Perspektif Sejarah, Dakwah dan Pemikiran
Menyelusuri setiap kurun nescaya dengan rahmat Allah SWT kepada umat Islam adalah Allah mengutus setiap kurun dengan seorang yang mentajdidkan agama ini. Ini dibuktikan lahirnya tokoh-tokoh mujadid dan pengislah yang berjuang dengan hati yang tulus ikhlas bagi agama yang mulia ini. Kalangan mereka ini membawa slogan kemajuan umat, memerangi kebatilan, kemunduran, kemiskinan, dan jumud. Pada kurun lalu sebelum tentera-tentera asing menjajah negara umat Islam yang mana umat Islam hidup dengan keadaan berpecah, taqlid, bid’ahdan khurafat.
Pada masa itu lahir took-tokoh ulama dan mujadid yang menghidupkan semula ruh kesatuan umat Islam. Munculnya Imam Shawkani (meninggal 1225H) di Yaman, Shah Waliyullah al-Dahlawi di India (meninggal 1763M), Jamaluddin al-Afghani (meninggal 1879M), Muhammad Abduh (meninggal 1905M) di Mesir.
Membangun Ummah
Membentuk Belia Mantap Rohani, Jasmani
Abim lancar program kempen derma, berjariah perkasa generasi muda Islam
Kitab suci al-Quran mengandungi banyak pengajaran dan pesanan. Satu daripadanya, supaya umat Islam bersikap bertanggungjawab terhadap generasi di kemudian hari dengan tidak meninggalkan mereka dalam keadaan yang lemah.
Pesanan ini terkandung dalam al-Quran yang mana Allah mengingatkan dan memesan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan membahagikan harta pusaka supaya mengagihkannya secara adil dan saksama.
Ini bagi memastikan pembahagian itu tidak membawa penganiayaan dan kezaliman kepada mereka yang berhak terutama pengagihan membabitkan anak yatim dan golongan daif.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak yatim) oleh orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak yang daif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka bimbang terhadap masa depan dan keselamatan anak, oleh itu maka hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak).” (Surah al-Nisa’,ayat 9)
Peringatan dan pesanan itu disampaikan Allah kerana ada sebahagian manusia yang bersikap tamak serta zalim dengan keputusan dalam urusan harta benda hingga membawa penganiayaan terhadap golongan lemah seperti anak yatim.
Dalam hubungan ini, Allah memberi pesanan terutama kepada penjaga harta pusaka dengan gambaran apakah mereka tidak berasa bimbang jika ditakdirkan pewaris itu ialah anak mereka?
Apakah tidak ada rasa bimbang terhadap keselamatan dan masa depan mereka jika generasi yang ditinggalkan dalam keadaan lemah? Pengajaran umum daripada pesanan al-Quran ini amat meluas sekali. Tentunya, pesanan ini tidak merujuk kepada golongan penjaga harta pusaka secara khusus.
Ia juga adalah peringatan kepada seluruh umat Islam supaya bersiap siaga dan memandang ke depan dalam merancang masa depan generasi yang mereka akan tinggalkan nanti. Umat Islam hendaklah sentiasa bertanyakan diri sendiri mengenai nasib anak mereka suatu hari kelak. Apakah anak mereka tergolong daripada kalangan generasi yang lemah atau kuat?
Semangat pengajaran ayat al-Quran itu harus menjadi pegangan seluruh umat Islam sempena sambutan Nuzul al-Quran tahun ini. Untuk itu, kita hendaklah mengolongkan diri di kalangan kelompok yang mengambil berat terhadap keselamatan dan masa depan generasi akan datang.
Bagi tujuan itu, kita semua hendaklah bersama-sama menjayakan usaha pembangunan generasi belia Islam yang memiliki serba kekuatan dalam kehidupan bagi memastikan tidak terjebak dalam perbuatan menganiayai dengan meninggalkan generasi akan dating dalam keadaan yang penuh dengan kelemahan.
Sesungguhnya, usaha itu adalah satu agenda luhur dan murni memandangkan generasi belia Islam adalah kelompok pewaris kepada kepemimpinan negara dan ummah pada masa depan. Ada beberapa faktor yang menuntut usaha pembangunan belia Islam diperhebatkan.
