Cinta di Rumah Hassan al-Banna

Sumber: http://mujahideen-islam.blogspot.com/

Penulis kali ini membuka satu perkongsian ilmu tentang seorang syuhada, murabbi, da'ie dan pejuang Islam yang agung abad ini iaitu Imam As-Syahid Hasan Al-Banna. Semenjak penulis dipilih oleh ALLLAH untuk merasai nikmat bergerak dalam jamaah Islam, penulis sering tertumpu kepada pembacaan hasil-hasil karya as-syahid seperti risalah Ta'alim, Ke Mana Kita Menyeru dan sebagainya. Apabila penulis membaca karya-karya as-syahid, maka penulis amat-amat mengagumi pemikiran luar biasa yang ada pada diri as-syahid. Namun, apa yang penulis nak mengetengahkan di sini tentang keperibadian Hasan Al-Banna sebagai seorang ayah dan pada masa yang sama as-syahid juga seorang da'ie, penulis nak berkongsi ilmu bagaimana perilaku as-syahid di rumah ketika bersama keluarganya kerana ada hadis Nabi s.a.w yang di antara maksudnya ,"Dirimu mempunyai hak, keluargamu mempunyai hak".

Jika merujuk kepada penafsiran hadis ini, maka kita dapat mengetahui bahawa Rasulullah saw menerangkan jangan biarkan diri kita membuat ibadah dengan mengabaikan langsung hak diri dan keluarga, bahkan sepatutnya ibadah kita kena seiring dengan penjagaan hak diri dan keluarga. Seperti mana satu hadis Nabi saw yang mengisahkan ada 3 orang para sahabat yang berjumpa Nabi dan menyatakan mereka ingin berpuasa tapi tidak mahu berbuka seumur hidup, tidak mahu berkahwin seumur hidup, dan mahu ber'Qiamullail' dengan tidak tidur seumur hidup. Tetapi RasuluLlah menegah dari berbuat demikian kerana ia menzalimi diri n menafikan hak diri. Cuma di sini, penulis sering terfikir dan mengamati sahabat-sahabat yang bakal berumahtangga bagaimana mereka dapat membahagikan masa antara keluarga dengan dakwah, adakah mereka dapat menghabiskan masa bersama-sama keluarga mereka?? Itu persoalan yang berada di benak fikiran penulis. Bagi penulis yang masih belum mencapai 'darjat' itu, penulis rasa bersyukur kerana masih mudah bergerak sebab tiada komitmen seberat itu.

Jika merujuk kepada buku "Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna", buku ini menceritakan tentang keperibadian As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang ayah dan juga da'ie. As-syahid tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga terutama anak-anaknya iaitu Wafa', Saiful Islam, Tsana, Ir.Roja dan yang masih dalam kandungan iaitu Istisyhad. Apa yang ditekankan oleh as-syahid adalah hal ehwal anak-anaknya dari segi pentarbiyyahan dengan mendidik anaknya antaranya mengaji, dan membuat perpustakaan di rumah. Apa yang paling menyentuh hati penulis apabila as-syahid amat menitikberatkan mencatat sendiri rekod perkembangan anak-anaknya dari segi pelajaran, kesihatan dan dokumen-dakumen penting sebagai rujukan as-syahid.

Dari segi hukuman pula, Saiful Islam berkata bahawa hukuman yang paling berat dikenakan oleh as-syahid terhadap beliau adalah ditarik telinga pada waktu pagi atas kesalahan yang beliau lakukan dan pada waktu tengaharinya, as-syahid menelefonnya dari pejabat untuk berdamai dan menenangkannya. Bagi as-syahid, hukuman bukanlah satu bentuk pentarbiyyahan yang baik tapi ia adalah semata2 untuk menyedarkan si anak bahawa diri si anak telah membuat kesilapan.
Tentang keperluan dapur, as-syahid sendiri akan mencatat barang keperluan yang hendak dibeli dan menyerahkan senarai barang itu kepada seorang sahabat ikhwan yang mempunyai kedai runcit untuk menyediakan barang-barang keperluan tersebut. Jika anak-anaknya cuti sekolah pula, maka as-syahid akan membawa anak-anaknya bersiar-siar ke utara.

