BUDAYA KAMPUS : ‘biar papa asalkan bergaya’

‘Biar papa asalkan bergaya’ begitulah halusnya peribahasa yang digunakan oleh masyarakat terdahulu untuk dijadikan sindiran kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sikap melaram. Walaupun halus ungkapan keramat ini, namun mampu membuatkan sesiapa sahaja yang dituju terpaksa menyimpan rasa. Peribahasa ini bukan lagi sebagai omongan kosong tetapi telah menjadi darah daging dalam kehidupan seharian masyarakat khususnya, golongan mahasiswa. Baik yang kaya mahupun miskin, ‘trend’ bergaya dalam kalangan mahasiswa begitu sebati dalam kehidupan mereka. Mereka seolah-olah lupa tujuan sebenar mereka untuk datang ke universiti. Ironinya, mahasiswa pada hari ini tidak lagi sinonim dengan pencapaian akademik dan kokurikulum yang cemerlang sebaliknya naluri mereka lebih cenderung kepada budaya kampus yang tidak sihat. Persoalannya, adakah kita mampu melahirkan golongan mahasiswa yang berkualiti selaras dengan visi qudsi negara menjelang tahun 2020? Oleh itu, budaya sebegini tidak boleh dipandang enteng. Malah, jika dibiarkan penyakit kronik ini akan merebak dan meresap jauh ke dalam hati setiap mahasiswa dan akhirnya lahirlah golongan mahasiswa yang hanya tahu bergaya tetapi tidak mahu berjaya.

Malang apabila golongan muda mudi bergelumang dengan gejala yang tidak sihat ini. Ada juga diantara mereka yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk membeli barang-barang aksesori kegemaran yang bernilai dalam ribuan ringgit. Duit pinjaman amanah rakyat ataupun biasiswa bukan lagi digunakan untuk keperluan belajar tetapi telah dihabiskan begitu sahaja untuk membeli barangan yang bukan menjadi keutamaan untuk mereka sebagai seorang pelajar. Di sini, pentingnya mahasiswa kembali memahami ilmu dan berakhlak mulia bagi menilai semula makna kehidupan mereka. Pemahaman terhadap ilmu akan membawa kepada pembinaan insan yang menjadikan matlamat kehidupannya adalah untuk kebahagian akhirat, bukan dunia semata. Penghayatan sebenar terhadap ilmu akan memandu individu supaya bijak menilai setiap tindakan dan berakhlak mulia. Allah suka kepada hambanya yang berakhlak mulia dengan bersikap bersederhana dalam kehidupan. Justeru, kehidupan mahasiswa itu bukan untuk bergaya tetapi kehidupan mereka haruslah bergantung kepada keupayaan dan kesederhanaan. Marilah kita bersama-sama renungkan hadis Rasullullah saw ini:

“ Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tiada berkaitan dengannya.”( Hadis Hasan, diriwayatkan oleh Tirmizi dan lain-lain.)

Sebenarnya, kehidupan mahasiswa yang bergaya sakan dan menunjuk-nunjuk ini hanya boleh melatih golongan mahasiswa supaya bersikap boros. Hal ini disebabkan mereka lebih cenderung melunaskan hawa nafsu mereka untuk bergaya berbanding sentiasa memastikan kecemerlangan akademik di kampus. Pokok pangkalnya, mahasiswa harus bangkit dari terus terlena dibuai arus kemodenan hidup. Mereka perlu sedar bahawa kejayaan itu lebih utama dan perlu dituntut demi masa depan mereka sendiri.Firman Allah swt :

“ Janganlah kamu terikut-ikut langkah-langkah syaitan” ( An-Nuur: 21).

Sesungguhnya membazir itu merupakan amalan syaitan. Sikap mahasiswa yang gemar bergaya sehingga sanggup membazir tidak seharusnya dijadikan satu kebiasaan. Ini berikutan amalan membazir itu tidak digalakkan dalam Islam. Lebih bermanfaat jika mahasiswa hanya berbelanja mengikut keutamaan sebagai seorang pelajar dan tidak menyalahgunakan pinjaman wang yang diberikan.

Peranan kenalan di sekeliling harus dilihat sebagai faktor yang paling utama dalam membentuk corak hidup mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa seharusnya bijak dalam mencari kawan yang sememangnya beraneka ragam dan adakalanya boleh membawa mereka hanyut dalam hidup. Keinginan untuk bergaya dalam kalangan mereka disebabkan kenalan mereka terdiri daripada orang yang berada malahan ada juga yang berlagak seperti orang kaya baru. Lantaran itu, mahasiswa mudah terikut-ikut rentak dan corak hidup kenalan mereka. Mahasiswa tidak seharusnya berkompromi dengan keinginan-keinginan peribadi mereka yang bukan sahaja mengundang satu malapeta dalam pengurusan kewangan tetapi juga boleh membawa mereka lalai daripada kesibukan belajar.