Pertama, golongan belia Islam adalah kelompok teras masyarakat Malaysia hari ini. Bilangan mereka juga adalah yang terbanyak. Belia Islam di negara kita terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.
Mereka terdiri daripada kalangan belia Islam berbangsa Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian latar belakang ini ialah kesan proses pengislaman dan perkembangan ajaran agama Islam yang pesat di negara ini.
Mereka adalah tonggak yang akan mempengaruhi corak perkembangan negara pada masa depan daripada sudut ekonomi, politik dan sosial. Keutuhan mereka asas kesejahteraan negara Malaysia.
Kedua, peranan belia Islam di negara kita penting dan berpengaruh sekali kerana Malaysia secara khusus adalah sebuah negara contoh kepada banyak negara terutama dunia Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.
Jaminan kepemimpinan negara yang berkesan di pentas dunia bergantung kepada keupayaan kita membangunkan generasi belia Islam berkualiti dalam segenap aspek kehidupan. Peranan dan tanggunjawab mereka hari ini tidak lagi berkisar dalam ruang dan sempadan negara tetapi kelompok pemimpin di pentas kehidupan dunia yang serba luas.
Ketiga, belia Islam kini sedang berada di era dunia yang mencabar. Salah satu cabaran utama belia Islam ialah globalisasi. Proses keterbukaan dan liberalisasi yang menjadi elemen utama era globalisasi ini menuntut belia Islam bersiap sedia secara sempurna.
Belia Islam yang terbangun secara sepadu daripada aspek jasmani, rohani, akal dan emosi akan berupaya mendepani cabaran tidak menentu ini. Bersandarkan faktor itu, tuntutan membangun belia Islam yang utuh dan kuat begitu mendesak sekali.
Tuntutan itu harus menjadi kewajipan dan tanggungjawab segenap lapsian masyarakat. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku wadah terbesar bagi belia Islam di negara ini berasa terpanggil untuk memberikan tumpuan khusus kepada Agenda Pembangunan Belia Islam pada masa depan.
Ia sejajar semangat pesan al-Quran yang meminta kita berasa bimbang mengenai masa depan generasi akan datang supaya tidak ditinggalkan dalam keadaan lemah. Agenda pembangunan belia Islam, rancangannya harus bersifat menyeluruh.
Antara aspek utama yang akan diberi tumpuan ABIM ialah bidang pendidikan Islam dan latihan, peningkatan ketrampilan dan kepimimpinan, pembangunan ekonomi dan keusahawanan, pemupukan semangat kesukarelawan, pengukuhan kebajikan sosial dan kesedaran alam sekitar dan isu antarabangsa di samping pembinaan jiwa patriotik.
Agenda itu menuntut dokongan masyarakat terbanyak. Semua lapisan masyarakat wajar digalakkan terbabit secara serius dalam menjayakan agenda pembangunan Islam. Bagi mendorong pembabitan masyarakat, ABIM melancarkan Kempen Menderma, dan Berjariah Untuk Tabung Pembangunan Belia Islam.
Ia bertujuan mengumpul dana bagi melancarkan usaha dan rancangan program pembangunan belia Islam secara lebih berkesan untuk tempoh akan datang.
Bersempena sambutan Nuzul al-Quran, saya ingin mengajak seluruh masyarakat bersama ABIM menjayakan agenda membangun generasi belia Islam yang kuat dengan menderma dan berjariah menerusi tabung ini. Segala bentuk sumbangan ikhlas adalah bermakna di dalam menjayakan cita-cita murni ini.
Untuk Menderma, Sila Lawati:
www.abim.org.my
atau
Sumbangan Juga Boleh Disalurkan Menerusi:
AKAUN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
14-023-01-001118-8
Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Berita Harian Rabu, 9 September 2009
Pengertian Ekstremisme
Ibnu Taimiyyah berpendapat, ekstremisme bererti melampaui batas dengan menambah kepada sesuatu sama ada memuji ataupun mengeji lebih daipada berhak diterima dan sebagainya. Ibn Hajar mentakrifkan sebagai berlebih-lebihan dalam sesuatu dan memperketat dengan melewati batas. Pada keseluruhannya ektremisme membawa erti sesuatu yang melewati bats-batas yang dihalalkan dengan menokok tambah.
