Pertembungan nilai kisah Kartika tuntut tindakan

Kisah Kartika Sari Dewi Shukarno menjadi tajuk perbincangan hangat beberapa minggu lalu. Kisahnya wajar ditelusuri secara mendalam oleh warga belia Islam memandangkan ia mempunyai beberapa implikasi dari sudut pemikiran. Pada hemat saya, kisah Kartika ialah satu daripada manifestasi mengenai realiti pertembungan aliran nilai yang sedang dialami masyarakat sekarang.

Pertembungan aliran nilai ini didorong dua faktor utama. Pertama, peningkatan kesedaran yang amat tinggi di kalangan masyarakat Islam terhadap tuntutan penghayatan nilai dan ajaran agama yang menyeluruh di segenap aspek kehidupan. Kedua, perkembangan pengaruh nilai yang bercorak liberal yang amat pesat sekali di negara kita kesan proses persejagatan atau globlisasi.

Bagi sesetengah perkumpulan masyarakat Islam, hukuman terhadap Kartika perlu diteruskan tanpa perlu penangguhan kerana hukuman itu sejajar dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Tambahan pula, Kartika sudah mengakui kesalahannya serta rela hati untuk menjalani hukuman sebat. Pelaksanaan hukuman ini dilihat amat mustahak sebagai satu bentuk pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat, terutama kepada golongan muda yang sejak akhir-akhir ini mudah terjebak dengan perbuatan yang membahayakan diri seperti meminum minuman keras.

Menerusi hukuman ini, ia diharap dapat member keinsafan bukan saja kepada pesalahnya, malah memberi peringatan dan rasa takut kepada orang lain mengenai bahaya amalan meminum minuman keras.

Meminum minumam keras adalah satu daripada dosa besar dan dari sudut perundangan Islam, pelakuanya boleh disebat sehingga 80 sebatan. Ketegasan ini menunjukkan bahawa seriusnya Islam menangani gejala meminum minuman keras yang juga ibu kepada banyak gejala tidak baik di dalam kehidupan diri dan masyarakat.

Namum, bagi sesetengah perkumpulan masyarakat lain, hukuman itu menunjukkan sifat kurang belas kasihan agama Islam terhadap wanita. Ia dianggap satu bentuk penderaan, malah sehingga ke tahap penganiayaan terhadap wanita. Kartika pada pandangan mereka perlu diberi peluang kedua terlebih dulu memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah kali pertama kali.

Kisah Kartika ini juga menjadi sumber berita yang hangat di media antarabangsa. Malaysia menjadi tumpuan kerana pelaksanaan hukuman ini memperlihatkan sifat keras perundangan syariah dan agak bertentangan dengan nilai perundangan dunia moden.

Bagi masyarakat mengamalkan cara hidup bebas, seperti Barat, meminum minuman keras bukanlah suatu kesalahan, malah sebahagian keperluan dan satu bentuk gaya hidup moden. Oleh itu, menjatuhkan hukuman sebat bagi sesiapa yang meminum minuman keras dianggap ketinggalan.

Perbezaan pandangan dan fikiran di dalam menentukan bentuk hukuman yang sewajarnya terhadap kesalahan meminum minuman keras memperlihatkan pertembungan nilai yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita. Kisah Kartika ini memberikan beberapa pengajaran.

Pertama, kisah ini menunjukkan pelaksanaan perundangan Islam masih berdepan hambatan. Hambatan paling utama ialah kewujudan suatu tanggapan atau persepsi yang agak negatif terhadap perundangan Islam itu sendiri.

Tanggapan negatif ini masih meluas. Hambatan ini mengakibatkan proses pelaksanaan sesuatu hukuman yang pada falsafah dan semangatnya bagi memberikan pendidikan dan peringatan kepada masyarakat banyak boleh ditafsirkan sebagai suatu bentuk penganiayaan dan penderaan.