Itulah serba ringkas diantara keperibadian as-syahid sebagai seorang ayah yang saya ambil sedikit dari buku "Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna" dan beliau sesungguhnya telah berjaya mengamati, memahami dan menyelami hadis Nabi yang penulis nyatakan tadi. Keperibadian as-syahid sebagai seorang ayah harus diambil sebagai panduan kerana keperibadian inilah yang telah hilang dari kebanyakan para2 da'ie yang bergelar ayah.

"Sesungguhnya seorang ayah itu adalah pemimpin bagi isteri dan anak2nya" kerana lahirnya pemimpin itu dari tiga cara iaitu:

1) Pemimpin yang mencetak dirinya sendiri.
2) Pemimpin yang di angkat kerana keadaan.
3) Pemimpin yang memang dihantar oleh ALlah swt.

Mencari Rencah Baru Gerakan Islam Pasca Kebangkitan Islam Pertama

Dalam sedar atau pun tidak, hakikatnya orang melayu di Malaysia sudah melalui satu transformasi besar-besaran menjelang era 70-an dimana menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman satu transformasi yang dikenali sebagai perubahan ke arah “Melayu baru”. Perubahan ini dijelmakan menerusi fahaman dan tanggapan yang jelas yang mereka dokong terhadap makna sebenar ajaran Islam. Sebelum ini Islam itu hanya difahami sebagai perbuatan yang melengkapkan lima Rukun Islam semata-mata tetapi dalam meniti fasa 70-an pemikiran mereka telah diubah ke arah memahami Islam sebagai Ad-Din atau satu cara hidup dengan pandangan alam dan visinya tersendiri.

Selain itu, buku Gerakan Dakwah dan Orde Islam di Malaysia telah menggariskan beberapa garisan utama kebangkitan Islam 70-an. Antara yang utama termasuklah pembongkaran khazanah Islam terutama warisan Ilmunya bagi memperolah bahan dan garis panduan dalam menempuhi persoalan dan cabaran semasa, serta keyakinan yang mendalam terhadap potensi Islam sebagai penyelesaian dan penawar kepada segala penyakit individu dan masyarakat.

Fenomena yang berlaku zaman 70-an ini seringkali disebut sejarawan sebagai era Kebangkitan Islam atau Islamic Revivalism/Islamic Resurgent. Menurut Gordon P. Means dalam bukunya Political Islam in South East Asia, kesungguhan beberapa gerakan dakwah ketika itu seperti Angkatan Belia Islam Malayisa (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), serta Dar Al-Arqam dalam menggembling tenaga dakwah akhirnya berjaya membuahkan hasil lumayan yang dinikmati generasi hari ini.

ABIM dan PKPIM seperti contoh dimentori oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah membina gagasan pendidikan dengan memanfaatkan sebilangan idea besar beliau seperti konsep ilmu dan kesepaduannya, konsep Universiti Islam, gagasan Islamisasi Ilmu, pendidikan keinsanan, konsep Ta’dib dan Ta’lim, dan sebagainya.

Hari ini tanggapan sebilangan umat Islam dan orientalis yang berada pada era berkenaan dilihat masih mempertahankan tanggapan bahawa Kebangkitan Islam itu merupakan satu fenomena ketara, meluas, dan berdasarkan kedudukannya masa kini, ia akan menjadi realiti berterusan. Namun, apakah realiti ini benar-benar berkemampuan bertahan dalam menghadapi arus masa depan atau apakah ia akan pergi begitu saja dari pentas kehidupan?

Menurut Prof Mohamad Abu Bakar, suatu paradoks ialah bagaimana penganut dan pendokong Islam berjuang lebih gigih, serta bertindak lebih kreatif ketika berada di bawah tekanan, mulai kehilangan perspektif atau bercakaran sesama sendiri apabila berdepan dengan keadaan yang agak liberal atau berada di ambang kejayaan. Tidak keterlaluan jika kita nyatakan bahawa pendokong gerakan dakwah menyerupai penunggang basikal yang berhempas pulas mengayuh spedanya ketika menaiki bukit, tetapi setelah saja dia melintasi puncak dia akan membiarkan kenderaannya bergerak sendirian sambil dia berlepas tangan sehingga tunggangannya itu meluncur tidak tentu arah lagi.