Walaupun begitu, apabila ektremisme ini dikaitkan dengan agama ia bukan bererti agama Islam itu yang melampau. Tetapi maksudnya ialah sikap melampau dalam beragama Islam. Ini bererti ekstremisme tidak bersangkut paut dengan agama Islam yang bersifat luhur, sederhana dan adil. Allah sendiri memberi ingatan dengan firmannya dalam surah al-Maidah ayat-77, bermaksud, “Janganlah kamu melampau dalam agama kamu.”
Keburukan Ektremisme dalam Agama
Larangan ke atas yang ekstrem ini adalah disebabkan ia mengandungi beberapa keburukan iaitu:
1. Ia dibenci kerana tidak dapat diterima oleh tabiat manusia yang normal dan kebanyakan manusia tidak mampu bersabar dengannya.
2. Sikap ekstrem ini tidak panjang usianya dan mengikut adatnya tidak dapat berterusan kerana manusia mempunyai tenaga yang terhad. Akhirnya, ia menjadi letih dan merasa bosan. Perkara yang lebih malang lagi, ia bertukar sikap melampau kepada lalai dan alpa.
3. Ekstrem ini melanggar hak-hak orang lain yang wajib dipelihara dan kewajipan yang mesti ditunaikan seperti kata hukama’,”tidakaku lihat ‘berlebihan’ melainkan di sampingnya ada hak yang diabaikan.”
Tanda-tanda Gejala Ekstremisme
Antara tanda-tanda gejala ekstrem ialah:
1. Fanatik kepada satu pendapat dan tidak mengakui pendapat orang lain. Ia tidak melihat kepada maslahah(kepentingan) manusia, tujuan-tujuan syarak dan realiti semasa. Ia tidak berlapang dada untuk mengadakan perbincangan dengan orang lain untuk mencari dan mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.
2. Mewajibkan orang lain dengan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan mengambil sikap keras dengan menolak sifat kelapangan dan keringanan.
3. Bersikap kasar pada bukan tempat dan masanya seperti bersikap keras pada masalah-masalah cabangan (furu’) dan perkara yang diperselisihkan (khilafiyah) dan melupai perkara teras iaitu membetulkan akidah.
4. Kasar dalam pergaulan, kesat dalam tutur kata dank eras dalam penyampaian dakwah. Islam membenarkan kekerasan itu hanya pada dua tempat iaitu di medan peperangan ketika menghadapi musuh dan ketika melaksanakan hukuman syarak ke atas orang yang berhak menerimanya.
5. Prasangka buruk pada orang lain dengan membuat tuduhan tidak berasas, menyembunyikan kebaikan-kebaikannya dan pada waktu yang sama membesar-besarkan kesalahan-kesalahanya.
6. Mengkufurkan orang lain dengan cara sewenang-wenangnya, menghalalkan darah dan harta bendanya. Mereka mengkafirkan setiap orang yang melakukan dosa besar, mengkafirkan orang yang tidak menerima fikiran mereka dan mengkafirkan orang yang tidak berbaiah dalam jemaah mereka.
Sebab-sebab Timbul Gejala Ektrem
Beberapa factor yang menyebabkan timbul gejala ekstremisme ini adalah:
1. Kelemahan memahami hakikat agama yang sebenar iaitu orang yang mempunyai sedikit ilmu mengganggap dirinya sebagai orang alim dan boleh berijtihad. Senagai contohnya mereka yang berpegang secara harfiah (literal) kepada nas-nas tanpa bersedia memahami yang tersirat dan mengetahui tujuan-tujuan syarak. Di samping itu, berlebih-lebihan apabila mengharamkan sesuatu yang tidak ada nas yang qat’iyy.