Kedua, kebanyakan masyarakat masih kabur mengenai cara pelaksanaan hukuman sebat mengikut prinsip dan adab syariah atau perundangan Islam. Masyarakat keliru bahawa sebatan itu seumpama cara yang diamalkan terhadap pesalah di mahkamah sivil yang didapati amat menakutkan dan menyakitkan.

Ketiga, sebarang bentuk pelaksanaan perundangan Islam akan mudah mendapat perhatian dan tumpuan masyarakat antarabangsa kerana persepsi umum masyarakat antarabangsa seolah satu bentuk undang-undang yang terpencil, mundur dan tidak memenuhi tahap piawaian perundangan antarabangsa.

Malah hukuman itu pada tanggapan mereka tidak perlu dilakukan kerana meminum minuman keras adalh suatu amalan kerana terlalu biasa dan menjadi hak hakiki seseorang individu. Hambatan ini wujud dan terjadi antara lain ialah perbezaan nilai yang dilindung oleh masyarakat sama ada di negara ini mahupun luar negara.

Memandangkan kita kini sedang berada pada era peralihan zaman dikenali sebagai globlisasi, setiap perlakuan dan perbuatan yang pada asalnya adalah baik suatu yang berlainan pula. Ia kesan daripada proses hebahan berita yang meluas menerusi saluran komunikasi yang pantas dan pelbagai.

Usaha kesedaran dan pemahaman mengenai hakikat perundangan Islam memerlukan usaha lebih giat, lebih serius dan berkesan selepas ini. Penyebaran kefahaman yang menyeluruh akan dapat mengatasi masalah pertembungan nilai yang berlaku kini.

Pada setiap pelaksanaan hukuman berdasarkan perundangan Islam, disandarkan kepada falsafah dan nilai pendidikan bagi tujuan menjauhkan masyarakat daripada terjebak dengan perbuatan yang memang diperakui menyumbang kepada kepada kemudaratan kepada diri dan akal fikiran setiap pelaku.

Sekiranya pemahaman mengenai falsafah perundangan Islam dapat disebar luaskan secara berkesan, proses pelaksanaannya akan dianggap rasioanal oleh masyarakat terbanyak.

Belia Islam sebagai kelompok teras masyarakat negara ini perlu mengambil inisiatif depan bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai falsafah perundangan Islam.

Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk pertembungan nilai di kalangan mereka terhadap sesuatu yang membabitkan persoalan perundangan Islam di dalam negara. Malah mereka harus menjadi kumpulan teladan yang mampu menjadi pengimbang sekiranya terjadi sebarang bentuk pertembungan nilai di dalm masyarakt nanti di dalam apa jua isu dan persoalan.

Ini hanya boleh dilakukan jika mereka benar-benar faham konsep dan falsafah perundangan islam. Kepada Kartika, kita mendoakan semoga Allah menerima keinsafannya dan kesediaannya menerima hukuman dengan rela hati wajar mendapat pujian semua pihak. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lahi Mengasihani.

Muhamad Razak Idris

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Berita Harian

2 September 2009

TENTATIF MIFTAH 09

Tuesday, 01 September 2009 12:01

Jumaat, 14 Ramadhan 1430H

3.00 petang Pendaftaran

4.30 petang Solat Asar

Bacaan Wirid Al-Ma’thurat

Majlis Pembukaan & Ucapan Aluan

Oleh:

Sdr. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

-Timbalan Presiden PKPIM 2009/2010

6.30 petang Urus diri

7.20 petang Berbuka Puasa

Solat Maghrib

Makan Malam

8.30 malam Solat Isya’

Solat Sunat Tarawikh

10.00 malam Minum Malam

Tadarus Al-Quran

11.30 malam Tidur

Sabtu, 15 Ramadhan 1430H

4.30 pagi Qiyamullail

5.00 pagi Sahur

5.50 pagi Solat Subuh

Bacaan Wirid Al-Ma’thurat

Kuliah Subuh:

“Selamat Datang Ramadhan”

Oleh:

Sdr. Fadzril Bin Salleh

- Exco Dakwah & Tarbiah 2009/2010

7.15 pagi Urus Diri

Solat Dhuha

8.30 pagi Pengisian MIFTAH 1:

