilah segala idea pembaharuannya berkembang. Beliau menggariskan empat factor terpenting dalam pembaharuan umat iaitu:

1. Beriltizam dengan prinsip-prinsip Islam dan mengikuti petunjuk ulama umat.

2. Membebaskan umat daripada belenggu penjajahan dalaman dan luaran.

3. Menyatupadukan umat Islam dalam satu kesatuan.

4. Mengambil aspek-aspek kebaikan dalam ilmu sains dan pentadbiran Barat.

Gagasan al-Afghani bukan sahaja berlegar di permukaan tetapi menyentuh dasar kehidupan umat hingga ke dimensi paling dalam, iaitu islah al-uqul wa al-nufus, pembaharuan jiwa dan minda. Sesudah itu disusuli dengan islahal-hukumah, reformasi politik pemerintah. Pembaharuan gaya al-Afghani adalah pembaharuan dalam erti kata kembali kepada pengertian keaslian dan kemurnian agama Islam dengan ruang lingkup yang mencakupi segala bidang kehidupan agama, sosial dan politik.
Menurut al-Afghani gerakan pembaharuan harus berteraskan kepada pembaharuan keagamaan. Perkara utama yang cuba ditangani oleh al-Afghani ialah kemunduran dan kelemahan umat Islam terutama dalam kaitannya dengan kuasa Barat. Al-Afghani menelusuri akar punca kehilangan dinamika umat Islam dan menemukannya pada pencemaran agama Islam yang dilakukan oleh kaum zindiq, golongan sufi, sophist dan pemalsu hadis.dengan demikian, pemikiran al-Afghani memusat kepada tema pemurnian akidah dan Islam dengan menekankan dinamika dan daya dorongannya kea rah kemajuan.

Dengan semangat itulah al-Afghani meneruskan perjuangan nahdah (kebangkitan) kaum Muslimin dengan membicarakan isu seperti qada dan qadar, peranan ilmu dan sebagainya. Al-Afghani menekankan peranan agama dalam mengangkat martabat manusia dan membangunkan tamadunnya. Beliau melihat Islam sebagai agama yang paling lengkap sesuai bagi pembangunan tamadun manusia. Islam membekalkan manusia dengan akidah tauhid yang membebaskannya daripada belenggu segala kepercayaan, mitos dan dongeng yang tidak rasional. Islam yang menumbuhkan pada diri manusia harga diri sebagai makhluk terunggul di bumi.

Dalam menghadapi realiti kemunduran umat Islam, al-Afghani menyarankan umat Islam memerlukan kepada sesuatu gerakan islah yang bersifat menyeluruh untuk kembali segar dan mampu berfungsi sebagai wahana kebangkitan tamadun. Oleh itu, semangat ijtihad perlu disuburkan dan menolak budaya taqlid.

Al-Afghani berpendapat, kefahaman kepercayaan kepada takdir yang salah iaitu manusia hidup laksana kapas diterbangkan angin ke mana-mana, tidak mempunyai daya usaha sendiri menyebabkan kaum Muslimin menjadi pemalas dan menerima nasib malang dengan tidak berusaha membebaskan diri daripada kehinaan dan kemiskinan. Sebenarnnya, kepercayaan kepada takdir menumbuhkan keperibadian mulia dan idealism, bukan membunuhnya.

Al-Afghani menerbitkan majalah al-Urwat al-Wuthqa yang bertujuan berkhdimat kepada umat Timur dengan menjelaskan apa yang mesti mereka lakukan untuk kebangkitan umat semula. Ia juga menjelaskan hasil-hasil penyelidikan tentang sebab-sebab kelemahan umat Islam dan cara mengatasinya, membangkitkan semangat cita-cita dan berani dalam jiwa, berpegang teguh kepada prinsip agama dan menyampaikan berita dan peristiwa politik berlaku. Di samping itu, menangkis segala serangan dan tuduhan yang dilemparkan oleh Barat.