2. Ia juga terjadi akibat mengikut mutasyabihat dan meninggalkan muhkamat. Perkara mustasyabihat adalah perkara yang tidak jelas hukumnya ataupun kemungkinan mempunyai beberapa makna sementara perkara muhkamat ialah yang nyata maknanya dan jelas hukumnya.
Adakah Suara Wanita Aurat?
Ada orang menyebutkan suara wanita itu adalah aurat dan wanita tidak boleh berkata-kata kecuali kepada suami dan mahramnya sahaja. Perkara ini tidaklah benar sama sekali. Al-Quran mengharuskan para sahabat daripada golongan lelaki menanya isteri-isteri nabi SAW dari balik tabir. Permintaan dan pertanyaan itu memerlukan jawapan dari ummahatul mukminin (gelaran yang diberi kepada isteri-isteri nabi). Mereka biasa memberi fatwa kepada orang yang meminta fatwa daripada mereka dan meriwayatkan hadis bagi orang yang ingin mengambil hadis mereka.
Pernah seorang wanita bertanya kepada Nabi SAW di hadapan kaum lelaki. Dia tidak merasa keberatan melakukan hal itu dan nabi pun tidak melarangnya. Pernah ada seorang wanita menyangkal pendapat Umar ketika Umar sedang di atas mimbar. Atas sanggahan itu, Umar tidak mengingkarinya, bahkan mengakui kebenaran wanita itu dan mengakui kesalahannya sendiri.
Kita juga mengetahui kisah dua puteri nabi Shuaib yang berdialog dan berbicara dengan nabi Musa (diceritakan dalam surah al-Qashah ayat 23-25) dan kisah nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Balqis serta percakapan Ratu Balqis dengan pembesar-pembesarnya daripada kalangan lelaki.
Perkara yang dilarang dalam syariat ialah melunakkan pembicaraan bagi menarik lelaki yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai al-hkudu bil-qaul (lunak dan memikat apabila berkata-kata) seperti yang disebut dalam surah al-Ahzab ayat 32.
Prinsip Wasatiyatul Islam
Penyuburan Semula di Kalangan Masyarakat
Islam adalah manhaj sederhana dalam segala bidang kehidupan manusia sama ada dalam bidang iktikad, perundangan dan akhlak. Manhaj inilah yang dipohon oleh setiap individu ketika bersolat iaitu, “Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus.” Dalam surah al-Fatihah, ayat 6. Langit, bumi, bintang, matahari terletak pada kedudukan yang seimbang hatta pernafasan manusia juga adalah seimbang.
Di antara keistimewaan dalam Islam adalah prinsip Wasatiyatul Islam. Wasatiyatul bermakna pertengahan, seimbang, sederhana dan adil. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud, “Dan demikianlah kami jadikan kamu umat yang pertengahan (adil) supaya kamu menjadi saksi bagi manusia, dan supaya Rasul itu menjadi saksi pada perbuatan kamu.”
Wasatiyah ini adalah keistimewaan kepada umat Islam dengan mengikut manhajnya yang seimbang dan adil, yang jauh daripada penyelewengan dan fanatik. Allah menjadikan alam ini dalam keadaan seimbang dan teratur. Para ahli tafsir menyatakan wasatiyah ini mengandungi pelbagai makna di antaranya:
1. Umat yang adil
Disifatkan umat ini dengan sifat adil kerana mereka akan menjadi saksi kepada manusia dan kaum yang menjadi saksi mestilah bersifat adil. Diriwayatkan daripada Imam Ahmad daripada Abi Said Khudri bahawa Rasulullah SAW mentafsirkan ‘Wasatan’.
2. Umat beristiqamah
Wasatiyah juga bermakna istiqamah dalam Islam. Manhaj Islam yang diredhai oleh Allah iaitu manhaj siratul mustaqim yang selalu setiap Muslim memohon supaya Allah memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan bukan jalan dimurkai iaitu Yahudi dan Nasrani ini sememangnya melampaui batas dan angkuh. Orang Yahudi membunuh para nabi dan terlalu mengharamkan semua perkara manakala Nasrani terlalu menghalalkan kesemuanya. Orang Yahudi mementingkan kebendaan manakala orang Nasrani menyekat persoalan kebendaan. Islam mengajar umatnya supaya mengikut manhaj yang lurus, jalan yang ditetapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad SAW. Oleh itu, ummatan wasata adalah umat yang mempunyai pendiriaan yang tegas apabila menyatakan hak dan sentiasa beriltizam dengan manhaj rabbani. Umat yang tidak rela melihat agamanya dipermainkan dan dihina.