“Jatidiri Penda’wah dan Gerakan Da’wah”

Oleh:

Prof. Sidek Baba

- Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak

9.45 pagi Rehat

10.00 pagi Pengisian MIFTAH 2:

“Gagasan Ta’dib Islami Dalam Gerakan Da’wah”

Oleh:

Dr. Mohd Farid Mohd Shahran

- Mantan Timbalan Presiden ABIM 2008/2009

11.15 pagi Rehat

11.30 pagi Pengisian MIFTAH 3:

“Ramadhan dan Misi Ketaqwaan”

Oleh:

Ustaz Muhadir Bin Joll

- Pensyarah Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya

12.30 t/hari Rehat

12.45 petang Tadarus Al-Qur’an

1.20 petang Solat Zohor

2.00 petang Pengisian MIFTAH 4:

“Perundangan Islam dan Peranan Mahasiswa Masa Kini”

Oleh:

Ust Abdullah

-Peguam Syari’e

3.00 petang Rehat

3.15 petang Bengkel Penyelarasan Silibus Usrah Kampus & BGN

4.30 petang Solat Asar

Bacaan Wirid Al-Ma’thurat

Tadarus Al-Qur’an

6.00 petang Rehat dan Urus Diri

7.20 petang Berbuka Puasa

Solat Maghrib

Makan Malam

8.30 malam Solat Isya’

Solat Sunat Tarawikh

10.00 malam Minum Malam

Tadarus Al-Quran

Tidur

Ahad, 16 Ramadhan 1430H

4.30 pagi Qiyamullail

5.00 pagi Sahur

5.50 pagi Solat Subuh

Bacaan Wirid Al-Ma’thurat

Kuliah Subuh:

“Ramadhan: Medan Muhasabah dan Latihan Aktivis Gerakan”

Oleh:

Sdr. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

- Timbalan Presiden PKPIM 2009/2010

7.15 pagi Urus Diri

9.00 pagi Majlis Menghadam Ucapan Dasar Presiden PKPIM 2008/2009

10.30 pagi Majlis Penutupan (Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz)

- Presiden PKPIM 2009/2010

Bersurai

Majlis Miftah Mahabbah


JEMPUTAN MAJLIS IFTAR MAHABBAH ( MIFTAH ) 1430 H

TARIKH: 4 - 6 SEPTEMBER 2009

TEMPAT: MASJID NEGARA

BAYARAN: RM 10

Semua ahli PKPIM Unisel dijemput untuk bersama meriahkan majlis iftar yang secara tidak langsung merapatkan hubungan dengan pimpinan baru PKPIM Pusat. Kehadiran semua ahli amatlah dialu-alukan.

Perutusan Kemerdekaan Oleh Presiden PKPIM

Merdeka & Sarwa Pandang Anak Muda

Abad ini telah menyaksikan dunia Islam mengalami suatu proses transisi untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Malangnya, perkembangan dunia Islam selepas perjuangan kemerdekaan rata-ratanya kosong dari segi roh penghayatan dan pengisian kemerdekaan. Sebagai contoh, di sesetengah negara, penjajah telah digantikan dengan diktator pribumi yang adakalanya lebih kejam dari penjajah yang diusir. Sementara itu, krisis akhlak dan jati diri anak muda di negara yang disebut juga semakin menular dan telah melepasi garis kebimbangan. Ditambah pula dengan sifat dan adab murni mereka yang sudah ditutupi oleh tabir kenyataan masyarakat yang secara zahir dhaif budinya.

Situasi ini menuntut suatu rencah baru untuk disajikan kepada generasi muda hari ini. Secara umumnya, perencanaan yang kita laksanakan secara rutin sebagai bentuk menifestasi untuk menghargai peristiwa 31 Ogos 1957 masih memperlihatkan kekurangan yang harus diperbaiki. Ini mungkin dapat dilihat dengan lebih ketara menerusi sambutan kemerdekaan tanpa disusuli dengan penghayatan dan dijiwai roh pengisian kemerdekaan sebenar.