Fenomena kebangkitan Islam bukan saja kehilangan momentum, tetapi juga semakin kehilangan tarikan akibat kelemahan pendakwah sendiri yang gagal memberi isi dan mewujudkan identiti dan kefahaman Islam yang sepatutnya kepada masyarakat secara menyeluruh.

Pendakwah dan gerakan Islam dahulu memahami konsep fiqh aulawiyat atau keutamaan dengan tidak menanggapi isu permasalahan kecil seperti pertikaian amalan furu’, bid’ah dan sebagainya yang sudah dibincangkan dan diselesaikan oleh tokoh ilmuan seratus tahun dahulu. Sebaliknya pendakwah pada waktu itu merupakan golongan yang berjiwa besar dengan menanggapi permasalahan sosial dan penyakit umat sebagai medan utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Sementara itu, perjuangan mereka juga jelas iaitu berusaha meruntuh tembok-tembok yang membentengi kejayaan Islam, tetapi kini hanya berikutan pertikaian fahaman dan beberapa perkara yang kecil, gerakan dakwah dan golongan pendakwah telah berpecah menjadi puak yang bersungguh-sungguh memperagakan fahaman masing-masing sehingga mengelirukan masyarakat awam.

Dalam berhadapan dengan situasi pertelingkahan seperti ini satu formula bersama harus digunakan. Hari ini dunia gerakan Islam telah berubah dengan penubuhan banyak pertubuhan dan NGO Islam yang semakin merata. Maka, situasi kini lebih melihat peranan yang berteraskan formula “perkongsian bijak” sesama mereka. Ini dapat dijelaskan melalui desakan sesuatu isu Islam menerusi gabungan NGO Islam seperti Peguam Pembela Islam (Pembela), ACCIN, Majlis Amal Islami (MAIM) dan sebagainya.

Dalam pada itu, dengan menyedari hakikat permasalahan umat yang terkandung dalam buku Risalah untuk Kaum Muslimin karangan al-Attas, gagasan pendidikan yang dalam tradisi Islam disebut ta’lim, tarbiyyah, dan ta’dib harus terus menjadi nadi kepada gerakan dakwah. Menurut Dato’ Dr Siddiq Fadzil pendidikan dan ilmulah yang memberi makna maruah, martabat dan kehormatan diri kepada umat sehingga terbentuk sikap untuk tidak tunduk kepada yang lain (kejahilan). Maka, gagasan yang menjurus kearah pemahaman Ta’dib Islami atau Pendidikan Islam harus sama-sama digembling dan diperkasa oleh seluruh penggerak dakwah dalam mencari rencah dan halu tuju gerakan Islam.

Senario ketidaktentuan masyarakat yang penuh dengan kebejatan dan keruntuhan dari sudut integriti, moral, budi, serta kegagalan mereka menjiwai rukun yang terkandung dalam “akhlaq al-karimah” mendesak kita untuk memperkasa gagasan Ta’dib atau pendidikan ini sebagai rencah yang jitu sebagai jawapan kepada krisis berkenaan. Ini disebabkan penyelesaian menerusi jalan pendidikan ini adalah lebih berkesan dan akan bertahan lebih lama kerana ia merupakan pendekatan yang benar-benar mampu mengakar ke dalam masyarakat.

Maka, gagasan Ta’dib ini penting bagi membina kembali suatu generasi Islam baru yang ideal dan menjadi suri tauladan kepada semua, yang luhur adab dan keperibadiannya, tinggi disiplin ilmunya, kukuh pegangan tauhidnya serta memiliki nilai integriti dan kepimpinan yang hebat. Gagasan bersifat pendidikan ini sebenarnya berpotensi besar untuk menjadi medium penerus kesinambungan kepada kebangkitan ledakan ubudiyyah sekitar era 70-an lalu.