3. Umat terbaik dan berkualiti
Sebaik-baik perkara adalah sederhana dan seimbang, Ibnu Kathir menyatakan ummatan wasata ialah umat yang terbaik dan berkualiti. Bak kata pepatah Arab, “Quraisy aswat al-Arab nasb wa dar” (Quraisy adalah sebaik-baik kaum Arab daripada segi keturunan dan dan kabilah). Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik da semulia-mulia keturunan. Mengikut mufasirin juga makna al-solat al-wusta bermaksud sebaik-baik solat. Oleh itu, maksud ummatan wasata adalah umat produktivitinya tinggi, gerak kerja yang kemas, terbaik dan berkualiti.
4. Umat yang mencintai keamanan
Ia juga bermakna persekitaran yang aman. Jauh daripada sifat bahaya dan kerosakan. Wasatiyah membawa keamanan dan kesejahteraan dalam cabaran lingkungannya. Ummatan wasata ini bermakna umat yang sentiasa mementingkan keamanan, memelihara da mengawalnya, mengamalkan semangat kesetiaan, harmonis dan makmur. Mereka menjadi pengawal setia kepada keamanan dunia dan alam sejagat.
5. Umat yang memiliki kekuatan
Wasata bermakna pusat kekuatan. Tidakkah kira kita melihat peringkat muda adalah peringkat yang mempunyai kekuatan jasmani dan cita-cita yang berkobar. Peringkat di antara usia kanak-kanak dan orang tua yang lemah. Peringkat golongan muda inilah yang mampu memiliki kekuatan bagi menjana generasi umat. Matahari yang waktu tengah hari begitu panas terik daripada waktu pagi dan petang. Ini menandakan bahawa ummatan wasata adalah umat yang mempunyai kewibawaan dan digeruni.
6. Umat Perpaduan
Umat yang sentiasa mencari titik persamaan dan menjauhi segala bentuk perpecahan. Mereka sentiasa menjadi pemersatu dalam konflik kemanusiaan. Umat Islam adalah contoh kepada umat lain. Manhajnya adalah formula terbaik bagi kegawatan hidup manusia.
Fiqh al-Awalawiyat
Memahami Keutamaan dalm Konteks Malaysia
Kefahaman Fiqh al-Awalawiyat iaitu fiqh urutan keutamaan (prioriti) yang memerlukan kita mengetahui perkara yang mesti didahulukan apabila melaksanakan fiqh al-hayah. Dengan kata lain, tidak mengemudiankan perkara yang sepatutnya didahulukan dan tiada mendahulukan perkara yang sepatutnya dikemudiankan. Kefahaman ini juga memerlukan supaya kita lebih menumpukan serta berusaha kea rah itu lebih daripada perkara yang lain.
Fiqh ini juga membawa maksud sesuatu yang sewajarnya didahulukan hendaklah didahulukan dan sewajarnya dikemukakan dikemudiankan mesti dikemudiankan. Sesuatu yang kecil tidak perlu diperbesarkan dan sesuatu yang penting tidak boleh diabaikan. Setiap perkara mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan tepat. Kefahaman Fiqh al-Awlawiyyat ini amat penting dalam proses kehidupan manusia kini kerana ia dapat member alternatif apabila ia bertembung dengan kebaikan atau kejahatan.
Dalam syariah Islam, ulama menetapkan lima perkara yang perlu dijaga yang dikenali sebagai al-Kuliyat al-Khamsah iaitu agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Maslahah ini pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu dharuriyat, hajiyat dan tahsinat.