Hakikat kemerdekaan sebenar tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi harus juga dijiwai dari sudut maknawiat. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus terus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan negara. Secara asas, kemerdekaan ditakrifkan sebagai pembebasan sesebuah bangsa dan negara dari penjajahan. Namun, kemerdekaan sesuatu bangsa sendiri dari perspektif pemodenan harus dirumus meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.

Penghayatan kemerdekaan yang dicari itu bertitik-tolak dari penghayatan sejarah kemerdekaan yang meliputi sudut perjuangan pembebasan dari penjajah biadap. Hari ini nama-nama seperti Dato Onn Ja’far dan Tunku Abdul Rahman mungkin dikenali generasi hari ini. Namun, tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ust Abu Bakar Al-Baqir, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Keris Mas dan sebagainya mungkin sudah pupus dari kamus sejarah kemerdekaan anak muda.

Penghayatan sejarah tersebut bukan hanya sekadar untuk kita bernostalgia kosong, tetapi menyambut saranan Allahyarham Pak Natsir kepada kita khususnya generasi Islam untuk berfikir dalam perspektif sejarah memandangkan kita hidup dalam rangka umat manusia yang usianya lebih panjang dari usia kita sebagai individu. Maka sejarah pengorbanan perjuangan mereka tidak hanya wajib diketahui tetapi juga dijiwai.

Dalam pada itu, Ibn Khaldun juga mengingatkan bahawa apabila tamadun sampai ke tangan generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama, serta sudah tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun tersebut akan menghadapi bibit-bibit kemerosotan dan seterusnya mengalami kejatuhan.

Perit jerih pembinaan asas sesebuah negara dan peradaban itu adalah suatu kebenaran yang tidak mampu disangkal. Namun, itulah yang disunnahkan dalam perjuangan iaitu mengejar sesuatu impian walaupun impian tersebut tidak akan dinikmati pejuangnya. Maka saranan yang terbit hasil renungan panjang pemikir tersebut telah melahirkan tanggungjawab yang harus digalas oleh kita sebagai golongan terkemudian dengan tidak melupai generasi pembina atau generasi awal ini.

Sementara itu, penjiwaan kemerdekaan juga hanya dapat dirasai dengan kita kembali kepada asal usul budaya serta pemikiran dan jiwa yang bebas. Istilah “kembali kepada akar budaya” telah ditakrifkan dengan pelabagai definisi. Bagi setengah ‘melayu moden’ ia berupa seruan untuk mengajak kembali kepada cara hidup lama. Tanggapan sebegini telah mencerminkan ketidakfahaman kita terhadap maksud budaya memandangkan kita hanya melihat kulitnya, tanpa mengambil kira isinya.

Padahal yang penting pada budaya ialah sistem nilai yang tersirat dalam budaya itu. Menurut Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa budaya itu lahir dari pemikiran manusia dan pengalaman bersama anggota bangsa. Sebagai contoh nilai keadilan dan permuafakatan yang terbit dari proses tersebut.

Realitinya, proses perubahan hidup moden tidak berlaku secara meliar melainkan ditapis oleh peraturan asas. Asas ini terletak pada nilai yang dipegang anggota masyarakat sejak turun temurun sebagai panduan hidup bersama. Manakala, tradisi pula adalah proses penciptaan budaya yang sambung-menyambung, tidak kira dalam zaman apa. Maka, tidak wujud istilah tradisi lama dan tradisi baru melainkan hanya tradisi sezaman iaitu tradisi yang menjadi acuan bagi apa-apa perubahan. Melalui proses inilah budaya dan tamadun sesuatu bangsa kekal ampuh walau ditelan zaman. Maka yang dimengertikan sebagai maksud ‘kembali’ adalah kembali mengenali sistem nilai bangsa sendiri.

Garis panduan dan acuan ini telah mencorak sikap positif kita dalam menerima peradaban barat yang tidak memaksa kita mengorbankan prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata untuk mengikut arus masa dan melayani ragam zaman.