Penulis merupakan seorang Siswa dari Fakulti Bisnes yang sedang berpraktikal di Majlis Amanah Rakyat.Tulisan ini diolah dari buku Dakwah Kompetori.

Al-Dahlawi

Ahmad bin Abdul Rahim yang terkenal dengan gelaran Syah Waliyullah al-Dahlawi hidup pada kurun ke 18 Masihi. Pada masa itu, umat Islam berada dalam keadaan berpecah dan lemah dalam semua aspek kehidupan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di India tetapi juga di seluruh dunia Islam. Bangunlah al-Dahlawi bersama anak-anak muridnya berjuang bagi mengembalikan keagungan Islam dalam bidang ilmu. Melalui aspek tarbiah kerohanian dan pandangan yang bernas, beliau menyeru umat Islam supaya beriltizam dengan syariah Islamiah dan menolak kekeliruan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Beliau menyebut perkara ini dalam bukunya Hujjatul Allah al-Balighah. Antara usaha yang dilakukannya ialah merubah pemikiran masyarakat yang jumud ke arah bersifat terbuka dan mencungkil rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia.

Di samping itu, beliau menyeru umat Islam kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam menyelesaikan pendapat yang berbeza. Menurut al-Dahlawi, bagi mencapai perpaduan dalam masalah-masalah yang sering diperdepatkan itu harus dibandingkan dengan berhati-hati. Kemudian diambil jalan tengah yang menyatukan pendapat-pendapat yang berbeza itu supaya dapat diterima oleh setiap pihak. Pendapat yang dipilih hendaklah berdasarkan dalil yang kukuh manakala pendapat yang ditinggal pula mesti diberikan perjelasan tentang kelemahannya dan mengapa pendapat itu ditinggalkan.

Menurut al-Dahlawi satu-satunya jalan untuk bangun kembali adalah dengan menghasilkan generasi baru yang berilmu dan berpendidikan tinggi dan mempunyai kefahaman yang sebenar tentang agama. Beliau menekankan penguasaan ilmu hadis dalam masyarakat Islam di India. Beliau adalah pelopor kebangkitan ilmu hadis di India hingga sekarang. Antara aspek pembaharuan yang dilakukannya ialah:

1. Memperbetulkan akidah dan menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.

2. Berusaha dengan gigih menyebarkan hadis dan mengadakan keseragaman antara fiqh dan hadis.

3. Mengemukakan konsep syariat dengan gambaran berteraskan dalil-dalil yang kukuh serta menyingkap rahsia-rahsia hokum syariah.

4. Menerangkan kedudukan khalifah tugas-tugasnya dalam Islam,menjelaskan keistimewaan dan kelebihan khalifah.

5. Berusaha membuat pembaharuan kepimpinan pada zaman krisis politik dan kemunduran kerajaan Monghul.

6. Memperkenalkan hisbah kepada semua peringkat kelompok umat dan menyeru kepada pembaikan dan perubahan.

7. Mendidik generasi ulama dan pemuda-pemuda sehingga mereka dapat melakukan tugas pembaharuan dan dakwah serta dapat memindahkan tugas kepada generasi selanjutnya.

Shawkani

Shawkani merupakan seorang yang faqih, ahli tafsir, dan ahli Hadis.Beliau memerangi bentuk taqlid, fanatik, dan ta’asub mazhab. Beliau menyebut dalam muqadimah kitab Nil al-Awtar bahawa ta’asub dapat membawa kerosakan kepada agama. Umat Islam perlu membebaskan diri dari perselisihan, bid’ah dan khurafat. Beliau juga menyeru kea rah ijtihad, memerangi taqlid dan membersihkan akidah daripada perkara syirik dengan mengarang beberapa buah buku mengenai perkara itu seperti al-Qaul al-Mufid fi Adillah al-Ijtihad wa taqalid, Syarah al-Sudur bi Tahrim raf’u al-Qubur dan Qatr al-Wali.