1. Al-Dharuriyat ialah sesuatu yang kita tidak berupaya hidup melainkan dengan kewujudannya.
2. Al-Hajiyat ialah kehidupan yang dapat berlaku tanpa perkara itu. Walau bagaimana kehidupan itu akan mengalami kesukaran dan kesengsaraan.
3. Al-Tahsinat ialah sesuatu yang dipergunakan bagi menghias dan mempercantik kehidupan.
Apabila bertembung antara dua maslahah dalam satu kategori ini hendaklah diutamakan agama daripada jiwa, jiwa daripada keturunan, keturunan daripada akal, akal daripada harta. Islam mengharuskan membuka aurat ketika hendak berubat kerana membuka aurat perkara tahsini manakala mengubati sakit perkara dharuri. Di sini islam lebih mengutamakan perkara dharuri daripada perkara tahsini.
Dalam syarat perlantikan ketua negara ia mestilah seorang yang mencapai tahap mujtahid tetapi apabila tiada orang yang mencapai tahap itu maka dapat dilantik orang yang bertaqlid kerana jikalau membiarkan pemerintah tanpa ketua negara boleh menyebabkan kepincangan serta kerosakan yang lebih besar dalam negara. Di sini pentingnya kita melihat untung rugi dengan menganalisis jangka panjang dan jangka pendek. Kalau kita membiarkan pemerintahan tanpa ada ketua negara hanya bagi mencari orang yang mencukupi syarat maka ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih buruk.
Sebagai contoh para sahabat berhimpun di bani Saqifah bagi melantik ketua negara menggantikan Rasulullah S.A.W kerana membiarkan kaum Muslimin ketika itu tanpa ada ketua negara akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar. Di sini jelas para sahabat mengikut urutan keutamaan dengan memilih ketua negara terlebih dahulu selepas itu barulah memaqamkan jasad Rasulullah S.A.W
Islam menghalalkan perhubungan jenis melalui perkahwinan yang sah dan mengharamkan zina serta mengenakan hukuman hudud ke atasnya kerana ia adalah perkara dharuri. Tanpa hukuman ini akan pincanglah masyarakat.
Dalam perkara hajiyat nasab keturunan pula, Islam mensyaratkan sahnya perkahwinanan itu mestilah ada saksi, wali dan mahar. Manakala tahsini iaitu mestilah ada kesamaan antara suami isteri, bagi menjamin kasih saying yang berkekalan. Begitu juga apabila bertembung di antara dua keburukan perlulah memilih yang kurang keburukannya. Islam mengharamkan suami mengadakan hubungan jenis dengan isterinya dalam keadaan haid tetapi apabila ia tiada mengadakan hubungan jenis akan mnegakibatkan berlakunya perzinaan yang lebih besar mudaratnya maka diharuskan perhubungan itu bagi mengelakkan berlakunya perzinaan yang lebih buruk akibatnya. Walau bagaimanapun perbuatan itu tetap berdosa.
Islam mengharuskan minum arak apabila ia dipaksa atau keadaan darurat kerana menjaga diri da jiwa lebih utama daripada menjaga akal. ‘Izuddin bin Abdul Samad dalam bukunya Qawa’id al-Ahkam mengatakan, “Harus berubat dengan najis apabila tiada ubat yang bersih ketika darurat kerana mebiarkan tanpa berubat lebih besar buruknya.”
Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, “Antara tanda kefahaman seseorang dalam agama serta ketinggiannya, dia dapat mengetahui serta menilai kategori yang ditentukan sama ada dalam meletakkannya dalam kategori yang ditentukan sama ada dalam perkara suruhan atau tegahan.” (Sahwah al-Islmaniah bayn al-Juhud wa al-Tataruf, hal. 175-177, Dar al-Wafa’, Kaherah)
Islam mendahulukan fardhu ain atas fadhu kifayah seperti mendahulukan berbakti kepada ibu bapa dan ketaatan kepada keduanya lebih utama daripada berjihad selagi mana jihad adalah fardhu kifayah. Tidak harus si anak keluar berjihad tanpa izin daripada ibu bapanya. Fardhu ain yang bersangkutan dengan jamaah hendaklah didahulukan dengan fardhu ain secara berseorangan seperti berjihad ketika umat Islam ditindas, jihad ini menjadi fardhu ain atas jamaah maka ia adalah utama daripada berbakti kepada ibu bapa.