Sememangnya, antara barat yang mempersonakan dan kebudayaan sendiri yang tampak hina, menjadikan akal pemikiran anak muda gusar dan gundah gulana. Maka, landasan tradisi dan budaya harus dijelmakan agar kita tidak dikenang sebagai si Tenggang yang derhaka kepada jati diri dan budaya sendiri. Suatu anjakan harus dilakukan dengan tidak hanya mengamalkan ciri-ciri luaran budaya semata-mata, tetapi turut melibatkan ciri dalamannya sebagai acuan dalam pembagunan bangsa.

Penjelmaan akar budaya dan tradisi ini dituntut dalam mendepani cabaran mendatang. Cabaran yang dilalui berupa dalam pelbagai bentuk. Mungkin dalam bentuk cubaan ‘bil-khair’ (kesenangan), dan mungkin juga dalam bentuk ‘bil-shar’(penderitaan). Ramai yang lulus apabila diuji dengan cubaan ‘bil-shar’, tetapi tidak demikian apabila diuji dengan ‘bil-khair’ seperti lebih banyaknya semut yang mati kerana gula dari yang mati kerana cuka.

Allahyarham Pak Natsir juga seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam erti kata lain, dalam kesibukan kita mengejar kemodenan tidak seharusnya kita nafikan peranan kita dalam membangun suatu generasi yang kukuh dari segi jati diri dan pemikirannya.

Maka, tugas dan perjuangan kita sebagai anak muda adalah kearah mengisi makna kemerdekaan sebagai penyambungan tradisi perjuangan mereka yang memperjuangkan kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, “Bahawa Allah tiidak merobah nasib sesuatu kaum, kalau kaum itu tidak merobah keadaan dirinya”. Maka darjat bangsa yang rendah tidak akan kemana-mana tanpa dimulai dengan gagasan perjuangan anak mudanya.



Dari Robohan Kota Melaka,

Kita Bina Jiwa Merdeka,

Bersatulah Seluruh Baka,

Membela Keadilan Warisan Pusaka...



Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

KONSEP SYURA DALAM ISLAM DAN PERBANDINGAN DENGAN DEMOKRASI MALAYSIA

Syura dalam islam

Sistem syura dilaksanakan dalam semua peringkat dan semua lapanagan kehidupan khususnya politik dan ekonomi. Sebagai contoh pengadilan terhadap tawanan yahudi oleh Bani Quraish dilakukan secara syura.

Syura merupakan salah satu daripada prinsip utama dalam perlembagaan islam. Sistem ini akan menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dan Negara sekiranya ia dilakukan atas landasan al-Quran dan al-Sunnah.

Perlaksaan syura juga akan menjamin ketidakwujudan system dictator dalam pemerintahan islam. Perlaksaan syura dalam sisem politik telah wujud sejak zaman Rasulullah (s,a,w) lagi. Banginda telah mengadakan permesyuaratan dan perbincangan dengan para sahabat dalam pelbagai masalah yang menyentuh tentang kepentingan rakyat,

Definisi syura

Dari segi bahasa

Perkataan syura dari segi bahasa bermaksud mesyuarat, perundinagn atau perbincanganlah

Permesyuaratan yang diadakan oleh sekumpulan ulama yang muktabar dan umat islam dalam segala hal yang berkaitan dengan kepentigan dengan kebajikan mereka berdasrkan kepada keimanan dan ketkwaan kepada allah (s.a.w)

Keanggotaan majlis syura

Perlaksaan syura adalah satu tugas dan tanggungjawab yang berat kerana ia melibatkan penyelesaian kes-kes berat yang berlaku dikalangan umat islam. Jesteru itu keanggotaan Majlis Syura memerlukan kepada kelakyakkan yang tinggi iaitu ulama yang berilmu, bersifat adil,bertimbang rasa dan bijaksana.

Sebaiknya terdiri daripada ulama yang mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang keilmuan agar dapat memberikan pandangan yang terbaik demi kebaikan umat islam secara keseluruhannya.