Imam Hakim at-Tirmizi berkata, “ Manusia yang kita temui ada tiga macam : Ada yang seperti banjir yang menghanyutkan; ada yang seperti air yang mengalir di atas batu yang keras; ada juga orang yang seperti air hujan yang bisa membikin tanah menjadi subur sehingga tanam-tanaman bisa tumbuh di atasnya. Siapakah di antara mereka yang sering kalian temui?”

Jika dilihat pada ungkapan itu, segala keputusan terletak pada mahasiswa itu sendiri dalam memilih kenalan. Andai kebijksanaan lebih menguasai diri, mahasiswa tidak akan tersilap dalam mencari kenalan.

Selanjutnya, corak hidup mahasiswa yang lebih cenderung untuk bergaya berkait rapat dengan didikan ibu bapa itu sendiri. Jika dilihat kini, sikap ibu bapa sendiri yang lebih materialistik sedikit sebanyak mempengaruhi amalan anak-anak mereka. Ungkapan bapa borek anak rintik amatlah sesuai berikutan apa yang dilakukan oleh ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. ‘Mana tidak tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’.

Inilah realiti mahasiswa kini yang menjadikan keutamaan bukan lagi satu kepentingan. Oleh itu budaya bergaya ini harus dicari penawar bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa bahawa bergaya bukan satu keutamaan ataupun kewajipan yang dituntut dalam menjalani liku-liku sebagai modal insan yang berkualiti. Seorang penyair berkata :

“ Ketika kamu hidup di dunia persiapkanlah bekal kehidupanmu di akhirat. Beraktivitaslah untuk Allah dan persiapkan bekal yang paling baik. Apakah kamu senang jika nanti kamu berjalan bersama kelompok orang yang mempunyai banyak bekal sedangkan dirimu tidak mempunyai bekal sama sekali ”

Ungkapan keramat ini sebenarnya mengajak mahasiswa bermuhasabah diri dan berfikir sejenak apakah mereka diciptakan sebagai khalifah yang hanya menjalankan tugas yang sia-sia di muka bumi ini. Seharusnya mereka perlu mempersiapkan diri untuk dijadikan bekalan bukan sahaja untuk jaminan masa depan tetapi juga bekalan untuk akhirat. Mahasiswa seharusnya sedar bahawa setiap manusia dicipta dengan kelebihan tersendiri. Kekurangan itu bukannya satu kelemahan bagi diri. Keinginan untuk terlalu bergaya sehingga mengabaikan perkara yang lebih penting bukanlah satu tradisi atau adat yang harus dituruti sejak zaman nenek moyang lagi.

Seharusnya mahasiswa sedar betapa tingginya risiko jika sikap mereka ini berterusan. Impaknya, mahasiswa gagal menguruskan wang dengan baik, tanggungan belanja makanan dan minuman tidak mencukupi lebih parah lagi apabila gagal melunaskan wang pengajian. Ini akan mengundang satu lagi bebanan sebagai pelajar sehingga tidak jumpa jalan pulang bak kata pepatah ‘sudah terhantuk baru nak terngadah’. Oleh yang demikian, mahasiswa perlu mengambil satu inisiatif atau langkah berjaga-jaga sebelum membuat sebarang keputusan bak kata pepatah ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Mahasiswa perlu bijak dalam menilai antara yang baik ataupun yang buruk.

Ibu bapa juga haruslah memainkan peranan yang penting dalam memberi panduan hidup untuk anak-anak. Ibu bapa merupakan contoh terbaik bagi anak-anak dalam menilai dan membuat keputusan. Menjadi kewajipan ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada anak-anak yang bermula daripada lingkungan rumah yang penuh dengan rahmat dan kasih sayang. Didikan yang lahir daripada keteguhan iman dan keharmonian akhlak yang akan menjadikan anak-anak kain putih yang mampu memberi banyak sumbangan untuk generasi akan datang. Melalui firman Allah S.W.T :

“ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah.” ( At-Tahrim: 6)

Oleh itu, mahasiswa perlu menggunakan setiap saat yang berjalan dengan memberi ruang kepada diri untuk melakukan perkara yang lebih bermanfaat dan lebih utama. Mahasiswa merupakan antara aset penting negara yang bakal menggegarkan dunia dengan ilham dan idea-idea baru bagi menyumbang kepada kemajuan negara sejajar dengan aspirasi nasional yang menjurus kepada usaha menjadi sebuah negara maju disamping dapat membangunkan masyarakat yang beridealisme.