Begitu juga hendaklah mendahulukan fardhu atas wajib, wajib atas sunat dan sunat mu’akat atas mustahab (perkara-perkara yang digalakkan). Umpamanya, pemerintah yang adil lebih baik daripada mengerjakan amalan ibadat sunat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Satu hari bagi pemerintah yang adil lebih afdal daripada ibadat enam puluh tahun. (riwayat Tabrani, Baihaki daripada Ibn Abbas).
Terdapat golongan yang lebih mengutamakan amalan sunat daripada amalan fardhu da wajib terutama golongan ahli kerohanian yang hanya membanyakkan zikir, tasbih dan wirid daripada menegah mungkar yang berleluasa dalam masyarakat dan lebih ketara lagi golongan yang hanya mementingkan persaoalan furu’ (cabangan) daripada pembinaan asas tauhid. Perkara tegahan juga mempunyai kategori:
1. Makruh yang hamper kepada halal
2. Makruh yang hamper kepada haram
3. Perkara subahat yang banyak manusia tidak mengetahuinya.
Pertahan Malaysia perlu ikhlas ikut Perlembagaan
Negara kita Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 dalam suasana sederhana tetapi patriotik pada 31 Ogos lalu. Di dalam banyak pengucapan pemimpin negara sempena tahun kemerdekaan ini, tuntutan semua rakyat Malaysia bersama-sama membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni, ditekankan menerusi kerangka gagasan 1 Malaysia.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku sebuah pertubuhan yang mewakili golongan belia Islam di negara ini menyeru seluruh masyarakat Malaysia menyahut seruan ini. Masyarakat boleh menyumbang dalam usaha pembentukan negara Malaysia bersatu padu menerusi beberapa langkah.
Pertama ialah dengan memahami dan meghayati kembali sejarah pembentukan negara ini. Hal ini menuntut masyarakat Malaysia meningkatkan bacaan dan kajian terhadap susur galur perjuangan menuntut kemerdekaan menerusi perpektif yang menyeluruh.
Menerusi pembacaan dan pengkajian ini, masyarakat Malaysia tentu akan terdedah dengan latar kehidupan negara sebelum kemerdekaan, memahami liku-liku dalam proses mencapai kemerdekaan, mengenali tokoh pejuang kemerdekaan dari segenap kumpulan masyarakat dan kaum serta memahami asas permuafakatan antara kaum di negara ini.
Langkah keduua ialah mempertingkatkan hubungan dan pergaulan antara kaum. Seperti kita ketahui, masyarakat kita tergolong kepada beberapa kelompok kaum seperti Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Kepelbagaian masyarakat Malaysia ini perlu dijalin secara kukuh dan berterusan.
Peningkatan hubungan dan pergaulan menerusi pelbagai cara yang sesuai dan wajar antara pelbagai kaum boleh menghilangkan jurang dan tembok pemisah yang banyak disaluti oleh kepentingan kelompok. Di samping kita terus mengekalkan identiti kelompok yang kita warisi, masyarakat Malaysia hendaklah bersatu atas semangat kenegaraan sebagai ‘Anak Malaysia’.
Langkah ketiga ialah menerusi peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. ABIM ingin menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan sama ada daripada aspek kefahaman atau pertuturan.
Bahasa Melayu ilah bahasa perhubung antara kita semua. Sekiranya masyarakat Malaysia tidak berkongsi satu bahasa pengantar yang sama, kita semua tidak akan berkongsi perasaan kecintaan kepada negara dan tidak mungkin dapat meghayati cita-cita perjuangan sama sebagai anak Malaysia.
Bersempena sambutan kemerdekaan tahun ini, ABIM ingin menyeru semua pihak supaya gigih dan ikhlas dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Ini dapat diterjemaahkan sekiranya semua pihak menghormati Rukun Negara dan prisnsip keadilan dan keharmonian insane yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Berita Harian 3 September 2009 Khamis