Membangun Ummah

Perspektif Sejarah, Dakwah dan Pemikiran

Menyelusuri setiap kurun nescaya dengan rahmat Allah SWT kepada umat Islam adalah Allah mengutus setiap kurun dengan seorang yang mentajdidkan agama ini. Ini dibuktikan lahirnya tokoh-tokoh mujadid dan pengislah yang berjuang dengan hati yang tulus ikhlas bagi agama yang mulia ini. Kalangan mereka ini membawa slogan kemajuan umat, memerangi kebatilan, kemunduran, kemiskinan, dan jumud. Pada kurun lalu sebelum tentera-tentera asing menjajah negara umat Islam yang mana umat Islam hidup dengan keadaan berpecah, taqlid, bid’ahdan khurafat.

Pada masa itu lahir took-tokoh ulama dan mujadid yang menghidupkan semula ruh kesatuan umat Islam. Munculnya Imam Shawkani (meninggal 1225H) di Yaman, Shah Waliyullah al-Dahlawi di India (meninggal 1763M), Jamaluddin al-Afghani (meninggal 1879M), Muhammad Abduh (meninggal 1905M) di Mesir.

Membentuk Belia Mantap Rohani, Jasmani

Abim lancar program kempen derma, berjariah perkasa generasi muda Islam
Kitab suci al-Quran mengandungi banyak pengajaran dan pesanan. Satu daripadanya, supaya umat Islam bersikap bertanggungjawab terhadap generasi di kemudian hari dengan tidak meninggalkan mereka dalam keadaan yang lemah.

Pesanan ini terkandung dalam al-Quran yang mana Allah mengingatkan dan memesan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan membahagikan harta pusaka supaya mengagihkannya secara adil dan saksama.

Ini bagi memastikan pembahagian itu tidak membawa penganiayaan dan kezaliman kepada mereka yang berhak terutama pengagihan membabitkan anak yatim dan golongan daif.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak yatim) oleh orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka bimbang terhadap masa depan dan keselamatan anak, oleh itu maka hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak).” (Surah al-Nisa’,ayat 9)

Peringatan dan pesanan itu disampaikan Allah kerana ada sebahagian manusia yang bersikap tamak serta zalim dengan keputusan dalam urusan harta benda hingga membawa penganiayaan terhadap golongan lemah seperti anak yatim.

Dalam hubungan ini, Allah memberi pesanan terutama kepada penjaga harta pusaka dengan gambaran apakah mereka tidak berasa bimbang jika ditakdirkan pewaris itu ialah anak mereka?

Apakah tidak ada rasa bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka jika generasi yang ditinggalkan dalam keadaan lemah? Pengajaran umum daripada pesanan al-Quran ini amat meluas sekali. Tentunya, pesanan ini tidak merujuk kepada golongan penjaga harta pusaka secara khusus.

Ia juga adalah peringatan kepada seluruh umat Islam supaya bersiap siaga dan memandang ke depan dalam merancang masa depan generasi yang mereka akan tinggalkan nanti. Umat Islam hendaklah sentiasa bertanyakan diri sendiri mengenai nasib anak mereka suatu hari kelak. Apakah anak mereka tergolong daripada kalangan generasi yang lemah atau kuat?

Semangat pengajaran ayat al-Quran itu harus menjadi pegangan seluruh umat Islam sempena sambutan Nuzul al-Quran tahun ini. Untuk itu, kita hendaklah mengolongkan diri di kalangan kelompok yang mengambil berat terhadap keselamatan dan masa depan generasi akan datang.

Bagi tujuan itu, kita semua hendaklah bersama-sama menjayakan usaha pembangunan generasi belia Islam yang memiliki serba kekuatan dalam kehidupan bagi memastikan tidak terjebak dalam perbuatan menganiayai dengan meninggalkan generasi akan dating dalam keadaan yang penuh dengan kelemahan.