REMAJA DAN CERMIN KEHIDUPAN

Pasca kemerdekaan menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara yang kian pesat membangun ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.Walaubagaimanapun, Negara kita dilanda pelbagai penyakit sosial yang pastinya dicetuskan oleh golongan remaja. Saban hari, meniti dari bibir ke bibir bermula dari kedai-kedai kopi hinggalah ke meja parlimen isu kebejatan sosial dalam kalangan remaja pada masa ini telah menjadi barah dalam masyarakat. Remaja diertikan sebagai seseorang yang baru mengalami peralihan zaman kanak –kanak ke alam dewasa manakala cermin kehidupan membawa konotasi perilaku yang dibawa oleh remaja ini dalam hidup mereka .Secara konseptualnya, remaja amat signifikan dengan isu sosial pada hari ini. Remaja sering digambarkan dalam keadaan kegersangan akhlak dan pemikiran. Persoalannya, sejauhmanakah golongan remaja pada masa ini dikatakan rosak akhlaknya?

Jelasnya, masalah ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat memandangkan isu ini melibatkan imej Negara. Justeru, pelbagai faktor yang menyebabkan isu ini berlaku dan inisiatif yang lebih proaktif dan efektif perlu diambil bagi menangani masalah ini. Di dalam tulisan ini saya menggariskan bahawa terdapat tiga faktor utama yang menyumbang kepada masalah sosial iaitu kurang perhatian keluarga, rakan sebaya dan media masa.

Antara faktor utama yang menyumbang ke arah berlakunya gejala ini ialah kurangnya perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa dilihat sentiasa mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak. Segelintir ibu bapa sentiasa mengejar kemewahan hidup tanpa mempedulikan perasaan anak-anak yang inginkan belaian kasih-sayang daripada mereka. Menurut kajian yang dijalankan fungsi keluarga melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis. Natijahnya, pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik berlaku di dalam Negara. Golongan remaja yang terabai juga lebih mudah terpengaruh dengan budaya hedonisme, sensasi, glamour, dan sindrom kurang daya tahan. Sebahagian ibu bapa lebih mementingkan pencapaian akademik semata-mata tanpa mengambil berat soal pergaulan anak-anak bahkan ada juga ibu bapa yang bersikap lepas tangan terhadap anak-anak. Hal ini sangat bertentangan dengan sabda Rasullullah saw yang bermaksud :

“Setiap anak yang dilahirkan maka ibu bapalah yang bertanggungjawab keatas anaknya samada menjadi yahudi ,nasrani atau majusi.”(Riwayat Bukhari)

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik jiwa anak-anak mereka agar anak-anak tidak berasa sunyi dan tersisih. Hal ini penting bagi menjamin mantapnya sesebuah institusi kekeluargaan.

Selain itu, rakan sebaya juga turut mempengaruhi rakan yang seusia dengan mereka. Selain ibu bapa, rakan sebaya juga sangat akrab dengan remaja Hal ini disebabkan ketika usia sebegini mereka mula mencari identiti sendiri dan pada masa yang sama golongan ini lebih cenderung untuk mencari seseorang untuk dijadikan teman berkongsi masalah lebih-lebih lagi seseorang yang dapat memahami diri mereka. Sekiranya, mereka gagal memilih rakan sebaya yang baik, maka tidak hairanlah mereka lebih terdedah dengan budaya lepak, ketagihan dadah dan pornografi. Akhirnya, jika perkara ini dibiarkan mereka akan mudah dijangkiti penyakit sosial seperti pergaulan bebas, penzinaan dan budaya lepak. Kajian juga mendapati bahawa kebanyakkan kes-kes jenayah adalah terdiri daripada golongan remaja. Jelasnya, golongan remaja tidak mempunyai ‘role mode’l atau Qudwah Hasanah untuk dijadikan sebagai contoh dalam diri mereka. Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud :


“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasullullah saw itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orng-orang yang mengharap (rahmat) Allah swt dan( kedatangan hari akhir dan dia banyak menyebut Allah swt .”


Golongan remaja perlu mencontohi kepimpinan yang ada pada diri Rasullullah saw kerana baginda merupakan pemimpin teragung di dunia. Sejarah telah membuktikan perjuangan baginda saw dalam memperjuangkan Islam adalah amat dikagumi. Rasullullah saw mempunyai akhlak yang terpuji sejak kecil lagi dan inilah yang patut diteladani oleh semua remaja pada masa ini. Tenaga muda mudi amat penting untuk kesinambungan pemerintahan Negara pada masa depan. Pada zaman Rasullullah saw, golongan muda telah terlibat dalam peperangan mempertahankan maruah Islam. Misalnya, Usamah bin Zaid yang menjadi panglima tentera islam yang paling muda iaitu berusia 17 tahun ketika memimpin tentera islam untuk bertempur dengan tentera Byzantium di Parsi, sebagai sebuah kuasa empayar besar ketika itu sehingga memperoleh kemenangan.