Secara ringkas diterangkan syarat kelakyakan menanggotai majlis syura;

A) Bersifat warak dan takwa

B) Bersifat benar dan amanah dalam perbuatan dan amalan

C) Mempunyai keilmuan yang tinggi dalam bidang keagamaan dan bidang-bidang lain seperti politik atau ekonomi

D) Mempunyai pengalaman yang waras ikhtsasnya.sekiranya hanya bergantung pada ikhtisas sahja tanpa melihat kepada pengalamannya dalm menangani permasalaan dikira tidak memadai

E) Ikhtisas dan mempunyai kepakaran yang mendalam; bukan hanya sekadar kepakaran normal sahaja.

Syarat-syarat adlah berdassrkan kepada apa yang telah dicatatkan oleh para ulama muktabar. Syarat-syrat keahlian Majlis Syura mendapat perhatian khusus sebagai satu langkah berhati-hati dalm hal-ahl berkaitan denagn kenegaraan dan pemerintahn yang begitu besar.

Islam tidak meletakkan jumlah yang tertentu dalam satu-satu Majlis Syura tidak terdapat jumlah minimum atau maksimum. Ia bergantung kepada keperluan semasa . semakin besar dan komplek suatu pemerintahan, maka semakin besarlah bilangan ahli dalm Majlis Syura.

Tiga cabaran utama menanti belia Islam zaman globalisasi

Belia Islam hari ini berada pada era yang amat mencabar. Cabaran ini didorong oleh banyak faktor. Faktor yang paling utama sekali ialah peredaran zaman itu sendiri. Dunia hari ini amat berbeza sekali berbanding beberapa dekad lalu. Pada hari ini, dunia yang kita diami dikenali dengan 'perkampungan sejagat' atau 'global village'. Mengibaratkan sebuah dunia yang besar ini sebagai sebuah perkampungan adalah gambaran realiti peredaran zaman yang sedang didepani belia Islam hari ini. Perkampungan dunia hari ini digerakkan oleh pelbagai arus. Satu daripadanya ialah oleh pencapaian manusia sendiri di dalam bidang perhubungan sama ada menerusi darat atau lautan. Namun, pencapaian yang paling mengesankan ialah pencapaian manusia di dalam bidang teknologi maklumat. Menerusi teknologi maklumat inilah seperti penciptaan komputer, telefon dan internet, manusia dari segenap pelosok dunia dapat berkongsi khabar dan berita hanya dalam sekelip mana.

Di samping berkongsi khabar dan berita, satu daripada perkara yang dikongsi bersama oleh masyarakat dunia ialah nilai dan kepercayaan mereka mengenai sesuatu perkara berkaitan urusan kehidupan di dunia ini. Urusan itu termasuk yang membabitkan ilmu pengetahuan, kebudayaan, sistem kenegaraan dan juga ideologi. Dengan bantuan teknologi maklumat dan perhubungan lebih baik, semua perkara yang dinyatakan di atas yang sebelum ini hanya dikongsi dan diketahui sekelompok perkumpulan manusia tertentu, kini sudah merentas sempadan daerah dan negara. Kedapatan sesetengah perkara atau amalan yang pada asalnya hanya berbentuk minat dan kesukaan sebuah kelompok masyarakat, kini sudah menjadi minat dan kesukaan yang dikongsi oleh seluruh masyarakat manusia.

Fenomena ini dikenali juga sebagai proses pensejagatan atau 'globalisasi'. Ia adalah suatu keadaan di mana nilai dan amalan yang pada asalnya suatu yang bersifat setempat bertukar menjadi satu pola atau fenomena sejagat. Oleh itu, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan fenomena kesejagatan dunia hari ini. Antaranya ialah seperti istilah 'generasi Pepsi-Cola' atau 'generasi Google'. Istilah ini memberi maksud akan kesejagatan produk minuman Pepsi dan Coca-Cola, serta produk carian internet iaitu Google yang dengan kehadirannya, dikenali dan dikongsi oleh hampir seluruh masyarakat dunia.

Fenomena kesejagatan dunia ini ialah realiti yang jelas akan peralihan zaman yang sedang didiami oleh belia Islam di negara kita hari ini. Apakah bentuk cabaran yang perlu didepani oleh belia Islam di dalam berdepan dengan realiti peralihan zaman ini? Bentuk cabaran itu, pada hemat saya, boleh dibahagikan kepada beberapa unsur.

Pertama, cabaran untuk mengekalkan jati diri setempat di dalam arus kesejagatan dunia. Kedua, cabaran mengenal pasti unsur yang positif untuk pembangunan belia Islam di dalam himpunan sumber maklumat yang pelbagai. Ketiga, cabaran untuk belia Islam menjadi unsur pendorong yang berpengaruh di dalam mencorakkan arus kesejagatan dunia hari ini. Inilah tiga cabaran terpenting yang harus didepani belia Islam hari ini di dalam menangani era peralihan zaman.

Bagi cabaran pertama, belia Islam harus mengorak langkah di dalam meningkatkan tahap keyakinan diri yang tinggi terhadap keutuhan dan keunikan jati diri yang mereka miliki kini. Keyakinan terhadap jati diri ini adalah asas untuk belia Islam berdepan dengan pelbagai daya tarikan dari luar persekitaran mereka. Hal ini menuntut belia Islam kembali memugar secara berkesan asas yang membentuk identiti dirinya. Ini meliputi teras kepercayaan agama, nilai hidup mulia dan rukun kebudayaan dan kenegaraan. Dalam erti kata lain, ia menuntut belia Islam untuk kembali mengukuhkan tradisi keilmuan di dalam kehidupan mereka memandangkan hanya menerusi proses pendidikan yang berkesan dan berterusan, segala aspek yang dinyatakan itu dapat diperkukuhkan sebagai asas dan teras identiti dirinya.

Bagi cabaran kedua, belia Islam harus terdedah dengan banyak kajian yang bersifat perbandingan. Di dalam menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk untuk keperluan dan kegunaan belia Islam, kefahaman yang menyeluruh terhadap sesuatu persoalan yang terjadi diperlukan. Sebagai contoh, di dalam berdepan dengan kepelbagaian arus kefahaman dan tafsiran terhadap ajaran Islam, belia Islam harus diperkukuhkan dengan kerangka pandangan yang difahami oleh aliran ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu kerangka ajaran Islam yang diperakui oleh majoriti golongan ilmuwan Islam.

Menerusi kerangka fahaman ini, belia Islam dibekalkan dengan petunjuk dan batasan bersifat tetap dan dinamik di dalam menilai sesuatu perkara atau persoalan. Ini secara langsung membimbing belia Islam di dalam melakukan proses penilaian yang objektif terhadap sesuatu sumber baru yang diperoleh. Perkara ini akan memberi ruang luas kepada belia Islam memanfaatkan sesuatu yang baik atau positif mengenai sesuatu perkara bagi kegunaan mereka dan pada masa sama, dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara atau persoalan yang tidak baik atau negatif yang boleh melenturkan jati diri dan identiti dirinya.

Bagi cabaran ketiga, belia Islam perlu dipersiapkan diri dalam pelbagai aspek kehidupan agar mencapai tahap pencapaian hidup yang terbaik dan tertinggi. Ini bagi memastikan supaya belia Islam boleh menjadi kelompok masyarakat yang kreatif dan inovatif menciptakan produk baru bukan saja untuk kelompok masyarakat setempat, malah masyarakat dunia seluruhnya. Era dunia hari ini yang digerakkan oleh peralihan zaman banyak dipengaruhi generasi yang berpandangan jauh dan berani melakukan perubahan. Sesuatu perubahan yang berpengaruh harus bermula dengan kekuatan ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup yang tinggi.

Belia Islam di negara ini harus didorong untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan mereka di bidang yang mereka ceburi agar mencapai tahap tertinggi sehingga mampu mencipta produk terbaik dan terkini untuk keperluan seluruh manusia sejagat.

Oleh Muhamad Razak Idris
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
Sumber dipetik : www.berita harian.com.my