Sesungguhnya, usaha itu adalah satu agenda luhur dan murni memandangkan generasi belia Islam adalah kelompok pewaris kepada kepemimpinan negara dan ummah pada masa depan. Ada beberapa faktor yang menuntut usaha pembangunan belia Islam diperhebatkan.

Pertama, golongan belia Islam adalah kelompok teras masyarakat Malaysia hari ini. Bilangan mereka juga adalah yang terbanyak. Belia Islam di negara kita terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.

Mereka terdiri daripada kalangan belia Islam berbangsa Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian latar belakang ini ialah kesan proses pengislaman dan perkembangan ajaran agama Islam yang pesat di negara ini.

Mereka adalah tonggak yang akan mempengaruhi corak perkembangan negara pada masa depan daripada sudut ekonomi, politik dan sosial. Keutuhan mereka asas kesejahteraan negara Malaysia.

Kedua, peranan belia Islam di negara kita penting dan berpengaruh sekali kerana Malaysia secara khusus adalah sebuah negara contoh kepada banyak negara terutama dunia Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.

Jaminan kepemimpinan negara yang berkesan di pentas dunia bergantung kepada keupayaan kita membangunkan generasi belia Islam berkualiti dalam segenap aspek kehidupan. Peranan dan tanggunjawab mereka hari ini tidak lagi berkisar dalam ruang dan sempadan negara tetapi kelompok pemimpin di pentas kehidupan dunia yang serba luas.

Ketiga, belia Islam kini sedang berada di era dunia yang mencabar. Salah satu cabaran utama belia Islam ialah globalisasi. Proses keterbukaan dan liberalisasi yang menjadi elemen utama era globalisasi ini menuntut belia Islam bersiap sedia secara sempurna.

Belia Islam yang terbangun secara sepadu daripada aspek jasmani, rohani, akal dan emosi akan berupaya mendepani cabaran tidak menentu ini. Bersandarkan faktor itu, tuntutan membangun belia Islam yang utuh dan kuat begitu mendesak sekali.

Tuntutan itu harus menjadi kewajipan dan tanggungjawab segenap lapsian masyarakat. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku wadah terbesar bagi belia Islam di negara ini berasa terpanggil untuk memberikan tumpuan khusus kepada Agenda Pembangunan Belia Islam pada masa depan.

Ia sejajar semangat pesan al-Quran yang meminta kita berasa bimbang mengenai masa depan generasi akan datang supaya tidak ditinggalkan dalam keadaan lemah. Agenda pembangunan belia Islam, rancangannya harus bersifat menyeluruh.

Antara aspek utama yang akan diberi tumpuan ABIM ialah bidang pendidikan Islam dan latihan, peningkatan ketrampilan dan kepimimpinan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan, pemupukan semangat kesukarelawan, pengukuhan kebajikan sosial dan kesedaran alam sekitar dan isu antarabangsa di samping pembinaan jiwa patriotik.

Agenda itu menuntut dokongan masyarakat terbanyak. Semua lapisan masyarakat wajar digalakkan terbabit secara serius dalam menjayakan agenda pembangunan Islam. Bagi mendorong pembabitan masyarakat, ABIM melancarkan Kempen Menderma, dan Berjariah Untuk Tabung Pembangunan Belia Islam.

Ia bertujuan mengumpul dana bagi melancarkan usaha dan rancangan program pembangunan belia Islam secara lebih berkesan untuk tempoh akan datang.

Bersempena sambutan Nuzul al-Quran, saya ingin mengajak seluruh masyarakat bersama ABIM menjayakan agenda membangun generasi belia Islam yang kuat dengan menderma dan berjariah menerusi tabung ini. Segala bentuk sumbangan ikhlas adalah bermakna di dalam menjayakan cita-cita murni ini.

Untuk Menderma, Sila Lawati:

www.abim.org.my

atau

Sumbangan Juga Boleh Disalurkan Menerusi:
AKAUN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
14-023-01-001118-8

Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Berita Harian Rabu, 9 September 2009