Seterusnya, media massa juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di kalangan remaja. Madia massa sentiasa menyiarkan dan memaparkan rancangan-rancangan berbentuk hiburan yang berlebih-lebihan . Ada juga rancangan-rancangan yang ditayangkan berunsur pornografi dan tidak ditapis terlebih dahulu sebelum dipertonton kepada masyarakat umum . Hal ini boleh mempengaruhi mentaliti anak-anak remaja. Media cetak juga kurang memaparkan bahan-bahan berunsur ilmiah yang boleh memacu pembentukkan pemikiran golongan ini. Implikasinya, remaja pada masa ini berada di zon ‘selesa’ tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Ironinya, masyarakat kini hanya mampu berpeluk tubuh dan goyang kaki seolah-olah lebih rela melihat media massa mempertaruhkan masa depan golongan remaja untuk dibuai arus lambakan program yang tidak berkualiti. Akhirnya, hal inilah yang membawa kepada lahirnya golongan remaja yang rosak akhlaknya.

Langkah-langkah yang jitu dan efektif perlu diambil bagi menangani gejala ini. Sikap dan paradigma intelektual yang menggabungkan pelbagai pendekatan yang releven perlu diadaptasikan . Hal ini juga perlu selaras dengan kehendak Islam iaitu mengenal pasti punca dan mencadangkan penyelesaian masalah secara mikro dan bersepadu. Misalnya, seminar mengenai institusi kekeluargaan yang mantap berlandaskan syariat perlu diadakan. Seminar ini perlulah diselitkan dengan teknik pengurusan masa yang berkesan bagi ibu bapa yang bekerjaya agar anak-anak tidak berasa terpinggir angkara kesibukan ibu bapa. Pendekatan ini amat bertepatan dengan idealisme perjuangan Islam yang mementingkan kesejahteraan agama, diri dan masyarakat. Kesemua rencah ini perlu diadun dengan cukup rapi sehingga menjadikannnya lebih bersifat bersepadu dan matlamat yang mengaitkannya dengan kerangka pencarian kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat lebih terlaksana. Sejarah telah membuktikan penggunaan kaedah ini mampu membangunkan modal insan secara holistik. Pemuda Ashabul kahfi yang digambarkan oleh Allah s.w.t melalui surah Ashabul kahfi ayat 13 yang bermaksud :

“ Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka dan kami tambahan mereka dengan hidayah petunju.”

Disamping itu, media massa perlu menjelaskan peranan-peranan kerajaan dan NGO dalam menangani masalah sosial. Antaranya, program-program dakwah untuk remaja yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui unit Hal Ehwal Agama. Contohnya, seminar dakwah dan kepimpinan islam. Tugas membangun dan membimbing umat ke arah kehidupan yang seimbang duniawi dan ukhrawi amat berat dan perlu dilaksanakan dengan penuh komited. Amanah mambangun khairah ummah ini harus dipikul oleh golongan muda mudi kerana mereka mempunyai kecergasan dan kecerdasan yang diharapkan dapat memperjuangkan dan memartabatkan agama. Namun begitu, pernahkah kita terfikir apakah ciri-ciri remaja yang berkualiti? Tentunya iman, taqwa, dan akhlak mulia adalah nilai utama untuk memenuhi misi qudsi ini. Remaja pula perlu memiliki semangat waja untuk berkorban di jalan yang diredhai Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

“ terdapat tujuh golongan manusia yang di beri naungan Allah pada hari terdapat tiada naungan melainkan naungan-Nya salah satu daripada golongan itu ialah pemuda yang seluruh hidupnya ditumpukan untuk tujuan beribadah untuk tuhannya.”

Hadis ini jelas menggambarkan ciri-ciri remaja yang beribadah, tunduk kepada perintah Allah adalah salah satu golongan yang mendapat tempat yang istimewa seperti yang dijanjikan oleh Allah swt.. Kedudukan dan peranan remaja diiktiraf oleh agama dan masyarakat. Di puncak, mereka terletak tanggungjawab memimpin Negara dan mencipta kecemerlangan bangsa dan mengangkat Khaira Ummah. Remaja juga perlu menghiasi diri mereka dengan ilmu yang kukuh dan keimanan yang ampuh. Ketiga-tiga faktor ini amat penting untuk mengadakan anjakan paradigma bagi mengharungi cabaran pada era globalisasi.

Secara kesimpulannya, remaja perlu besedia daripada semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Remaja perlu terlibat dengan program-program pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri modal insan yang bertaqwa dan inilah ubat yang paling mujarab untuk merawat penyakit sosial ini. Ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya. Pihak kerajaan dan NGO perlu lebih serius mengadakan program–program yang bersesuaian untuk golongan ini. Media massa juga perlu bergabung dengan semua pihak bagi memastikan golongan remaja ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak.